Ada pepatah melihat Rusia sebagai beruang yang sedang tidur. Jangan diusik, kalau tidak berani tanggung. Memang bunyinya macam syok sendiri. Tetapi jika fikir balik, boleh nampak logik di sebalik pepatah tersebut. Rusia adalah negara paling besar di dunia ini. Walau bagaimanapun kerajaan Rusia tidak dapat memanfaatkan setiap inci tanah kerana sebahagian besar sudah beku selama ribuan tahun (Osborne, 2019). Ambil contoh “Russian Far East”, yang bersaiz 13 juta kilometer persegi. Bukan main besar lagi, tetapi populasinya tidak sampai 7 juta orang. Wilayah ini lebih besar sekalipun jika digandingkan dengan gabungan China dan India. “”
Dan di sini terletak sebuah kampung dinamakan Oymyakon (Oimyakon) sempena sebatang sungai yang tidak beku pada musim salji (Pospelov, 1998). Suhu kampung ini selalunya dalam lingkungan 0°C. Dan kerap kali suhu turun sampai -71°C. Suasana sejuk tidak menjadi penghalang untuk penduduk kampung hidup. Namun impaknya jelas. Semasa zaman Soviet, ramai menghuni di Oymyakon. Mereka lebih rela hidup sara diri daripada dibelenggu kesusahan miskin bandar yang sentiasa kelaparan akibat kekurangan bekalan runcit.
Jadi apabila Vladimir Putin berjaya membetulkan balik keadaan ekonomi, kampung ini mula terkesan. Penduduk kampung keluar merantau di kawasan bandar. Maka populasi kampung turun daripada 2,500 orang (zaman Soviet) sampai 900 orang (2018). Itu pun kerajaan Rusia tidak pasti, kerana ramai dalam kalangan 900 orang ini keluar masuk Oymyakon.
Ada penduduk, ada keluarga. Ada keluarga, pasti ada kanak-kanak yang perlu bersekolah. Kerajaan sudah mengeluarkan perintah bahawa semua sekolah wajib tutup jika suhu turun ke paras -55°C. Logik di sini jelas – kampung ini berpenghuni. Mereka hidup di ceruk pedalaman yang suhu sangat rambang. Saintis berpendapat Oymyakon sentiasa sejuk disebabkan dua lembah yang terletak tidak jauh. Lembah-lembah ini menjadi “penarik” angin yang ditiup hanya sekitar kawasan kampung saja (Bijal, 2004).
Menabur Salji Dalam Periuk Nasi
Perspektif kampung sememangnya lain di mana-mana tempat pun. Gaji kecil sudah cukup untuk menampung hidup. Atas sebab itu ekonomi tempatan Oymyakon tidak mekar seperti bandar-bandar Rusia yang lain. Penduduk kampung mencari rezeki dengan menceburi industri perdagangan kulit berbulu dan perikanan beku. Ini sudah menjadi budaya di sekitar kampung-kampung Rusia, sampai mereka percaya “pantang larang” tertentu. Untuk pengetahuan semua, orang Rusia memang percaya benda-benda dianggap tahyul.
Nelayan-nelayan ais pasti risau jika air terlalu tenang. Bukan ada buaya masalahnya. Buaya banyak hidup di bandar, berkaki dua dengan lidah bercabang. Air tenang di kampung Rusia selalunya ada Rusalka, sejenis hantu air bernajis pada mata warga Rusia. Mereka percaya habis barangkali kerana suasana sejuk (sesuai untuk mayat). Lari ke air ada Rusalka. Lari ke darat ada apa entahnya.
Benda ini sama saja dengan kepercayaan Melayu pada pontianak dan langsuir yang selalu muncul di cermin ketika kalian tengok sebelum mandi. Ada memang ada. Tiada pun kata ada juga. Mereka hanya percaya pada Rusalka. Tidak bermakna mereka akan berhenti kerja terus. Dan peluang pekerjaan tidak terhad di kawasan perairan semata-mata. Di situ pun ada kilang-kilang kecil, terutamanya kilang tenaga elektrik yang sentiasa mengeluarkan asap (membakar arang batu).
Sesama mereka pun akan berjual beli. Ramai dalam kalangan penduduk memelihara haiwan ternakan. Tetapi macam biasa, bukan senang. Kerana babi dan lembu juga perlu alat pemanas badan supaya tidak beku pada waktu malam (atau kena baham serigala yang lapar).
Selama mana Oymyakon sejuk, selama itulah mereka kena tanggung hidup sebegini rupa. Sebab itulah orang berkata Rusia adalah beruang yang sedang tidur. Saintis hari ini mengesahkan bahawa Rusia semakin panas… dan sekitar 2080-an, Siberia mungkin akan cair habis. Bayangkan apa yang akan berlaku pada masa itu… apabila Rusia boleh memanfaatkan setiap inci tanahnya.
Tentu sekali ekonomi perindustriannya meletup-letup.
Banyak selok-belok menarik tentang Rusia menanti anda dengan hanya satu pembelian. Buku ini bercerita tentang pembangunan Rusia selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, dengan Vladimir Putin sebagai jendela penceritaan. Putin mengambil alih ketika Rusia berada di titik paling mengaibkan… dan hari ini, Rusia membangun sebagai sebuah kuasa dunia dibawah beliau. Link pembelian: https://shopee.com.my/The-Patriots-Putin-Tsar-Moden-Rusia-i.238336777.17912981320?sp_atk=66c8fcfc-d183-499b-9000-832e8b13510b
RUJUKAN:
Bijal, T. (2004, Mei 12). Life is a chilling challenge in subzero Siberia. National Geographic Channel.
Osborne, H. (2019, Jun 6). Climate change could make Russia’s frozen Siberia far more habitable by the 2080s. Newsweek.
Pospelov, E. (1998). Географические названия мира. Halaman 307. (dibantu Google Translate).
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih