Kalau mengenali tentang perkumpulan atau organisasi rahsia, mesti kita biasa dengar dengan nama seperti ‘Freemason’ dan ‘Illuminati’. Kedua-dua organisasi ini begitu terkenal apabila membincangkan tentang teori konspirasi, kononnya organisasi ini begitu berahsia dan dikatakan ‘pentadbir’ kepada agenda-agenda dunia. Yang sebenarnya, terdapat lagi sebuah organisasi rahsia yang lebih tua dari Freemason dan Illuminati ini, malah organisasi ini telah ditubuhkan di India!

Sebelum kita mengetahui apakah organisasi rahsia ini, kita fahami dahulu sejarah India pada lebih 2,000 tahun dahulu. Sekitar tahun 200 SM, India ketika itu diperintah oleh maharaja yang menubuhkan dinasti Maurya sehingga mencapai status empayar. Maharaja Maurya yang terkenal pada waktu itu ialah maharaja Asoka. Baginda mahir dalam strategi peperangan sehingga empayar Maurya mampu mencapai fasa kegemilangan.

Namun, maharaja ini berubah seratus peratus, dari seorang jeneral yang sentiasa bertempur sehingga menjadi seorang yang alim. Anutan baginda pun turut berubah juga, dari penganut Hindu kepada penganut ajaran Buddha. Perubahan drastik ini terjadi setelah berlakunya Pertempuran Kalinga yang mengorbankan nyawa seramai 100,000 orang. Korban Inilah menyebabkan Asoka begitu menyesal dan bertekad untuk tidak lagi berperang, malah memajukan empayarnya dengan penyebaran ajaran Buddha.

Maharaja Asoka yang terkenal dengan memajukan empayar Maurya melalui kempen penjajahan dan penyebaran ajaran Buddha. (Sumber: Magzter)

Pada tahun 270 SM, maharaja Asoka sedar bahawa sektor-sektor yang mendorong kemajuan tamadun seperti pendidikan, ekonomi, sains, sastera, dan sebagainya adalah ‘alat’ yang penting untuk jadikan sesebuah tamadun lebih kehadapan. Maka, baginda mengumpulkan 9 orang warga bijaksana untuk mengkaji, mencatat, dan mengumpulkan segala ilmu yang mereka peroleh, kemudian bukukannya. Namun begitu, kesemua buku yang dihasilkan oleh 9 orang bijak pandai ini harus menjadi simpanan mereka saja kerana Asoka risau bahawa jika buku-buku ini jatuh ke tangan sesiapa, dia akan melakukan kejahatan dan kuasai dunia dengan mudah.

Perkumpulan 9 orang warga bijaksana inilah organisasi rahsia dari India yang bernama ‘The Nine Unknown Men’ atau ‘Sembilan Orang Misteri’. Siapakah 9 orang ahli perkumpulan rahsia ini? Sehingga kini tiada siapa tahu siapakah mereka, malah tidak diketahui adakah lagi generasi kini berasal dari 9 orang ahli ini.

Namun, Asoka telah senaraikan apakah sembilan buku yang baginda mengarahkan organisasi rahsia ini hasilkan. Buku-buku tersebut ialah:

1. Fisiologi. Buku tentang biologi pergerakan tubuh, terutamanya teknik bernama ‘The Touch of Death’. Teknik ini dikatakan teknik bagaimana cara membunuh seseorang dengan menyentuh saja. Dikatakan Judo ialah seni pertahanan diri yang mengikut teknik ini.

2. Komunikasi. Buku yang merungkai teknik berhubungan dengan makhluk Di Bumi dan juga makhluk asing di angkasa. Ahli yang menghasilkan buku ini dikatakan percaya kepada kewujudan makhluk asing ini.

3. Graviti. Buku yang membongkar rahsia kewujudan graviti. Buku ini juga menerangkan penciptaan Vimana, iaitu kapal angkasa yang diceritakan dalam kitab Vedas.

4. Microbiologi. Buku tentang kajian organisma mikrob serta sistem biologinya. Bioteknologi iaitu teknologi berasaskan biologi juga dibincangkan dalam buku ini.

5. Propaganda. Buku yang membincangkan tentang propaganda dan strategi psikologi pertempuran.
6. Kosmologi. Buku tentang rahsia kewujudan alam semesta.

7. Alkimia. Buku membincangkan bidang sains kimia kuno yang mengubah sesuatu bahan kepada bahan yang baru seperti menukar besi kepada emas.

8. Cahaya. Buku yang membongkar rahsia cahaya seperti menganalisis kelajuannya serta keupayaan cahaya sebagai senjata.

9. Sosiologi. Buku tentang proses sosial masyarakat. Buku ini juga membincangkan cara meramal keruntuhan sesebuah masyarakat.

Sekarang kita telah mengetahui kewujudan organisasi rahsia dari India ini. Satu persoalan penting untuk kita perlu rungkaikan. Wujudkah ‘9 Orang Misteri’ ini?

Rekod tentang ‘9 Orang Misteri’ sebenarnya ditulis dalam bentuk novel pada tahun 1923 oleh penulis novel bernama Talbot Mundy. Novel yang berjudul ‘The Nine Unknown’ ini kemudian dipopularkan oleh dua orang penulis majalah iaitu Louis Pauwels dan Jacques Bergier kerana mereka percaya bahawa organisasi rahsia ini sebenarnya wujud.

Dari kepopulariti inilah ramai golongan mendakwa mereka pernah bertemu dengan pewaris ahli organisasi rahsia semasa berada di India. Sehinggakan pemimpin empayar Na3i Jerman sanggup mengarahkan pasukan tenteranya pergi ke pergunungan Himalaya semata-mata menemui organisasi ini!

 

Novel ‘The Nine Unknown’ oleh Talbot Mundy. (Sumber: Goodreads)

Walaupun ramai mendakwa tentang kewujudan ‘9 Orang Misteri’ ini, namun ia hanyalah dakwaan tanpa sebarang bukti berkaitan. Lagipun organisasi ini terang-terang berahsia, maka sukar untuk para sejarahwan membongkar kewujudan mereka. Saya pun tidak mempunyai jawapan untuk soalan ini.

Kalau ‘9 Orang Misteri’ ini benar-benar wujud, tidak hairan jika India berkeupaya menjadi sebuah negara berpengaruh dan berkuasa setanding dengan China dan Amerika Syarikat. Mungkin masalah penghasilan gandum takat petik jari saja tanpa mempedulikan krisis Rusia-Ukraine ini.

RUJUKAN:

Sood, T. (2020, November 26). The Mystery behind the 9 Unknown Men. Shortpedia Voices.

Taves, Brian (2006). Talbot Mundy, philosopher of adventure: a critical biography. Jefferson, N.C: McFarland & Company.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Leave A Reply