Setiap musibah terkandung di sebaliknya hikmah. Di sebalik kerosakan paip kumbahan yang dialami oleh sebuah trattoria, iaitu kedai makan santai di Leece Italy milik Luciano Faggiano ternyata membawa kepada penemuan khazanah yang tidak ternilai harganya. Iya; lubang najis yang mereka cari, ruangan artifak sejarah yang mereka jumpai.
Kejadian ini berlaku pada sembilan belas tahun yang lalu, tahun 2000M. Semuanya bermula apabila Luciano bersama dua orang anaknya memecahkan lantai kedainya dan memulakan penggalian untuk mencari paip kumbahan yang rosak. Langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka bahawa dunia bawah tanah itu menyimpan lebih 5000 artifak bersejarah yang menjangkau usia sehingga 2000 tahun yang lalu.
“Kami menemui beranda dan ruang-ruang kamar yang lain. Maka, kami pun terus menggali,” ujar Luciano kepada media New York Times. Pembaikian paip kumbahan yang dijangka dapat disiapkan dalam masa seminggu berubah menjadi sebuah projek arkeologi besar-besaran yang memakan masa hampir sedekad – 7 tahun lamanya. Projek tersebut berhasil menjejak pelbagai relik. Antaranya, makam kaum Messapian (puak Yunani purba yang hidup di kawasan tersebut sebelum kemunculan Kristian); jelapang Rom; biara Franciscan; dan bahkan kesan-kesan tinggalan Knights Templar.
Kerja-kerja penggalian yang dilakukan oleh Luciano sekeluarga ini pernah menimbulkan syak-wasangka dalam kalangan jiran-tetangganya. Mereka kemudian melaporkan hal tersebut kepada pihak penguasa. Mujur, Luciano dibenarkan untuk terus melanjutkan misi penggalian dan pembaikian paip kumbahannya asalkan proses tersebut dipantau oleh ahli-ahli arkeologi yang diiktiraf.
Maka, beberapa orang pakar pun dipanggil bagi memantau tapak berkenaan. Ironinya, walaupun segala bahan artifak yang ditemukan menjadi hak milik kerajaan, namun kesemua pembiayaan kerja ekskavasi tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Luciano sendiri. Kerja-kerja berat yang tidak berkesudahan dan perbelanjaan wang yang terus-menerus dikeluarkan – keadaan ini pernah membuatkan Luciano hampir berputus-asa.
“Pada satu tahap, saya tidak boleh bertahan lagi,” keluhnya kepada media New York Times. “Saya pernah membeli batu-batu bara dan ingin menutup lubang tersebut lalu berlagak seperti tiada apa yang pernah berlaku.”
Namun dengan bantuan yang terus-menerus dihulurkan oleh anak-anaknya di samping bekalan wang yang diraih dari sewaan asrama, Luciano tetap melanjutkan kerja-kerja penggalian itu.
The History Blog menulis bahawa projek ekskavasi tersebut melibatkan penemuan lebih 4000 buah artifak – walaupun angka berkenaan disebutkan sebagai 5000 oleh sumber-sumber seperti Ancient Origins, New York Times dan lain-lain.
Antara penemuan tersebut adalah seperti berikut:
- Sejumlah makam termasuklah makam seorang bayi warga Rom
- Sebuah lubang yang sangat dalam, menempatkan jasad-jasad yang dibiarkan mereput sebelum tulang-belulang itu dikumpulkan dan dikebumikan.
- Batu-batuan yang dipotong untuk menjadi tempat penghunian dan jalan.
- Perigi sedalam 10 meter yang masih menyimpan air.
- Terowong-terowong rahsia yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan keagamaan
- Lukisan dinding
- Tembikar dan tong-tong purba
- Barang kemas dan ribuan lagi artifak lain.
Jika direnung, Leece sendiri sememangnya merupakan sebuah bandar bersejarah. Lokasinya yang strategik sememangnya membolehkannya menjadi tumpuan pada masa purba sebagai sebuah bandar perdagangan. Seorang sejarahwan dan penulis tempatan yang bernama Mario de Marco memaklumkan kepada New York Times, “Lapisan-lapisan terdalam di bawah bandar Lecce menjangkau usia sezaman dengan Homer atau paling tidak, sekitarnya.”
Malahan, bandar tersebut turut pernah menjadi rebutan pelbagai pihak termasuklah Yunani, Rom, Uthmaniyah dan Norman sekaligus masing-masing meninggalkan jejak kehadiran mereka di sana.
Ketinggian nilai sejarah yang tersimpan di bumi Lecce tidak memustahilkan sebarang penemuan artifak di tempat-tempat rawak – baik di bawah tanah sebidang kebun ataupun di bawah lot parkir kereta. Jika dilihat dari suatu sudut, penemuan artifak-artifak sebegini sememangnya banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu sejarah di Itali. Namun, hal yang sama itu juga membuatkan perancangan pembinaan atau pembangunan sesebuah bangunan di situ tertunda atau malah dibatalkan.
Walau bagaimanapun, bagi kes penemuan lebih 5000 artifak di bawah bangunan milik Luciano ini mempunyai kisah yang tersendiri apabila tapak berkenaan dijadikan sebagai muzium – Museo Archeologico Faggiano, satu-satunya muzium persendirian di bandar Lecce. Ia dibuka kepada orang awam pada tahun 2008, lapan tahun sejak kali pertama penggalian dilakukan; penggalian yang dimulakan dengan pencarian paip kumbahan yang rosak, yang pada akhirnya berjaya ditemukan dan dibaiki.
RUJUKAN:
Liz Leafloor.
(15 April 2015). Man Intent on Fixing Toilet Uncovers Centuries-Old Subterranean
World Beneath his Basement. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/man-intent-fixing-toilet-uncovers-centuries-old-subterranean-world-020299
Jim Yardley. (14
April 2015). Centuries of Italian History Are Unearthed in Quest to Fix Toilet.
The New York Times.
https://www.nytimes.com/2015/04/15/world/europe/centuries-of-italian-history-are-unearthed-in-quest-to-fix-toilet.html
Atlas Obscura.
(n.d.). Museo Faggiano.
https://www.atlasobscura.com/places/museo-faggiano
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih