Kisah keingkaran Bani Israil ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam sejarah panjang Bani Israil. Ada sahaja keingkaran dan inovasi mereka dalam mengingkari arahan Allah SWT dan utusannya. Walaupun Nabi yang diutuskan kepada mereka ini adalah dari kalangan mereka sendiri, iaitu Nabi Bani Israil. Salah satu kisah pengingkaran mereka ini yang terkenal adalah kisah mereka mendustakan Nabi Allah Harun AS.
Nabi Harun AS merupakan seorang Nabi yang lembut tutur katanya. Allah SWT telah memerintahkan agar Nabi Harun AS menjadi pendamping dan membantu Nabi Musa AS dalam menyampaikan Dakwah kepada umat Bani Israil pada ketika itu.
Pada suatu ketika, Nabi Musa AS telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk keluar dari kalangan Bani Israil untuk menerima wahyu Kitab Taurat. Nabi Harun AS telah diamanahkan untuk membimbing Bani Israil ini agar tidak melakukan kesyirikan kepda Allah SWT.
Namun, ada sahaja inovasi yang mereka inginkan bagi mensyirikkan Allah. Bani Israil telah bersepakat menginginkan Tuhan yang dapat dilihat dengan mata kasar. Bagi mereka, Tuhan yang dapat dilihat adalah dapat meningkatkan ibadat mereka kepada Tuhan.
Dalang utama bagi inovasi ini adalah Samiri. Samiri telah bertindak membina patung Lembu Emas dan dikatakan patung ini mampu bersuara. Alangkah takjubnya Bani Israil melihat hal ini lantas mereka pun menyembahnya dan menganggapnya sebagai Tuhan mereka. Perihal ini telah pun dilarang oleh Nabi Harun AS. Namun, tetap sahaja Bani Israil ini “begik” dengan tindakan mereka bahkan mengugut ingin membunuh Nabi Harun AS.
Setibanya Nabi Musa AS, tuntas Nabi Musa AS melihat umatnya telah melakukan kesyirikan. Orang pertama yang dicari adalah Nabi Harun AS. Namun, Harun AS telah melakukan tugasnya dan bahkan mereka tetap dengan keingkaran mereka. Akhirnya, Nabi Musa AS menyoal Samiri, mengapa dia melakukan hal ini.
Samiri dengan selamba menjawab, “Ini adalah dorongan nafsunya semata mata.” Nabi Musa AS kemudiannya menghancurkan berhala ini dan sebahagiannya insaf dan sebahagiannya masih kekal ingkar mereka kepada Allah SWT.




No comments yet