Setiap tahun, ribuan warga emas yang mengalami masalah dementia hilang di Jepun. Dan bila pencarian dilakukan oleh pihak berkuasa, hanya ratusan saja yang ditemui selamat. Dan ini mengundang masalah besar bagi Tokyo yang dihimpit isu bilangan warga emas yang semakin meningkat saban tahun. Tetapi Tokyo juga turut mempunyai satu aset iaitu akses kepada teknologi terkini yang dilihat mampu menangani masalah ini.

Bagi membantu para pembaca memahami skala masalah ini, ini kisah seorang wanita bernama Puan Itou yang berasal dari bandar Matsudo. Apabila dia hilang buat kali pertama, anak lelakinya memandu kereta ke semua tempat yang biasa dikunjunginya.

Tetapi ini bukan satu tugas yang mudah kerana Puan Itou amat suka berjalan dan kadangkala boleh mencecah sehingga 100 kilometer sebulan. Tetapi akhirnya, dia dapat dijumpai dengan selamat dan dibawa pulang ke rumah. Namun sejak itu, Puan Itou hilang lagi sebanyak empat kali lebih-lebih lagi bila situasi dementianya semakin buruk.

Tekanan menjaga pesakit dementia bukan sesuatu yang asing bagi pemenang Hadiah Nobel Fisiologi atau Perubatan 2013 Profesor Randy Schekman. Ini kerana beliau pernah menjaga mendiang isterinya yang mengalami dementia dan penyakit Parkinson.

Bila mengimbas semula pengalamannya itu, Schekman berkata, “Anda perlu sentiasa kekal awas. Apabila keadaan dementia isteri saya semakin buruk, saya tidak boleh membenarkannya menggunakan tandas bila kami keluar bersama. Dia akan masuk ke ruang tandas, mengunci pintu dan tidak boleh membuka kunci pintu – dia terperangkap dalam tandas wanita.”

Prof Schekman melihat peningkatan bilangan warga emas yang mengalami dementia ini sebagai satu krisis yang sama skala dengan krisis perubahan iklim. Ini kerana berikutan masalah ini, ia akan memberi tekanan mental kepada ahli keluarga atau penjaga pesakit. Selain itu jika ia tidak ditangani sebaik mungkin, ia juga boleh memberi impak ekonomi negatif berikutan ahli keluarga atau penjaga terpaksa meninggalkan pekerjaan mereka demi menjaga orang tersayang. Ketika ini, beliau bersama sekumpulan saintis dari seluruh dunia terlibat dalam satu projek penyelidikan membabitkan penyakit Parkinson dengan penyelidikan itu dibiayai oleh pengasas bersama Google, Sergey Brin.

Tatkala kajian ini sedang berjalan, lain pula halnya di Jepun. Seorang pencipta bernama Haruo Hiduka memperkenalkan satu lencana yang mempunyai kod QR (imej segi empat sama seperti kod bar) yang boleh dibaca sesiapa yang mempunyai telefon pintar. Menurut Hiduka, idea ini tercetus selepas melihat kesukaran yang dialami neneknya yang juga seorang penghidap dementia.

Selain itu, lencana ini juga merupakan satu lagi kaedah untuk menangani masalah warga emas yang mati keseorangan di rumah dan kematian mereka hanya disedari selepas beberapa minggu. Idea ini mendapat sambutan baik di mana ia sudah dijual kepada 630 bandar di Jepun. Terima kasih kepada lencananya itu, Puan Itou dapat dijumpai semula sebanyak dua kali selepas dua kali insiden terakhir dia hilang.

Selain lencana yang diperkenalkan Hiruka, sebuah bandar di Jepun pula mencadangkan penggunaan pelekat kod QR yang diletakkan di jari tangan dan kaki penghidap dementia. Sebuah syarikat di Iruma, sebuah bandar berhampiran Tokyo memperkenalkan pelekat yang berukuran 1 cm mengandungi alamat, nombor telefon dan nombor pengenalan unik setiap pengguna. Perkhidmatan ini merupakan yang pertama seumpamanya di Jepun bila diperkenalkan pada tahun 2016.

Matlamat di sebalik idea ini ialah menyatukan semula ahli keluarga dengan anggota keluarga mereka yang hilang sekiranya mereka dilaporkan hilang. Teknologi ini membenarkan pihak berkuasa mengakses semua maklumat pesakit dengan mengimbas kod pada jari mereka. Pelekat ini bersifat kalis air dan boleh bertahan selama dua minggu serta boleh ditutup dengan pakaian.

Tetapi kadangkala, isu pesakit dementia di Jepun memerlukan sentuhan kasih sayang orang ramai terutama kelompok sukarelawan. Di Matsudo, sekumpulan sukarelawan mengenakan ves berwarna oren dan bersiap sedia untuk keluar menjelajah sekitar bandar berkenaan. Mereka ini merupakan sebahagian daripada ribuan sukarelawan program kesedaran dementia. Selain menghantar helaian risalah program dementia dari rumah ke rumah, mereka juga turut memerhatikan rumah-rumah yang ada tanda bermasalah seperti lambakan surat.

Tanda sebegini menunjukkan pemilik rumah mengalami masalah atau lebih teruk, mati. Sukarelawan Manami Yoshii berkata, “Tiada siapa seharusnya menuding jari tetapi tanda-tanda memang jelas kelihatan. Dengan meletakkan risalah dalam peti surat, kita boleh memeriksa sama ada peti surat mereka penuh dengan surat atau sebaliknya. Dari situ, kami boleh menentukan sekiranya wujud kecemasan membabitkan pemilik rumah.” Bagi penghantaran risalah kali ini, ia merupakan hebahan kafe-kafe sementara dementia di Matsudo.

Walaupun ramai mengakui lencana/pelekat kod QR ini merupakan sesuatu yang baik tetapi ia tidak semestinya solusi yang bersifat kekal. Bagi pemilik kafe dementia Akiko Saito, kunci kepada masalah warga emas dementia atau mati keseorangan ini ialah hubungan kejiranan atau komuniti. Di sebalik kepentingan laman media sosial hari ini, hubungan komuniti dilihat amat penting terutama dalam tempoh bencana. Ini kerana jika berlaku kecemasan, merekalah yang menjadi tiang sesebuah masyarakat dan menjadi penyokong tanpa mengira senang atau susah.

RUJUKAN:

1. BBC. (2016). Japan tracks dementia patients with QR codes attached to fingernails. https://www.bbc.com/news/world-asia-38247437

2. Rose, Ian. (2019). Are barcodes the way to protect dementia patients? BBC. https://www.bbc.com/news/business-48227747


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.