500 tahun sebelum Qin Shi Huang membina Tembok Besar China, 700 tahun sebelum Colosseum berdiri gagah di bumi Rom, 500 tahun sebelum rumah api Iskandariah dibina, sesungguhnya bangsa Melayu membina peradaban hebat di Sungai Batu yang membekalkan besi terbaik yang pernah dunia lihat ke seluruh dunia. Dan tahukah anda peradaban ini dibina di bumi Kedah?

Sebab itu, kita perlu tahu legenda siapakah pengasas negeri Kedah ini. Dan kalian akan dipersembahkan dengan kisah-kisah yang agung, yang kedengaran sangatlah epik tentang bagaimana berdirinya negeri Kedah Tua. Mungkin nanti cerita ini kedengaran sangatlah janggal kerana wujudnya watak seperti Nabi Sulaiman A.S, Rom dan China.

Tetapi saya mahu kita pandang kisah ini sebagai mungkin cara orang-orang Melayu kita bercerita kepada kita secara berlapik tentang bagaimana perhubungan kerajaan Kedah Tua dan juga Langkasuka dengan pelbagai dunia.

Dalam kita memandang sejarah bangsa kita, kita kena buang jauh-jauh tentang bagaimana barat melihat sejarah mereka, tetapi sebaliknya kita harus pakai kaca mata baru yang dipanggil sebagai kaca mata sejarah Melayu.

Baik, sudah bersedia untuk bersama saya menyelami legenda hebat yang terkarang dalam Hikayat Merong Mahawangsa, salah satu daripada hikayat hebat. Hmmm.. di mana ya saya nak mulakan hikayat hebat ini, yang pasti menimbulkan rasa kagum dalam setiap jiwa kita?

Ohh ya, mungkin juga saya mulakan dengan kisah bagaimana Raja Rom dikatakan menghantarkan rombongan peminangan untuk mengahwinkan anaknya dengan Maharaja China. Bayangkanlah… kisah legenda terbentuknya negara Kedah ini dimulakan dengan kemunculan watak Raja Rom dan Maharaja China? Hebat bukan? Ehh saya kacau mood kalian nak membaca? Hahaha… maaf-maaf. Kita kembali meneroka cerita ini.

Siapa tahu dalam ketika Raja Rom merancang untuk meminangkan anak Raja China, maka seekor burung garuda menentang perkahwinan ini. Menurut burung Garuda, Rom dan China adalah dua buah yang sangat jauh dan sangatlah susah untuk dua orang anak raja ini saling bertemu. Lalu si burung garuda itu pun menghadap Nabi Sulaiman A.S untuk melaporkan tentang hal ini.

Nabi Sulaiman A.S yang mendengarkan laporan burung Garuda ini membalas bahawa kalaulah sudah ditakdirkan bahawa kedua-dua anak raja tadi berjodoh, maka tiadalah yang mampu untuk memisahkannya. Burung Garuda tadi yang mendengarkan balasan daripada Nabi Sulaiman A.S tidak puas hati dan tetap berkeras mahu menggangu perkahwinan anak raja Rom dan China ini. Maka Nabi Sulaiman pun membenarkan apa sahaja rancangan Burung Garuda tadi kalau benar dia berniat sedemikian.

Dengan hati yang gembira kerana permintaannya diperkenankan oleh Nabi Sulaiman A.S, maka mengembaralah burung garuda tadi daripada kerajaannya Nabi Sulaiman A.S hari ini ke negara China. Lalu sampai sahaja di China, maka dicatatkan bahawa burung garuda tadi pun menculik anak perempuan raja China lalu dibawanya ke Pulau Langkapuri, dan di Langkawi, si burung Garuda tadi pun membina sebuah istana yang dijaganya dengan ketat. Puteri China tadi pun dikurung di dalam istana itu bersama dayang-dayangnya sekali.

Kemudian, dalam waktu yang sama, Raja Rom pun meminta bantuan Merong Mahawangsa untuk memimpin dan memandu putera rajanya yang dalam perlayaran ke China. Lalu ketika berlayar dari bumi Rom ke bumi China, dicatatkan bahawa burung Garuda tadi pun menyerang kapal yang dinaiki oleh Merong Mahawangsa tadi bersama putera Rom. Kapal tersebut karam dan tersebutlah bahawa putera Rom tadi dihanyutkan dek laut sehingga ke sampai ke Pulau Langkapuri. Di sana, Putera Rom tersempak dengan Puteri China tadi lalu mereka saling jatuh cinta. Disembunyinya Putera Rom tadi di dalam sebuah gua lalu dijaga dengan baik.

Maka untuk menghalau si burung garuda tadi sementara mereka saling kenal dan bermadu kasih, maka Puteri China tadi membuat helah bahawa dia mahukan beberapa buah pakaian kesayangannya lalu menghantarkan burung Garuda tadi pulang ke China.

Masa pun bergulir laju, lalu dicatatkan bahawa burung Garuda tadi pun pergi menghadap Nabi Sulaiman A.S. Lalu dihadapan Nabi Sulaiman A.S, dengan bangganya si Garuda mengatakan bahawa dia telah berjaya memisahkan Puteri dan Putera China dan Rom.

Nabi Sulaiman A.S yang mengetahui apa sebenarnya yang berlaku antara kedua-dua pasangan itu pun memerintahkan raja Jin yang berada di bawah pemerintahannya untuk pergi mendapatkan Puteri dan Putera Rom lalu dihadapkan di hadapannya. Mengetahui akan berita itu, maka burung Garuda rasa kecewa yang amat sangat. Sempat lagi Nabi Sulaiman A.S menitip persanan kepada burung Garuda tadi.

Ada empat perkara dalam dunia ini yang diluar kemampuan manusia dan hamba TUHAN yang lain untuk mengawalnya:

1. Rezeki 
2. Kematian 
3. Cinta dan Jodoh Pertemuan 
4. Penceraian

Mendengarkan apa yang diungkapkan oleh Nabi Sulaiman itu, maka burung Garuda pun membawa diri ke sebuah pulau yang jauh dari manusia, dan sejak hari itu dia tidak pernah dilihat lagi. Raja Jin diarahkan untuk membawa dua pasangan itu ke China lalu disatukan di sana. Putera Rom pun menghantarkan surat pada ayahnya menyatakan bahawa dia sudah selamat dikahwin dengan puteri China.

Dalam masa yang sama, Merong Mahawangsa dicatatkan selamat daripada serangan Garuda itu lalu dihanyutkan ke sebuah tempat. Di tempat itu, Merong Mahawangsa tersempak dengan satu bangsa yang dipanggil sebagai bangsa gergasi. Lalu bersama bangsa gergasi ini, Merong Mahawangsa pun membina sebuah kerajaan yang bernama Langkasuka. Dan nanti ratusan tahun selepas peristiwa ini, bahkan mungkin juga ribuan tahun, nama Langkasuka adalah antara calon kepada sebuah nama negara yang akhirnya dinamakan sebagai Malaysia.

Kerajaan Langkasuka di bawah pemerintahan Merong Mahawangsa menjadi sangatlah makmur sehingga menarik banyak perhatian raja-raja dari pelbagai tempat. Lalu dicatatkan suatu hari, Merong Mahawangsa sedang mencari isteri untuk anak lelakinya lalu dihantarkan utusan ke Acheh dan Kelinggi. Rombongan di hantar ke Kelinggi tersempak dengan Menteri Rom di sana.

Maka menteri Rom pun menyampaikan kepada Merong Mahawangsa bahawa Raja Rom memanggilnya kembali pulang.Sebelum pulang ke Rom, sempat lagi Merong Mahawangsa menukarkan nama Langkasuka kepada Kedah Zamrin Tua. Dipesannya pada anak lelakinya yang bernama Raja Merong Mahapudisat supaya membesarkan jajahan takluk Kedah sepanjang dia tidak berada di situ.

Pesan Merong Mahawangsa kepada anaknya hendaklah dirajakan anak-anaknya ke beberapa bahagian di Tanah Melayu ketika itu. Seperti mana wasiat si ayah, anak sulungnya dirajakan di Benua Siam, anak keduanya, dirajakan di Perak, manakala anak perempuannya dirajakan di Pattani. Putera Bongsu mewarisi kerajaan Mahapudisat dengan nama Raja Seri Mahawangsa.

Lalu Kedah di bawah pemerintahannya anaknya pun maju jaya sehinggalah pada pemerintahan Phra Ong Mahawangsa yang menjadi raja pertama Kedah yang memeluk Islam. Lalu Phra Ong Mahawangsa menukarkan namanya menjadi Sultan Mudzafar Shah I. Sultan Mudzafar Shah adalah pengasas Kesultanan Kedah, iaitu antara kesultanan yang tertua di Asia Tenggara dan Malaysia, yang berusia seawal 1136 Masihi. Lalu dari Kesultanan Kedah yang diasaskan oleh Phra Ong Mahawangsa, ia kekal sehingga hari ini.

RUJUKAN:

Hikayat Merong Mahawangsa

Maziar Mozaffari Falarti. (2012). Malay Kingship in Kedah: Religion, Trade, and Society. Lexington Books.

Liaw Yock Fang. (2012). A History of Classical Malay Literature. ISEAS/Obor.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.