Seramai 130,000 orang menyahut seruan Paus Urban II untuk berjuang di Timur Tengah. Hanya 13,000 sahaja yang berjaya tiba di Jerusalem. Perjalanan mereka sangat jauh, menempuhi segala rintangan luar jangka dengan beberapa pertempuran besar. Mereka mungkin tewas di Antioch kalau bukan kerana pembetolan seorang pengawal menara bernama Firouz (Harari, 2007). Selepas menumbangkan beberapa kota penting, mereka akhirnya meletak mata di Jerusalem diperintah Iftikhar al-Dawla yang sempat mengukuhkan pertahanan kota sebelum ketibaan musuh.
Untuk memahami naratif perang, kena kenal tiga pemimpin Salib: Godfrey of Bouillon, Raymond IV of Toulouse dan Robert II of Flanders. Patutnya Bohemond of Taranto masuk sekali. Tetapi baginda menikam belakang pihak Salib kerana sudah merampas Antioch. Ikut strategi serangan, Godfrey dan Robert akan mengasak daripada Utara. Manakala Raymond pula berkampung di kawasan Selatan.
Jadi Iftikhar perlu mengagihkan tenteranya untuk melindungi Jerusalem daripada dua arah. Pentadbiran beliau sudah pantas menebang semua pokok di keliling kota. Jadi pihak Salib tidak dapat menggunakan sumber kayu untuk buat tangga. Iftikhar hanya perlu bertahan kerana beliau tahu cuaca panas Palestin akan melayukan pihak Salib. Tambah pula kerajaan Fatimiyyah sedang menghantar bala daripada Mesir.
Kumandangnya Khutbah Pada Hari Yang Malang
Pihak Salib mula mengepung Jerusalem pada 7 Jun 1099. Macam-macam mereka cuba buat dengan kemampuan sedia ada. Namun semua usaha gagal kerana mereka tidak begitu arif dengan teknik peperangan Timur Tengah. Walau bagaimanapun, ada sesuatu berlaku pada hari ke-10. Sesuatu yang cukup besar dan penting sampai hala tuju peperangan terus berubah.
Mereka membina dua menara kepung yang sangat tinggi. Menara ini mempunyai roda dan sebuah pelantak (battering ram) yang dilitupi besi. Permukaannya ditutup rapi sampai tiada anak panah mahupun lembing boleh tembus. Dan dua menara ini sudah cukup untuk mengatasi pertahanan Iftikhar.
Sementara sibuk menangani asakan selatan, Iftikhar dikejutkan dengan berita ngeri. Sejarawan masih kenang hari tersebut. Silap-silap khutbah Jumaat masih berkumandangan dalam hati pejuang pada 15 Julai 1099. Dan pada hari itu, benteng utara runtuh – pihak musuh telah menembus masuk.
Sekelip mata – anggota-anggota pertahanan takut dan panik.
Pembantaian Yang Dahsyat
Seperti yang diceritakan, pihak Salib menumbangkan beberapa kota penting sebelum sampai di Jerusalem. Jadi kota Jerusalem sudahpun padat dengan populasi tempatan yang meningkat kerana kedatangan pelarian daripada kota-kota tumbang. Apabila Jerusalem tumbang, Iftikhar al-Dawla sempat melarikan diri (Asbridge, 2005). Jadi kota tersebut sudah tiada pentadbiran. Populasi tempatan menjadi mangsa mutlak untuk diratah musuh.
Ibn al-Athir menjangka 40,000 orang awam mati dibunuh tentera Salib. Darah mereka membanjiri kota sampai ke paras buku lali (Kostick, 2009). Semua yang berlindung di Bayt al-Maqdis (yakni kawasan Qubbat as-Sakhra dan Masjid al-Aqsa) tidak terlepas. Fulcher of Chartres mendengar kata-kata orang bahawasanya 10,000 orang dibunuh di Bayt al-Maqdis, lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Bukan umat Islam saja kena. Kaum Yahudi yang berlindung dalam kuil mereka terkena nasib sama. Pihak Salib berdendam kerana Yahudi berjuang mempertahan Jerusalem bersama umat Islam. Jadi mereka membakar kuil dengan semua di dalam hidup-hidup (Kedar, 2004).
Sebaik sahaja kegilaan perang selesai, pihak Salib menubuhkan Kingdom of Jerusalem. Godfrey of Bouillon dilantik menjadi “Advocatus Sancti Sepulchri” iaitu Pemelihara Makam Suci, dengan kuasa setaraf seorang raja. Godfrey enggan digelar “King of Jerusalem” kerana berpendapat darjat itu hanya layak pada Nabi Isa (as) sahaja. Apabila fikir balik, hipokrit sungguh – datangnya mereka menggunakan agama. Bunuh budak-budak habis. Kemudian patuh pada darjat Nabi Isa (as) untuk tunjuk baik.
Perang Salib Pertama bukan sama sekali suatu pertembungan antara Islam dan Kristian. Dua agama ini menjadi arus semata-mata. Banyak benda yang mungkin anda tidak tahu tentang peperangan ini. Pertama sekali, apa punca Eropah yang sekular tiba-tiba mendidih begitu kemaruk selepas terdengar ucapan Pope Urban II? Satu lagi, kenapa Urban II yakni ketua Gereja Katolik sendiri diisytihar kafir Pope Clement III? Dan apa kaitan Raja Henry IV yang selamba menghalau Urban II keluar daripada Vatican City? Banyak persoalan akan terjawab dengan hanya satu pembelian: https://thepatriots.store/store/e-buku/e-buku-perang-salib-pertama-kelahiran-templar/
RUJUKAN:
Asbridge, T. (2005). The First Crusade: a new history. Oxford University Press.
Harari, Y. (2007). The Gateway to the Middle East: Antioch, 1098. The Boydell Press. Halaman 53-73.
Kedar, B. (2004). The Jerusalem Massacre of July 1099. The Crusaders. Halaman 15-76.
Kostick, C. (2009). The Siege of Jerusalem. Continuum.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih