Beberapa minggu lepas, pasukan pengkaji Mesir Purba telah membuat satu penemuan mengejut di Saqqara, Memphis. Ekskavasi yang dijalankan di nekropolis itu menemukan lima makam berusia 4,000 tahun. Makam-makam ini dikatakan berasal dari era Kerajaan Lama (2700-2200 SM) dan Tempoh Peralihan Pertama (2181-2055 SM).
Kelima-lima makam ini ditemui kira-kira 100 meter di barat daya Piramid Merenre, selatan Saqqara. Pengkaji Mesir Purba dari Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir percaya kelima-lima makam ini merupakan makam golongan aristokrat dua era berkenaan.
Makam pertama yang ditemui milik seorang bangsawan bernama Irie. Makamnya termasuk laluan yang diukir dan dihias cantik menuju ke ruang pemakaman. Ini termasuk dinding-dinding yang diukir pelbagai adegan berkenaan pemakaman. Di sini, pasukan pengkaji Mesir Purba menemui keranda batu kapur yang besar dan artifak alat-alat pengukir.
Makam kedua pula milik seorang wanita dipercaya isteri seorang lelaki bernama Yart. Ini berdasarkan kerandanya ditemui berhampiran dengan keranda suaminya. Makam ketiga milik seorang pegawai istana bernama Babi Farhafai/Bi Nafarhafayi. Semasa hayatnya, beliau dikatakan berkhidmat sebagai penyelia kuil yang didedikasikan kepada Firaun.
Makam keempat pula ditemui kira-kira enam meter di ruang bawah tanah. Makam ini milik seorang wanita bernama Petty yang bertanggungjawab menguruskan penampilan, pakaian dan solekan Firaun. Beliau juga dikatakan berkhidmat sebagai pendeta kuil Dewi Hathor, dewi kecantikan, muzik dan kesuburan Mesir Purba.
Sementara makam terakhir pula milik seorang lelaki bernama Hannu dan diletakkan dalam lubang berbentuk segi empat tepat. Hannu memegang banyak gelaran semasa hayatnya. Antara tugasnya ketika itu ialah penyelia kuil yang didedikasikan kepada Firaun, penyelia istana diraja dan datuk bandar.
Saqqara menjadi tumpuan pengkaji Mesir Purba sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini selepas banyak penemuan artifak dan makam dari pelbagai dinasti dan era. Misalnya, pada 2020, pengkaji Mesir Purba telah menemui 100 buah keranda yang tidak diusik dan 40 buah patung besar era Dinasti Ke-26. Dengan lebih banyak penemuan seperti ini, lebih banyak rahsia Mesir Purba akan disingkap.
RUJUKAN
Pandey, S. (2022, 18 Mac). Excavations Unearth Five Stunning 4,000-Year-Old Tombs in Egypt. Ancient-Origins.
Sumber gambar: Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih