Sekiranya disebut Pulau Langkawi, pasti perkara yang terlintas di sejenak fikiran ialah tempat menarik dikelilingi gugusan pulau batu kapur dan keindahan pantai yang menjadi tarikan pelancong didalam mahupun diluar negara. Namun apa yang membuatkan ianya lebih istimewa?

Ya, usianya yang mencecah anggaran 500 juta tahun, lantas menjadikannya sebagai pulau atau lebih tepat, daratan paling tua di Malaysia. Atas keistimewaan ini(aspek lain juga dinilai), Kepulauan Langkawi diiktiraf sebagai ahli Global Geopark Network(GGN) daripada UNESCO pada 1 Jun 2007 iaitu yang pertama seumpamanya bukan sahaja di negara ini bahkan di rantau Asia Tenggara!

Secara ringkasnya, Global Geopark UNESCO ialah satu kawasan geografi yang mempunyai tapak serta landskap dinilai dengan kepentingan geologi, yang ditadbir urus secara holistik untuk tujuan pemeliharaan, pendidikan serta pembangunan mapan.

Landskap di Pulau Langkawi yang kaya dengan kars dan pulau batu kapur – UNESCO

Membicarakan perihal evolusi, pastinya Teori Evolusi iaitu cetusan dari Charles Darwin akan meniti di memori setiap manusia moden. Namun apakah hidupan sahaja yang mengalami evolusi? Planet Bumi juga begitu, ianya dinamik dan juga berevolusi, dari 4 billion tahun dulu, sehinggalah sekarang masih belum berhenti. Malah atas sifat dinamik inilah, hidupan di Bumi berevolusi seiring dengan tahap survival menghadapi hura-hara planet bumi ketika itu.

Teori evolusi tektonik yang diperkenalkan para ahli geologi juga memberi kesan signifikan dalam pembentukan geografi bumi itu sendiri. Sejarah Bumi dari kaca mata geologi menekankan tentang evolusi tektonik dalam setiap rangkaian kajian mereka demi menentukan asal usul tanah yang dipijak. Justeru, Pulau Langkawi sudah menyaksikan evolusi ini jutaan tahun dahulu, menyimpan 1001 rahsia kejadian daratan dan lautan pra kewujudan manusia.

Pulau Langkawi sudahpun  wujud sebelum pembentukan daratan Semenanjung Tanah Melayu mahupun kepulauan Borneo. Bahkan ketika itu, Pulau Langkawi berada di hemisfera selatan bukannya berdekatan equator Bumi. Bagaimana Pulau Langkawi boleh setua ini? Bagaimana Langkawi ‘berhijrah’ ke lokasinya sekarang? Semuanya bermula dengan Gondwana, satu benua raksasa yang telah wujud pada sekitar 550 juta tahun dahulu.

Benua raksasa ini adalah benua asal kepada benua Australia, tanah besar China dan Antartika pada masa kini. Pada ketika itu, Pulau Langkawi hanyalah secebis daratan daripada satu blok benua yang bernama Sibumasu. Sibumasu adalah salah satu blok benua daripada beberapa blok benua yang berasal dari Gondwana.

Sebahagian daripada superbenua Gondwana yang berdekatan hemisfera selatan pernah mengalami zaman ais (planet Bumi mengalami beberapa siri zaman ais sepanjang pembentukannya). Sebahagian itu termasuklah blok benua Sibumasu. Maka tidak hairanlah apabila ahli geologi menemukan batu-batu dari iceberg pada lapisan batu di Pulau Langkawi.

Batu jatuh yang ditemui di Pulau Langkawi. Ianya ditemui terbenam dalam batu lumpur hitam, berasal dari iceberg zaman ais Permo-Karbon – Tangible Heritage Object.

Perpecahan blok benua Sibumasu dari superbenua Gondwana bermula pada sekitar 298 juta tahun dahulu. Pada masa kini, blok benua Qing Tang adalah sebahagian daripada Tibet manakala blok benua Cimmeria Barat mewakili sebahagian daratan Turki, Iran dan Afganistan Selatan. Dua blok benua ini, bersama-sama blok benua Sibumasu berpisah dari Gondwana sebagai satu mikrobenua kuno yang dinamakan Benua Cimmeria. Benua Cimmeria ini memulakan pergerakannya menuju Lautan Kuno Paleo-Tethys, teori pergerakan ini digelar sebagai ‘Continenal Drift’ atau Teori Hanyutan Benua.

Ketika itu, Laut China Selatan, Laut Sulu, Laut Jawa, Selat Tebrau, Selat Melaka belum wujud lagi, yang ada cuma satu lautan kuno bernama Paleo-Tethys. Pergerakan mikrobenua Cimmeria memberi laluan kepada pembentukan satu lautan kuno yang baru, iaitu Lautan Neo-Tethys.  Hasil daripada pergerakan ribuan(mungkin juga ratusan ribu) kilometer inilah, lokasi Pulau Langkawi berada di lokasi  ia sekarang iaitu di utara semenanjung Malaysia. Blok benua Sibumasu juga memainkan peranan penting dalam pembentukan Semenanjung Tanah Melayu, melalui proses perlanggaran benua. Pembentukan daratan Semenanjung Tanah Melayu menandakan berakhirnya hayat  lautan kuno, Lautan Paleo-Tethys.

Rajah diatas menunjukan mikrobenua Cimmeria yang telah terpisah dari Gondwana (298 juta tahun dahulu). Kawasan berwarna biru muda beriklim sederhana sejuk hingga sejuk. Pada satu ketika sebelum pemisahan dari blok gergasi ini, Bumi telah mengalami Zaman Ais Permo-Karbon yang mengakibatkan banyak pembentukan glasier dan iceberg. Sibumasu merupakan kawasan timur mikrobenua Cimmeria.- Ueno, K. (2003)

Pembuktian saintifik menunjukkan perlapisan batuan di Pulau Anak Datai telah wujud pada usia Kambria (Cambrian) diperkuatkan lagi dengan penemuan fosil di Pulau Jemuruk – Tanjung Buta. Fosil yang ditemukan di Pulau Jemuruk adalah daripada hidupan purba, trilobite dan brakiopod yang hidup pada garis masa tersebut. Kambria menurut skala masa geologi, ialah usia pembentukan batu yang menjangkau lebih dari 500 juta tahun, jauh lebih tua dari dinosaur yang hanya mula berkembang di bumi sekitar Era Mesozoik! Perlapisan batuan di Pulau Anak Datai diletakkan bersama beberapa perlapisan batu lain ditemui di Pulau Langkawi dibawah satu formasi batuan yang dinamakan Formasi Machinchang (Machinchang Formation).  Formasi dalam istilah geologi ialah perlapisan batuan yang berkongsi kandungan mineral dan usia pembentukan yang sama dalam satu satu kawasan.

Penemuan batu di Pulau Anak Datai telah diklasifikasikan sebagai batuan yang terbentuk pada Era Paleozoik, iaitu pada usia Kambria (500 juta tahun dahulu). Mikrobenua Cimmerian terpisah dan hanyut dari Gondwana pada garis masa Perm-Trias iaitu selepas jutaan tahun berlakunya Zaman Ais Karbon-Perm.- Google

Kesimpulannya, Formasi Machinchang yang mengandungi lapisan batu berusia lebih dari 500 juta tahun kekal sebagai singkapan batu yang paling tua ditemui di Malaysia. Tidak hairan lah, para ahli geologi, saintis dan aktivis berjuang demi mendapatkan satu pengiktirafan antarabangsa untuk permata Kedah ini. Pengiktirafan Pulau Langkawi sebagai ahli Global Geopark Unesco yang pertama dan satu-satunya di Malaysia tidak dapat disangkal lagi.

Seiring dengan mitos Mahsuri dalam pembentukan sosiologi masyarakat Langkawi, sejarah yang tersimpan dalam batuan dan fosil di Pulau Langkawi sememangnya penting dan bernilai dalam disiplin ilmu geologi. Marilah kita bersama-sama memulihara serta menghargai khazanah alam yang kaya di bumi Malaysia kerana manusia itu wujud, berkembang di daratan bumi, membina tamadun atas perkongsian geografi yang sama dan membina keharmonian sosial dalam masyarakat yang cintakan perdamaian.

Artikel dikirimkan oleh A.Hanif untuk The Patriots. 

RUJUKAN

Hassan, M., Aung, A.-K., Becker, R., Rahman, N., Ng, T. F., Ghani, A., & Shuib, M. (2014). Carboniferous (Mississippian) dropstones and diamictite from the Chepor Member, basal Kubang Pasu Formation: Earliest record of glacial-derived deposits in Peninsular Malaysia. https://doi.org/10.13140/2.1.2623.0725

Metcalfe, I. (2017). Tectonic evolution of Sundaland. Geological Society of Malaysia, Bulletin, 63(Special Issue 1).

Rock Formations of Langkawi Geopark. (2019). Retrieved December 31, 2019, from https://langkawigeopark.com.my/rock-

Tangible Heritage Object. (n.d.). Retrieved December 31, 2019, from http://www.heritage.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=295&Itemid=903&lang=en

Ueno, K. (2003). The Permian fusulinoidean faunas of the Sibumasu and Baoshan blocks: their implications for the paleogeographic and paleoclimatologic reconstruction of the Cimmerian Continent. Palaeogeography, Palaeoclimatology, Palaeoecology, 193(1), 1–24.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.