Khamis, 12 November 202612 Nov 2026
Falsafah Alamiah

Udang Adalah Lipas Laut?

Dalam abad ini, masyarakat dunia telah ditanam akan ‘fakta’ perkaitan udang dengan lipas melalui penyampaian media sosial seperti Facebook dan Twitter. Dikatakan bahawa udang sama seperti lipas kerana kedua-dua haiwan ini memakan sampah dan bangkai.

‘Kenyataan’ seumpama ini menyebabkan sesetengah masyarakat berfikir dua kali apabila ingin memakan isi daging udang kerana mentaliti bahawa udang juga jijik seperti lipas yang biasa tinggal di sampah-sarap. Jadi betulkah udang itu adalah lipas laut?

Ada dua perkara perlu kita titikberatkan bagi justifikasikan
kenyataan popular ini: hubungan udang dan lipas melalui asal usul dan tabiat
pemakanannya.

Udang berasal dari kelas Crustacea, antara kelas haiwan akuatik
terbesar dunia. Haiwan yang termasuk dalam kelas selain udang adalah ketam dan
lobster. Terdapat 67 ribu spesis ditemui di seluruh dunia.

Udang mempunyai tubuh abdomen yang panjang, berfungsi untuk
memudahkan pergerakan renangnya, mata yang menonjol keluar, sesungut panjang,
dan kaki yang lansing. Walaupun kaki mereka mudah rapuh namun ia mempunyai daya
renang yang kuat. Biasanya udang ini ditangkap atau diternak sebagai sumber
makanan laut.

Manakala lipas pula berasal dari kelas Insecta, sememangnya
kelas yang terdiri daripada serangga. Namun lipas ini dari keluarga Blattodea
dan 30 spesis lipas telah ditemui di seluruh dunia. 4 dari 30 spesis lipas
adalah perosak.

Lipas adalah serangga yang biasa beradaptasi. Tubuh badannya
tidak berubah sejak 320 juta tahun dulu. Badannya mampu beradaptasi dari
kawasan Artik yang sejuk hingga kawasan tropika seperti negara Malaysia.
Berbanding dengan udang yang biasa dikenali sebagai juadah makanan laut, lipas
telah lama bersama manusia sejak zaman kuno, di mana lipas dikenali sebagai perosak
memakan kotoran.

Persamaan udang dan lipas hanyalah mereka berasal dari kumpulan
besar bernama Arthropods iaitu kumpulan haiwan yang mempunyai kaki bersendi,
tulang luaran yang keras, dan badan bersegmen. Ini tidak bermakna kedua-dua
haiwan ini berada dalam satu keluarga. Yang beza hanyalah kedua-dua ini berada
dalam berbeza kelas. Tidak hairanlah udang dan ketam sering dianggap sebagai ‘lipas’
atau ‘labah-labah’ lautan walaupun pada hakikatnya udang dan lipas tidak
bersaudara secara genetik.

Manakala diet kedua-dua haiwan ini pula, udang adalah omnivor,
haiwan memakan daging dan tumbuhan, tapi sesetengah udang adalah filter feeder
iaitu mengamalkan diet dengan menapis makanan dan hanya memakan mikrob-mikrob
tertentu. Ada udang juga memakan lumut dari batu. Udang Pembersih pula unik
cara pemakanannya. Ia memakan parasit dalam tubuh ikan yang lalu di hadapannya.

Lipas juga omnivor tetapi diet dia lagi besar berbanding udang
yang hanya memilih mikrob-mikrob penting sebagai jamuannya, lipas memakan apa
saja seiring dengan adaptasinya. Contoh spesis lipas adalah American cockroach
(Periplaneta americana), memakan roti, buah-buahan, bulu, kertas, gam, kulit
yang terkupas, rambut, serangga, dan kotoran dari pakaian. Lipas juga memakan
kayu seperti spesis bernama Panesthia cribrata, lipas pemakan kayu yang
mencerna cebisan kayu dengan air liur yang mempu memecahkan serat kayu.

Walaupun diet pemakanan mereka berbeza, namun mereka mempunyai
peranan yang besar dalam sistem rantai makanan. Di ekosistem daratan, lipas
berperanan sebagai scavenger atau pencerna yang mencerna cebisan bangkai yang
hadir. Udang juga mempunyai peranan yang sama dalam ekosistem lautan. Peranan
mereka berdua amat penting bagi memudahkan kitaran penguraian bangkai di mana
nutrien-nutrien yang telah dicerna akan dibiar di lantai untuk kepentingan
tumbuhan untuk mengambil nutrien atau dimakan udang atau lipas sebagai sumber
nutrien.

Sekarang kita faham akan persamaan dan berbezaan kedua-dua
haiwan ‘pemakan’ sampah’ ini. Jadi, kita boleh katakan udang ini ‘lipas’ laut
atau tidak?

RUJUKAN:

Bell, William J.; Adiyodi, K. G. (1981). American Cockroach.
Springer. p. 4

Fenner A. Chace, Jr. & Donald P. Abbott (1980).
“Caridea: the shrimps”. In Robert Hugh Morris, Donald Putnam Abbott
& Eugene Clinton Haderlie (ed.). Intertidal Invertebrates of California.
Stanford University Press. pp. 567–576

Gordh, G.; Headrick, D. H. (2009). A Dictionary of Entomology
(2nd ed.). Wallingford: CABI. p. 200.

Hoell, H. V.; Doyen, J. T.; Purcell, A. H. (1998). Introduction
to Insect Biology and Diversity (2nd ed.). Oxford University Press. pp. 362–364

Meyer R, Lochner S and Melzer RR (2009) Decapoda – Crabs,
Shrimps & Lobsters pp. 623–670 In: Häussermann V and Förstera G (eds)
Marine Benthic Fauna of Chilean Patagonia: Illustrated Identification
Guide”, Nature in Focus.

Slaytor, Michael (1992). “Cellulose digestion in
termites and cockroaches: What role do symbionts play?”. Comparative
Biochemistry and Physiology B. 103 (4): 775–784.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet