Lebih 2000 tahun yang lalu, sewaktu Alexander Agung menakluki Parsi, beliau menghantar seorang panglima bernama Nearchus untuk berlayar ke Sungai Indus dan memetakan kawasan tersebut. Pengembaraan ini dipenuhi dengan pelbagai penemuan yang menggemakan sejarah.
Nearchus berlayar mengharungi sungai tersebut dan menemukan suku-suku asli yang belum pernah dijumpai oleh orang-orang Yunani. Mereka ini dipanggil sebagai ‘orang gasar’ dan hampir kesemua mereka dibvnuh oleh peneroka Yunani itu.
PENGEMBARAAN NEARCHUS KE SUNGAI INDUS
Nearchus merupakan seorang laksamana dalam pasukan tentera Alexander Agung. Beliau banyak membantu armada Yunani dalam memerangi Parsi. Selepas Parsi berjaya ditewaskan, Alexander Agung menghantar Nearchus untuk meneroka Sungai Indus dan mencatatkan segala pengalaman yang dilaluinya.
Dalam erti kata lain, beliau merupakan salah seorang peneroka yang hidup ribuan tahun sebelum berlangsungnya Zaman Penjelajahan – beliau merupakan antara manusia terawal yang meredah bumi tidak berpeta dan pulang ke tanah air dengan membawa cerita-cerita mengujakan tentang haiwan-haiwan aneh dan tamadun-tamadun yang belum pernah disaksikan oleh warga Yunani.
SALAH SEORANG PENEROKA YUNANI PERTAMA DI INDIA
Hampir segala yang disaksikan oleh Nearchus sepanjang pengembaraannya itu membuatkan beliau terpukau, khususnya apabila melihat sendiri kehebatan tamadun India yang menurutnya, menandingi Yunani dari segi kekuatan. Beliau juga ada mencatat perihal sejenis burung kakak tua, betapa burung ini boleh bercakap seperti manusia.
Beliau juga mengagumi rakyat jelata yang hidup di sana. Perihal pasukan tentera mereka, beliau memuji dengan mengatakan, “tiada apa yang dapat bertahan tatkala menghadapi bidikan panah para pemanah India”; beliau juga mengagumi kaum wanita India dan menyifatkan mereka sebagai “kecantikan yang penuh kesederhanaan”. Beliau juga tidak tinggal dari mencatat perihal tamadun india itu sendiri, yang menurutnya sebuah tempat yang maju dan perlu diteladani oleh masyarakat Yunani.
Walau bagaimanapun, warga India bukan hanya hidup di kota-kota agung mereka sahaja. Ada juga yang menetap di tepi-tepi sungai dan mengamalkan gaya hidup tradisi. Pertemuan antara Nearchus dan kumpulan masyarakat yang sebegini mempunyai senario yang agak berbeza dan tidak berlangsung aman.
SUKU ASLI ‘PEMAKAN IKAN’
Kawasan-kawasan di tepi Sungai Indus dipenuhi dengan suku-suku asli yang masih hidup dengan menggunakan teknologi Zaman Batu. Nearchus menggelar kebanyakan mereka sebagai ‘Pemakan Ikan’ lantaran makanan ruji mereka adalah ikan. Mereka menangkap ikan dengan menggunakan jaring yang diperbuat daripada kulit kayu pokok dan daging ikan tersebut dimakan secara mentah.
Dalam erti kata lain, alatan logam masih belum menembusi budaya mereka. Satu-satunya senjata yang mereka miliki adalah lembing kayu, di mana bahagian matanya dipertajam dengan batu dan dikeraskan di atas api. Mereka juga masih mengenakan kulit binatang sebagai pakaian, menggunakan batu besar sebagai tukul, dan melapah makanan dengan hanya menggunakan jari semata.
PEMBVNUHAN DI SUNGAI INDUS
Dalam perjalanan pulang, Nearchus dan pasukannya berpampasan dengan sekumpulan masyarakat asli yang hidup di mulut sungai. Masyarakat asli yang belum pernah menyaksikan konvoi kapal sebesar itu serta-merta dirundung perasaan takut dan cemas. Tanpa semena-mena, mereka berkumpul di tepi sungai dengan masing-masing membawa lembing kayu.
Menurut catatan Nearchus, bilangan mereka pada waktu itu sekitar enam ratus orang. Namun, tiada seorang pun di antara mereka yang mengenakan baju pelindung dan mereka hanya mampu bertarung dengan menggunakan lembing kayu. Justeru, mereka bukanlah tandingan buat tentera-tentera Yunani yang sememangnya berpengalaman menghadapi pep3rangan besar.
Nearchus lantas memerintahkan pasukan yang berkelengkapan ringan untuk turun dari kapal dan berenang ke tepi sungai bagi membentuk formasi p3rang. Setelah isyarat diberikan, mereka dengan pantas menyerang orang-orang asli tersebut sambil tentera-tentera Yunani yang masih berada di atas kapal menghujani mereka dengan bidikan panah. Dengan mudah, Nearchus melangsaikan kesemua warga asli itu. Nearchus mengisahkan tentang episod ini sebagaimana berikut:
“Dek terkejut dengan kilauan baju pelindung, kepantasan serangan dan hujanan panah dari kami, mereka dengan separa telanjang tidak henti melarikan diri tanpa memberikan tentangan. Ada yang terbvnuh semasa bertempiaran; ada yang tertangkap; namun ada juga yang lolos ke bukit.”
PENJARAHAN DI SEBUAH KOTA TIDAK BERDOSA
Episod tersebut bukanlah satu-satunya pembvnuhan yang dilakukan oleh Nearchus. Hampir setiap pertemuan beliau dengan suku-suku asli berakhir dengan tragedi.
Tidak lama selepas berlalunya episod di atas, Nearchus dan pasukannya menemui sebuah kota yang dikelilingi oleh tembok kayu. Ketika itu, Nearchus sedang kekurangan bekalan, justeru beliau khuatir tentera-tenteranya akan kelaparan. Lantas, beliau pun memerintahkan mereka supaya bergerak dalam formasi sebelum memberikan isyarat untuk melakukan serangan.
Namun, sebaik sahaja warga kota yang terdiri daripada orang asli menyedari kehadiran Nearchus, mereka bergegas keluar menyambut pasukan Yunani itu dengan kuih-muih, kurma dan ikan. Mereka dengan tangan terbuka menjemput Nearchus memasuki kota mereka dan menikmati jamuan yang diadakan. Kata warga kota, mereka begitu gembira tatkala menerima kunjungan orang asing dan bersenang hati untuk berkongsi apa sahaja yang diperlukan.
Nearchus berpura-pura menunjukkan sikap mesra. Beliau kemudiannya membuka gerbang dan membiarkan pasukannya menggempur masuk dan menyembelih warga kota. Beliau juga memaksa mereka supaya menyerah diri dan menyerahkan segala harta benda mereka, terutama simpanan makanan.
Namun ternyata, simpanan warga kota tidaklah lebih banyak berbanding pasukan Yunani itu. Bijirin barli yang dimiliki hanya sedikit cuma. Bekalan tepung mereka pula hanya didapatkan dengan menggiling ikan kering. Kuih-muih yang dijamukan tadi pula adalah hidangan yang hanya dikeluarkan pada masa-masa istimewa.
Walau bagaimanapun, Nearchus tetap merampas segala apa yang mereka miliki. Kapal-kapalnya dimuatkan sehingga penuh dan mereka tanpa segan silu meninggalkan warga kota itu sehilai sepinggang, menanti saat untuk m4ti kebuluran.
HIERARKI SOSIAL DAN SISI GELAP MANUSIA
Kisah-kisah penerokaan ini cukup mengerikan. Namun apa yang membuatkannya lebih mengerikan adalah ia bukannya datang daripada pihak musuh yang cuba mereka-reka cerita untuk menjatuhkan imej pihak lawan. Sebaliknya, setiap cerita yang memenuhi episod penerokaan ini datangd aripada Nearchus sendiri, ditulis tanpa sekelumit pun rasa bersalah.
Bagi Nearchus dan orang-orang Yunani, perbuatan mereka itu langsung tidak ada salahnya. Beliau dan pasukannya memerlukan makanan dan mereka itu pula adalah orang gasar, justeru bagi mereka, membvnuh orang-orang itu tiada bezanya dengan membvnuh haiwan.
Peletakan garis sempadan atau hierarki sosial yang sebegini merupakan satu sikap jijik yang diamalkan oleh manusia tanpa mengira masa dan bangsa; yakni garisan pemisah antara manusia bertamadun dan orang gasar yang mundur. Seolah-olah, teknologi dan kemajuan itu membuatkan sekelompok manusia lebih berharga berbanding sekelompok manusia lain yang lebih mundur dan ketinggalan. Menerusi kisah penerokaan Nearchus ini, kita dapat melihat betapa idealisme sebegini sudah pun membelenggu umat manusia sejak ribuan tahun dahulu.
TERJEMAHAN:
Mark Oliver. (26 Jun 2018). Remorseless Chronicles of Sl4ughter: Fatal First Contact Between Ancient Greece and the Tribes of India. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-important-events/remorseless-chronicles-sl4ughter-fatal-ancient-greece-021957
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih