Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu. Tetapi bagi seorang warga Turki yang hidup di daerah Derinkuyu pada tahun 1963, frasa yang lebih sesuai diungkapkan adalah jika tidak dipecahkan dinding, di mana boleh kota bawah tanah diketemu. Ketika melakukan renovasi di ruang bawah tanah rumahnya, lelaki Turki itu mengambil penukul untuk meruntuhkan dinding.
Tidak semena-mena, beliau menemukan sebuah khazanah yang sehingga awal dekad ini, dianggap sebagai kota bawah tanah paling besar di Cappadocia, atau bahkan di negara Turki secara keseluruhan. Dua tahun sejak penemuan tersebut, Kota Bawah Tanah Derinkuyu dibuka untuk kunjungan orang awam. Namun, dikatakan bahawa hanya 10% dari luas keseluruhan kota itu sahaja dapat dilawati.
Memiliki maksud “perigi (yang) dalam”, nama Derinkuyu sememangnya menggambarkan secara sepintas-lalu tentang khazanah sejarah yang menjadi tajuk perbicaraan artikel kali ini. Kota bawah tanah ini terletak di daerah Derinkuyu, berjarak kira-kira 30km dari Nevsehir, Turki. Perkara yang amat mengagumkan tentang Kota Bawah Tanah Derinkuyu adalah kedalamannya yang luar biasa, sistem pembinaannya yang amat teratur, serta kelengkapan perbekalan hidup yang cukup untuk menampung sehingga 20 000 orang penduduk!
Setakat ini, keluasan kota bawah tanah tersebut mencecah 2000 kaki persegi. Namun, laman sesawang rasmi mencatatkan bahawa luas keseluruhan sebenarnya boleh mencapai sehingga 7000 kaki persegi (650 meter persegi). Berikutan usaha penggaliannya yang masih berterusan dari semasa ke semasa, ukuran kedalamannya juga sentiasa berubah dan berbeza antara satu sumber dengan sumber yang lain. Ukuran minima menyebutkan angka 60 meter dan 8 tingkat sementara ukuran maksima menyatakan kedalamannya sebagai 85 meter dan 18 tingkat. Ada juga sumber yang menyebutkan bahawa kota bawah tanah ini memiliki 11 tingkat dengan kedalaman 76 meter.
Kompleks bawah tanah ini dilengkapi dengan fasiliti dan keperluan yang cukup untuk melangsungkan kehidupan buat tempoh masa yang cukup panjang. Antaranya seperti bekalan sumber air, sistem pengudaraan melalui 52 buah lubang udara (setakat yang telah ditemukan), kedai-kedai, ruang kediaman peribadi yang terpisah antara satu sama lain, ruang awam, ruang permakaman, gudang senjata dan juga terowong-terowong rahsia untuk berpindah secara sulit. Lebih dari itu, Kota Bawah Tanah Derinkuyu ini juga mempunyai tempat pembuat wain, kandang ternakan, biara, dan juga dewan makan.
Setakat ini, sebanyak 600 buah pintu masuk ke kota bawah tanah ini ditemui di pelbagai tempat di Derinkuyu. Memenuhi fungsi kota bawah tanah ini sebagai tempat perlindungan semasa berlakunya serangan musuh, pintu masuknya ditutup dengan batu besar berbentuk roda – persis sebuah gua yang ditutupi oleh runtuhan batu-batuan dari gunung. Malah, andaikata kota perlindungan terakhir ini berjaya ditembusi musuh, para penghuninya boleh melarikan diri dengan melalui terowong-terowong rahsia yang menyambungkan Kota Bawah Tanah Derinkuyu dengan kota-kota bawah tanah yang lain yang terdapat di wilayah berkenaan.
Direkodkan bahawa di kawasan antara Kayseri dan Nevsehir sahaja, terdapat lebih 200 buah kota bawah tanah yang mana 40 daripadanya paling kurang memiliki kedalaman tiga tingkat. Salah satu terowong pada tingkat tiga kompleks bawah tanah Derinkuyu dipercayai bersambung dengan Kota Bawah Tanah Kaymakli yang terletak kira-kira 5km jauh. Sehingga awal dekad ini, Kota Bawah Tanah Derinkuyu dinobatkan sebagai kompleks bawah tanah paling besar di Turki, disusuli oleh Kota Bawah Tanah Kaymakli sebelum pada 2012, sebuah lagi kota bawah yang dianggarkan memiliki keluasan mencecah 5 juta kaki persegi (460 000 meter persegi)! Jika dibuat perbandingan, keluasannya ibarat 4 atau 5 buah Pavilion di Kuala Lumpur!
Berbalik kepada Kota Bawah Tanah Derinkuyu, laman sesawang rasmi Cappadocia Turkey mencatatkan bahawa kompleks bawah tanah ini dibina oleh kaum Phyrgia pada abad ke-8 atau ke-7 Sebelum Masehi sebagaimana yang diwarwarkan oleh Jabatan Kebudayaan Turki.
Reuben Westmaas dari Curiosity pula mengandaikan bahawa kota-kota bawah tanah di wilayah Cappadocia ini dibina sebagai tempat perlindungan cemas semasa berlakunya serangan dari Parsi sekitar 540SM oleh tentera-tentera Cyrus Agung. Makanya didakwa bahawa orang-orang Parsi juga pernah menggunakan kompleks bawah tanah ini.
Ada juga sumber yang membawa sejarah pembinaan Kota Bawah Tanah Derinkuyu ini sehingga hampir 4000 tahun yang lampau. Katanya, kota bawah tanah tersebut dibina oleh bangsa Hittite yang mendiami Semenanjung Turki sejak kurun ke-17SM lagi. Pendapat ini lahir kerana terdapat beberapa artifak yang memiliki elemen kebudayaan Hittite seperti patung singa kecil ditemui di tapak berkenaan. Benar atau tidaknya dakwaan ini, masih belum dapat dipastikan oleh sejarahwan.
Melanjutkan perbahasan tentang sejarah pembinaannya dari zaman kaum Phyrgia, Kota Bawah Tanah Derinkuyu diperbesarkan lagi ketika Asia Kecil menjadi wilayah naungan Empayar Rom Byzantine. Pada masa-masa ini jugalah, penduduk wilayah Cappadocia memeluk agama Kristian. Pengaruh tersebut lantas diserap masuk ke dalam binaan ini dengan wujudnya biara dan ruang pembelajaran agama Kristian.
Merentas peredaran masa, Kota Bawah Tanah Derinkuyu terus digunakan oleh pelbagai masyarakat dalam pelbagai situasi. Dinasti Seljuk dan Daulah Uthmaniyah juga dicatatkan pernah memanfaatkan kefungsian kompleks bawah tanah ini. Pada waktu inilah dikatakan bahawa terowong-terowong yang menyambungkan antara satu kota bawah tanah dengan satu kota bawah tanah yang lain dibina.
Memasuki kurun ke-20 Masehi, kaum Yunani-Kristian di Cappadocia sekali lagi menghadapi penindasan yang memaksa mereka melarikan diri ke ruang bawah tanah ini. Misalnya pada tahun 1909, seramai 30 000 orang Kristian-Armenia di kota Adana dibunuh. Pada tahun 1923 pula, kebanyakan masyarakat Yunani-Cappadocia dihantar ke Greece dalam perjanjian pertukaran penduduk antara Greece dan Turkey dalam rangka menyingkirkan kaum minoriti di kedua-dua buah negara tersebut.
Semenjak itu, kompleks bawah tanah Derinkuyu tidak lagi disentuh manusia selama 40 tahun. Walhal, pintu-pintu masuknya boleh sahaja dilihat dengan jelas dari luar. Oleh kerana itu, memetik kata-kata Reuben Westmaas, “Bukanlah kota bawah tanah ini hilang dari ingatan manusia. Akan tetapi, apa yang luput dari memori masyarakat setempat adalah pengetahuan tentang keluasan dan kedalaman yang dimiliki oleh kompleks berkenaan.” Ibarat anda mengetahui wujudnya sebuah gua, tetapi anda tidak pernah menjangkakan suatu signifikasi di sebalik gua itu. Makanya, gua itu pun dipandang sepi dan dibiarkan.
Justeru, sesuai kiranya perenggan akhir artikel ini ditutup dengan peribahasa, “Kurang sisik, tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru.” Dengan semangat patriotism yang diharapkan masih membara bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan yang baru sahaja berlalu, semoga dari semasa ke semasa, tapak-tapak bersejarah di negara kita terus dimartabat sehingga dapat menghiasi dada media-media arkeologi antarabangsa.
RUJUKAN
All That
Interesting. (1 Disember 2017). 15 Astounding Photos Taken Inside the Lost
Underground City of Derinkuyu.
https://allthatsinteresting.com/derinkuyu-underground-city
Ancient Wisdom.
http://www.ancient-wisdom.com/turkeyderinkuyu.htm
Cappadocia
Turkey.net. (n.d.). Derinkuyu underground city.
http://www.cappadociaturkey.net/derinkuyu_underground_city.htm
Eric Grundhauser.
(n.d.). Derinkuyu Underground City. Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/places/derinkuyu-underground-city
Jessica Stewart.
(7 Julai 2019). Massive Ancient Underground City Once Housed 20 000 People. My
Modern Met.
https://mymodernmet.com/derinkuyu-underground-city/
Reuben Westmaas.
(9 Oktober 2018). This Ancient Underground City was Big Enough to House 20 000
People. Curiosity.
https://curiosity.com/topics/this-ancient-underground-city-was-big-enough-to-house-20000-people-curiosity/?fbclid=IwAR30w1gntac2wbQEt93lIWbJelJQuqpZo6T6u3pCxyjcBHP4kS4n2BuQmBs
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih