Sebut saja gulag, ramai akan menjadikan buku The Gulag Archipelago yang dikarang Alexander Solzhenitsyn sebagai rujukan utama. Tetapi tidak ramai tahu sebelum The Gulag Archipelago, seorang bekas tahanan gulag telah bersuara terlebih dahulu menerusi dua buku iaut Permafrost – Notes from a Stalinist Concentration Camp dan Diary of Escape from Communist Russia pada 1930-an. Bekas tahanan yang dimaksudkan ialah Kinmasa Katsuno.

Kinmasa Katsuno. Sumber: Alexander Solzhenitsyn House of Russia Abroad

Lahir di Nagano pada 1901, Katsuno dikenali sebagai penyokong hak orang ramai. Malah, semasa berusia 15 tahun, beliau pernah ditahan polis Jepun selama dua hari. Ini selepas Katsuno memberi syarahan berkenaan ketidakadilan dalam struktur negara di sebuah dewan di Nagano. Kisah penangkapannya disiarkan di akhbar tempatan dengan beliau diberi gelaran ‘orang gila’ oleh media.

Hakikatnya, ‘orang gila’ ini dipengaruhi oleh idea-idea Karl Marx yang dianggap bersesuaian dengan agenda pro-rakyatnya. Tetapi disebabkan sikap Katsuno yang enggan berkompromi, bukan sekali beliau berdepan masalah. Beliau pernah dibuang dari Universiti Nihon pada 1918 selepas menerbitkan satu artikel yang menggesa pendidikan didemokratikkan.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Ini memaksa Katsuno menyambung pengajian di Universiti Waseda. Di sini, beliau lebih bernasib baik kerana bilangan pelajar berhaluan kiri lebih ramai di situ. Selain menerbitkan makalah-makalah, Katsuno juga aktif menghadiri acara-acara protes. Ini menyebabkan beliau ditahan polis sebanyak dua kali.

Tetapi menjelang 1920-an, kerajaan Jepun dilihat lebih cenderung kepada puak pro-tentera. Dan itu merupakan berita buruk bagi aktivis-aktivis berhaluan kiri seperti Katsuno. Lantas, beliau memilih berhijrah ke Perancis pada 1924.

Sebaik tiba di Paris, Katsuno menyambung pengajian di Universiti Sorbonne. Beliau juga kemudiannya menganggotai Parti Komunis Perancis, menyertai aktiviti protes dan membantu mengatur aktiviti mogok membabitkan kesatuan-kesatuan pekerja.

Protes ahli komunis di Paris. Sumber: Getty Images

Bagaimanapun, penglibatannya di Perancis kurang disenangi pihak berkuasa tempatan. Selepas Katsuno ditahan dalam satu protes, seorang polis menasihatinya agar meninggalkan negara itu bagi mengelak lebih banyak masalah di kemudian hari. Lantas, beliau berangkat ke Kesatuan Soviet melalui Jerman dengan sokongan Jawatankuasa Komunis Antarabangsa (Comintern).

Katsuno bernasib baik semasa berada di Rusia, beliau dinaungi oleh seorang figura komunis Jepun terkenal bernama Sen Katayama. Katayama juga merupakan figura utama dalam Comintern dan Parti Komunis Jepun. Selain berkhidmat sebagai setiausaha figura itu, Katsuno turut mengajar Bahasa Jepun di Institut Pengajian Timur Jauh dan mengarang artikel untuk akhbar-akhbar Soviet dan penerbitan bawah tanah Jepun.

Sen Katayama. Sumber: Sputnik.

Disebabkan pengalaman baiknya di Rusia dan fasih berkomunikasi dengan penduduk tempatan, Katsuno juga turut memilih menjadi warganegara Soviet di bawah nama Alexander Ivanovich. Ironinya, nama itulah yang kemudiannya digunakan dalam dokumen penahanannya beberapa tahun selepas itu.

Pada akhir Oktober 1930, Katsuno ditahan oleh pihak berkuasa atas dakwaan merisik. Hakikatnya, dakwaan ini hanyalah dakwaan palsu yang dibuat bagi menangkap mana-mana individu yang berkait dengan Katayama. Ini selepas berlakunya perebutan kuasa dalam Parti Komunis Jepun membabitkan kem pro-Katayama dengan kem anti-Katayama. Disebabkan mentornya itu dituduh sebagai pengkhianat, ramai orang yang berkait dengan beliau ditahan termasuk Katsuno.

Walaupun tanpa sebarang bukti, hakim menjatuhkan hukuman penjara dan kerja berat selama lima tahun ke atas beliau. Selepas ditahan selama 18 bulan di penjara, Katsuno kemudiannya dipindahkan ke kem buruh tahanan berhampiran Mariinsk, Kemerovo. Dari situ, beliau dihantar menyertai 100.000 tahanan gulag yang bekerja di tapak pembinaan Terusan Baltik-Laut Putih.

Tahanan-tahanan gulag bekerja di kawasan Terusan Baltik-Laut Putih. Sumber: Alexander Rodchenko/MAMM/MDF/russiainphoto.ru

Projek Terusan Baltik-Laut Putih merupakan projek mega yang digerakkan oleh Josef Stalin dan perlu disiapkan dalam tempoh 20 bulan. Stalin berharap dengan projek ini siap dalam tempoh tersebut, ia memperlihatkan kejayaan polisi perancangan dan pembangunan lima tahunnya itu.

Tetapi menyiapkan terusan itu bukan sesuatu yang mudah. 100,000 tahanan termasuk Katsuno perlu menggali terusan yang berukuran 227 km panjang dengan menggunakan penyodok dan kereta roda kayu. Mengikut catatan beliau, mereka bekerja dari pukul 5.00 pagi hingga tengah malam dengan keutamaan menggali tanah dan memecahkan batu-batu keras. Mana-mana tahanan yang gagal memenuhi kuota kerja mereka berdepan risiko catuan makanan mereka dipotong.

Namun begitu, Katsuno bernasib baik. Selepas mengalami kecederaan di tapak pembinaan, beliau diberi tugas sebagai pembantu doktor di tapak projek sehingga tempoh hukumannya berakhir. Tetapi bagi rakan-rakan tahanannya, hanya kematian yang menanti mereka. Dianggarkan antara 12,000 hingga 50,000 orang tahanan mati semasa mengusahakan terusan berkenaan.

Pada Jun 1934, Katsuno diberi perlepasan awal daripada tempoh hukumannya. Tidak mahu ditahan buat kali kedua, beliau melaporkan diri ke Kedutaan Jepun di Moscow dan memohon agar dibawa pulang ke tanah air. Pada ketika itu, sudah hilang rasa cinta antara Katsuno dengan fahaman komunisme yang dijulangnya.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Menjelang musim panas tahun sama, pelbagai artikel berkenaan Katsuno muncul di dada-dada akhbar. Ia menampilkan unsur anti-komunisme dan memaparkan perihalnya yang tawar hati dengan fahaman tersebut. Tetapi Katsuno sudah tiada minat menyertai arena politik.

Sebaliknya, beliau memberi fokus kepada syarikat pembalakan yang diusahakan keluarganya dan aktiviti kebajikan serta menerbitkan dua memoirnya di atas. Katsuno meninggal dunia pada 1983, 13 tahun sebelum Rusia memberi pengampunan dan memulihkan semula nama baiknya sebagai Alexander Ivanovich.

RUJUKAN

Yegorov, O. (2020, 26 Disember). ‘The Japanese Solzhenitsyn’: How a Communist from Japan survived the Gulag. Russia Beyond.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply