Kalau kita sebut negara India, mesti semua akan terfikir tentang pelakon-pelakon popular seperti Shah Rukh Khan, Salman Khan, Amir Khan, Hrithik Roshan, Amitabh Bhachan, Rajinikanth dan lain-lain. Selalu juga orang bila sebut pasal negara India, pasti minda kita akan mengaitkannya dengan agama Hindu.
Tapi tahukah anda?
Umat Islam telah mendirikan banyak kerajaan yang menguasai wilayah India itu selama lebih dari 700 tahun lamanya!
Sepanjang sejarah, wilayah India turut diwarnai dengan jatuh bangun pelbagai kerajaan Islam yang kaya-raya. Umat Islam membina ketamadunan yang sangat bernilai di wilayah India. Kekayaan para pemerintah Islam di India sehingga menyebabkan para penjajah Eropah ingin datang menjarah segala kekayaan yang dimiliki oleh umat Islam.
Maka tertubuhlah organisasi antaranya seperti Syarikat Hindia Timur Inggeris, Syarikat Hindia Timur Belanda, Syarikat Hindia Timur Portugis, Syarikat Hindia Timur Perancis dan Syarikat Hindia Timur Denmark. Mereka juga ingin merampas kedaulatan kerajaan Islam di India.
Jika silsilah kekeluargaan dipanggil “Nasab”, manakala silsilah keilmuan dipanggil “Sanad”. Maka silsilah kedaulatan pula dipanggil “Syi’arat” (Regalia).
Bercakap tentang Regalia iaitu alat kebesaran diraja yang menjadi warisan lambang keabsahan dan kedaulatan sesebuah kerajaan, para pemerintah Islam di India juga memiliki pelbagai Regalia tersendiri. Antara Regalia termasyhur adalah sebuah batu permata berlian yang amat besar bernama “Koh-i-Nur”.
Koh-i-Nur atau dalam bahasa Parsinya bermaksud “Gunung Cahaya” merupakan salah satu batu permata jenis berlian yang terbesar di dunia. Saiz permata yang seberat 191 karat itu adalah 4.1 cm X 3.26 cm X 1.26 cm. Harganya kini dianggarkan melebihi 1 BILLION DOLLAR ($1,000,000,000) !!!
Menurut satu riwayat, permata Koh-i-Nur ini pertama kali ditemui pada sekitar tahun 1310 Masihi di zaman Sultan Alauddin Khalji iaitu pemerintah kedua dari Dinasti Khalji dalam Kesultanan Delhi. Dinasti Khalji adalah dinasti kedua Kesultanan Delhi setelah Dinasti Mamluk.
Permata ini terus diwarisi dari seorang Sultan kepada Sultan yang lain yang memerintah India. Dari Dinasti Khalji kepada Dinasti Tughlaq, kemudian kepada Dinasti Sayyid dan terakhir sekali kepada Dinasti Lodi dalam kesultanan Delhi. Perwarisan dari seorang Sultan kepada seorang Sultan ini berlangsung selama 216 tahun.
Kesultanan Delhi diganti pula oleh Kesultanan Mughal apabila Sultan Nasiruddin Babur mengalahkan pemerintah terakhir Kesultanan Delhi pada tahun 1526 Masihi. Permata Koh-i-Nur juga berpindah milik sebagai tanda kedaulatan Kesultanan Delhi beralih kepada Kesultanan Mughal.
Kesultanan Mughal ini kemudiannya berkembang pesat sehingga menjadi sebuah empayar sebaris dengan Khilafah Uthmaniyyah. Bahkan, seperti yang pernah al-faqir tulis pada artikel lepas, kekayaan empayar Mughal ini mengalahkan empayar Uthmaniyyah dan pemerintah terkaya Eropah iaitu Raja Perancis sendiri. Ketika itu Empayar Mughal adalah antara kerajaan yang terkaya di dunia.
Permata Koh-i-Nur turut menjadi Regalia warisan para Sultan Mughal. Ketika di zaman Shah Jahan iaitu seorang Maharaja Mughal yang terkenal dengan Taj Mahal nya, baginda telah membina sebuah takhta yang bertatahkan pelbagai berlian permata. Takhta yang dinamakan sebagai “Throne of Peacock” (Takhta Si Merak) itu turut disempurnakan perhiasannya apabila Koh-i-Nur diletakkan padanya.
Permata ini sangat masyhur dalam kalangan Raja-Raja pada ketika itu. Masing-masing menyimpan niat untuk memilikinya. Pernah suatu ketika Empayar Mughal diserang oleh sebuah kerajaan Parsi, lalu menyebabkan Takhta Si Merak yang bertatahkan permata Koh-i-Nur ini diangkut ke Parsi.
Raja Parsi itulah yang memanggil permata tersebut dengan nama Koh-i-Nur kerana terpukau saat memandang keindahan permata tersebut. Koh-i-Nur ini kemudiannya dirampas pula oleh seorang pemerintah Afghan. Kemudiannya lagi, permata ini dilarikan pula ke wilayah Pakistan untuk diletakkan di sebuah Kuil Suci.
Dalam perebutan ini berlaku, datang pula British yang dalam usaha menjajah seluruh wilayah India. Dengan muslihat licik British melalui segala perjanjian-perjanjian penjajahannya, permata Koh-i-Nur ini berjaya mereka miliki. Permata ini dibawa ke Istana Buckingham pada tahun 1850 untuk dipersembahkan kepada Ratu Victoria bersempena sambutan ulang tahun penubuhan SHTI yang ke-250.
Permata ini dipamerkan kepada umum di London. Namun, kerabat diraja Britain kurang berpuas hati dengan bentuk potongan asal batu permata tersebut, maka pada tahun 1852, mereka mengupah pakar batu permata bagi membuat potongan baru pada permata tersebut sehingga menyebabkan Koh-i-Nur sedikit mengecil.
Saiz Koh-i-Nur menjadi 3.6 cm X 3.2 cm X 1.3 cm dan beratnya berkurangan menjadi 105.6 karat. Proses pemotongan permata itu mengambil masa selama 38 hari.
Oleh kerana menurut sejarah permata ini menjadi rebutan para pemerintah lelaki pelbagai kerajaan sehingga menyebabkan kerajaan-kerajaan yang raja-nya memiliki permata ini musnah, maka kerana itulah kerabat diraja Britain hanya memakaikan permata ini kepada kerabat diraja wanita sahaja. Mereka tidak mahu kerajaan British juga musnah terkena “Sumpahan Koh-i-Nur” apabila pemerintah lelaki yang memakainya.
Sehingga kini, kerajaan India, Iran, Afghanistan dan Pakistan cuba menuntut kembali hak pemilikan permata Koh-i-Nur ini. Namun, segala tuntutan kerajaan-kerajaan ini dinafikan oleh kerajaan Britain atas alasan Perjanjian Terakhir Lahore yang dikatakan telah menjadi punca keabsahan pemilikan ini.
Permata Koh-i-Nur kini terletak di Tower of London dan kadangkala ianya dipamerkan kepada para pengunjung. Permata Koh-i-Nur turut menjadi sebahagian daripada Regalia Kerajaan Britain apabila ianya ditatahkan bersama permata-permata lain pada Mahkota Kerajaan Britain. Boleh lihat permata Koh-i-Nur ini pada Mahkota yang dipakai oleh Ratu Elizabeth pada gambar di bawah (ruangan komen).
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih