Mungkin tidak ramai pernah dengar pasal Kampung Bukit Lintang di bumi Melaka. Di sini pernah berlaku suatu tragedi sangat ngeri – sesuatu yang tidak boleh dibiar tenggelam dalam timbunan masa. Pedihnya masih dapat dirasai hingga kini, terutamanya dalam kalangan ahli keluarga terdekat. Kampung Bukit Lintang terletak berhampiran dengan Ayer Molek, Telok Mas dan Ujong Pasir. Kira dekat sangatlah dengan pusat bandar.
Kampung Bukit Lintang.
Di sini ada sebuah tanah perkuburan Islam, dimana lima adik beradik ditanam dalam satu liang yang sama. Satu liang lahad. 10 batu nisan. Penutup hidup lima anak masih kecil yang belum sempat kenal dunia tetapi bakal (atau sedang) menikmati alam syurga. Liang ini kini dipagarkan dengan papan tanda: “Kubur Lima Beradek”.
Tragedi ini berlaku pada 1 Disember 1974, selepas Kassim Alauddin dikatakan telah membeli telur ikan kurau. Isterinya Fatimah Hussein memasaknya menjadi lauk asam pedas untuk dimakan waktu tengah hari. Seramai 11 anggota keluarga menikmati juadah ini. Kassim, Fatimah, anak-anak mereka: Noraini, Mohd Syukur, Rohana, Hijrah dan Norasyikin, serta saudara-mara yang tinggal berdekatan. Semuanya perlu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Malangnya, kelima-lima anak dalam senarai meninggal dunia… kerana lauk dimasak telah beracun.
Ada satu lagi versi mengatakan itu telur ikan buntal. Dan Kassim dan Fatimah cemas melihat lima anak mereka bergelimpangan di tempat sama sesudah makan.
Kisah Yang Menggemparkan Orang Kampung
Takkan sesiapa boleh faham hiba dalam hati Kassim dan Fatimah. Dugaan sebegini berat walau bagaimanapun mereka redha dan menghadapi dengan perasaan tabah. Sedih itu pasti. Anak-anak terlalu kecil, dalam lingkungan tiga hingga 11 tahun sahaja. Pada hari kejadian, anak bongsu mereka – Makmor Kassim – masih enam bulan… jadi tidak makan lauk beracun tersebut. Makmor membesar dengan orang kampung sering memanggilnya dengan nama Syukur, mungkin kerana wajahnya seiras dengan arwah abangnya.
Makmor juga mempunyai adik-adik lain, lima orang yang lahir selepas kejadian pahit ini. Dan beberapa dekad kemudian, Makmor membina rumahtangganya. Sebagai tanda ingatan, Makmor memberi anaknya nama Syukur. Anak perempuan pula diberi nama Hijrah. Kedua-dua adalah abang dan kakaknya. Peristiwa ini beransur-ansur menjadi sebahagian daripada sejarah Kampung Bukit Lintang. Kassim pula meninggal dunia kira-kira 20 tahun lalu. Kali terakhir ada laporan tentang Fatimah; beliau sudah uzur pada usia 76 tahun.
Ketabahan keluarga ini memberi gambaran jelas betapa kukuhnya akidah mereka yang nekad menerima takdir. Orang lain jika ditimpa musibah sebegini besar entah apa yang jadi. Namun lain bagi Kassim dan Fatimah. Kelihatan anak-anak mereka berdua nampak berjaya juga, bertebaran mencari rezeki demi tanggungjawab di bumi Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura.
Mudah-mudahan mereka berada dalam naungan keberkatan senantiasa; dan sebelum menutup artikel, ayuhlah kita semua menghadiahkan bacaan al-Fatihah pada semua insan yang meninggal dunia dalam tragedi begitu pahit nanti.
Akhir kata, beli juga buku terbaru kami bawah imprint fiksyen kami. Ada pra-tempah dan harga diskaun sedang ditawarkan untuk para pembeli. Beli di webstore kami.
Pencari Cincin Sakti: http://bit.ly/CincinSaktiStore
Sate Untuk Jembalang: http://bit.ly/SateJembalangStore
Kombo: http://bit.ly/komboPCSSUJ




No comments yet