Jadi, siapa pemerintah Himyar yang nak musnahkan Kaabah tu?
Dalam Tafsir Ibnu Kathir (ra), beliau ulas kisah yang disebut dalam ayat 37, Surah al-Dukhan mafhumnya, “(Mengapa mereka masih berdegil dalam kekufurannya?) Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau kaum “Tubba’” dan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.”
Menurut Ibnu Kathir, kisah ni berlaku semasa pemerintahan Abu Karib As’ad. Pada suatu ketika, baginda melancarkan kempen penaklukan ke atas Yathrib dan berjaya ditakluk tanpa sebarang tentangan. Bagaimanapun, penduduk tempatan menolak gabenor lantikannya yang juga putera Abu Karib dan membunuhnya.
Baginda perangi mereka tapi tak lama lepas tu, Abu Karib sakit. Penduduk Yathrib pun hantar makanan dan mengubatinya sehingga sembuh. Malu dengan tindakannya ke atas Yathrib, Abu Karib arahkan semua kempen ketenteraan dihentikan.
Rombongan baginda kemudiannya meneruskan perjalanan ke Makkah dengan Abu Karib merancang untuk memusnahkan Kaabah. Bagaimanapun, dua orang pendeta Yahudi Yathrib yang ikut rombongannya nasihat baginda supaya jangan buat. Ini kerana menurut mereka, Kaabah merupakan bangunan binaan Nabi Ibrahim (as) dan akan menjadi simbol penting semasa nabi akhir zaman diutuskan iaitu Nabi Muhammad (saw).
Abu Karib ikut nasihat mereka dan ambil keputusan melakukan tawaf sekitar Kaabah. Sebelum berangkat pulang ke Yaman, baginda turut memastikan Kaabah diliputi oleh kain yang elok mutu pembuatannya. Selepas pulang, Abu Karib ajak penduduk Yaman ketika itu agar mengikut agama Nabi Musa (as) (Yahudi).
Menurut Ibnu Kathir, peristiwa inilah yang membawa kepada pertukaran agama kerajaan Himyar daripada pagan kepada Yahudi.
Agama Yahudi yang dianuti mereka itu bukanlah agama yang kita lihat hari ini. Mereka ikut ajaran asal kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa (as) yang turut menceritakan perihal nabi akhir zaman. Malah, sebab ini juga yang membuka jalan kepada pengislaman ramai orang Yaman semasa misi dakwah seorang sahabat bernama Muaz bin Jabal (ra).
Oleh: Azizul Farhan
…
Helaian sejarah Yahudi dan Bani Israil tersingkap di dalam KITAB TAMADUN YAHUDI. Dapatkan di Shopee kami: https://bit.ly/3MkDT6b