Bijapur dikenali sebagai salah satu lokasi di India yang mempunyai sejarah kuno dengan penak.lukan oleh pelbagai kuasa dan kebudayaan, serta agama yang berbeza. Islam pernah berkuasa semasa era Kesultanan-kesultanan Deccan.

Ini termasuklah pemerintahan Kesultanan Bijapur di bawah Dinasti Adil Shahi selama kira-kira dua abad sehinggalah ia jatuh ke tangan kuasa Islam yang lain iaitu Empayar Mughal melalui Maharaja Aurangzeb pada tahun 1689.

Bijapur yang juga dikenali sebagai Vijapura pertama kali diduduki oleh dinasti Chalukya-Kalyani Barat pada abad ke-11. Pada abad ke-13 kota ini berada di bawah pengaruh Dinasti Khalji dari Kesultanan Delhi dan kemudian diperintah oleh Kesultanan Bahmani dari Gulbarga dan selepas itu tempat ini kebanyakannya dirujuk sebagai Vijapur atau Bijapur. Kesultanan Bijapur merupakan salah satu daripada lima Kesultanan-kesultanan Deccan.

Raja Dinasti Adil Shahi yang pertama adalah Yusuf Adil Shah, apa yang menarik tentang dirinya adalah baginda dipercayai merupakan putera kepada sultan ke-6 Empayar Uthmaniyah, Sultan Murad II, ini bermakna Yusuf Adil Shah juga merupakan adik kepada Sultan Mehmed II al-Fateh.

Menurut sumber lain pula, baginda dipercayai merupakan seorang hamba dari Georgia yang dibeli oleh Khwaja Mahmud Gawan dari Parsi, tapi masih tetap menyokong statusnya sebagai keturunan Uthmaniyah. Namun ada sumber lain berpendapat, beliau adalah orang Parsi.

Sumber yang lebih kukuh mendakwa, selepas Sultan Murad II meninggal dunia pada tahun 1450, kemudian digantikan oleh Sultan Mehmed II (al-Fateh), Yusuf ketika itu baru berusia tujuh tahun, bagaimanapun, Mehmed merancang pembu.nuhannya untuk mengelakkan kemungkinan Yusuf akan merebut takhta setelah dewasa.

Yusuf Adil Shah ditanda pada kedudukan nombor 1

Namun, ibu Yusuf dikatakan telah memperdayakan semua orang dengan menyerahkan Yusuf kepada seorang saudagar dan menggantikannya dengan seorang hamba yang dibeli daripada pedagang hamba.  Saudagar itu melarikan diri ke Parsi bersama Yusuf di mana Yusuf dibesarkan dan dididik bersama anak-anak saudagar.

Namun semua dakwaan ini tidak disokong oleh sebarang bukti jelas, tapi tidak juga ditemui sebarang penafian dari rekod Uthmaniyah. Pun begitu, ciri-ciri yang ditonjolkan Yusuf Adil Shah semasa memerintah menguatkan dakwaan baginda berketurunan Uthmaniyah kerana kerajaannya amat sinonim dengan simbol bulan sabit pada setiap monumen Adil Shahi di Bijapur.

Dakwaan ini hanya disokong oleh Mirza Mohamed dari Sava dan Khwaja Nuzr, anggota dinasti Bahmani yang berkuasa. Namun masih diragui kerana ketika itu undang-undang fratricide masih belum wujud, ia hanya digubal semasa Uthmaniyah diperintah Sultan Mehmed al-Fateh. Tambahan pula terdapat teori yang menyebut abangnya sendiri dikatakan telah menjual dia sebagai hamba kepada istana Bidar.

Walau dari mana pun jua asal usul Yusuf Adil Shah, lagenda pemerintahannya masih tetap menarik untuk diceritakan. Baginda boleh dikatakan pengasas sebuah kerajaan yang kecil tapi kuat kerana mampu bertahan selama dua abad.

Yusuf Adil Shah

Pada usia 16 tahun, Yusuf mengembara ke Hindustan (India) dan tiba di Dabul berhampiran Goa pada tahun 1458 dan seterusnya berpindah ke Bidar. Dia dibawa masuk ke dalam keluarga diraja sebagai salah seorang hamba Turki atau Mamluk.

Yusuf tidak lama kemudian mendapat kepercayaan dan terikat dengan nasib Malik Ahmad Nizam Shah I, pengasas Dinasti Nizam Shahi dan dilayan seperti saudara sendiri. Di situlah dia diberi gelaran Adil Khan.

Kesultanan-kesultanan Deccan.

Sebelum berkuasa, Yusuf Adil Shah adalah seorang yang ada kebijaksanaan luar biasa dengan tingkah laku yang sopan. Dengan ciri-ciri menarik ini, dia diberi peluang berkhidmat dan mendaki hirearki hinggalah dia kemudiannya dilantik sebagai pentadbir Daulatabad. Apabila Khwaja Mahmud Gawan dibu.nuh melalui pengkhianatan, Yusuf Adil Khan memerintah Belgaum dan Bijapur pada tahun 1489 Masihi.

Pada tahun itulah, Yusuf mengambil kesempatan daripada kemerosotan kuasa Bahmani untuk mengangkat dirinya sebagai sultan yang merdeka di Bijapur. Yusuf mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 1498 dengan Bijapur sebagai ibu kotanya.

Seperti yang dijangkakan, tak mungkin dia boleh merdeka semudah itu tanpa memperjuangkannya. Maka Bijapur segera dise.rang oleh Kasim Barid dari Bidar bersama Narasimha dari Vijayanagar, namun Yusuf menggagalkan se.rangan itu.

Hal pertama yang dia lakukan ialah membina citadel Arkillah dan istana Farrukh Mahal yang kemudiannya ditambah baik dan diperindah oleh para penerusnya. Walaupun telah merdeka, semua sultan Dinasti Adil Shahi terus mengiktiraf Sultan Bahmani dan memberikan bantuan apabila diminta.

Di Kesultanan Bijapur dikatakan terdapat sekitar 50 buah masjid, lebih 20 buah makam dan beberapa istana yang merupakan milik Dinasti Adil Shahi. Para sultan Adil Shahi memerintah Bijapur selama hampir 200 tahun.

Dinasti Adil Shahi mempunyai minat yang mendalam dalam seni bina terutamanya dari Parsi dan Turki memandang dua kebudayaan ini juga turut diminati mereka.

Monumen-monumen kebanyakannya dibina dengan dua bulatan sepusat sepanjang lilitan 400 meter. Kubu-kubu diperkukuhkan dengan bahan-bahan yang besar dengan 96 katelum (benteng/bastion) besar pelbagai reka bentuk.

Dikatakan apabila Kesultanan Bijapur memerintah seluruh wilayah Deccan, kubu-kubu telah dilengkapi dengan lebih daripada 1000 buah meriam yang umumnya diperbuat daripada loyang dan besi. Sayangnya, istana Adil Shah hanya tinggal sisa runtuhan dan gerbangnya saja hari ini.

Gambar di bawah adalah sisa puing-puing gerbang Istana Adilshah di Goa, India, satu-satunya kesan peninggalan istana yang masih ada dari legasi seorang raja di India yang dipercayai sebagai adik beradik kepada Sultan Mehmed al-Fateh dari Uthmaniyah.

Sisa gerbang istana Adil Shah di Goa.

Sebagai pengasas Dinasti Adil Shahi dan Kesultanan Bijapur, Yusuf Adil Shah yang juga dikenali sebagai Adil Khan atau Hidalcão oleh Portugis dikenang atas usahanya meluaskan pengaruh kota Bijapur dan mengangkat statusnya ke tahap yang penting.

Yusuf adalah seorang yang berbudaya dan sering mengundang penyair dan karyawan dari Parsi, Turki dan Rom ke istananya. Dia juga seorang pemuzik dan sarjana yang berpengalaman dengan toleransi agama mendalam yang tercermin dalam seni dan binaan dari zamannya.

Yusuf Adil Shah meninggal dunia pada tahun 1510 ketika terlibat dalam ‘jihad tahunan’, kemungkinan ketika dalam ekspedisi penak.lukan menentang Empayar Vijayanagara di selatan. Ekspedisi ini bermula semasa era Sultan Mahmood Shah Bahmani II pada tahun 1501, di mana semua ketua-ketua suku dari Bahmani akan turut serta.

Namun, pada tahun 1509, Krishnadevaraya menaiki takhta Vijayanagara, dan pada tahun berikutnya dia berjaya menumpaskan ekspedisi tersebut di lokasi yang disebut Dewani (tidak dikenalpasti) dan mengalahkan Sultan Yusuf Adil Shah.

Sultan tercampak dari kudanya dan terpaksa dibawa lari dari medan pe.rang. Krishnadevaraya kemudian mengejar tentera Bijapur yang berundur. Yusuf Adil Shah berpaling kembali untuk melancarkan se.rangan nekad yang terakhir di Koilkonda, lokasi di mana dia terbu.nuh.

Kema.tiannya dalam pertem.puran itu berlaku tidak lama setelah baginda kehilangan wilayah Goa pada tahun 1510 yang jatuh di tangan seorang laksamana Portugis, Alfonso de Albuquerque. Ya, Alfonso yang sama juga akan menak.luki Kesultanan Melaka pada tahun seterusnya.

Pembahagian sebenar Kesultanan-kesultanan Deccan kepada lima kerajaan dilakukan pada tahun 1498 dan Yusuf Adil Shah mendapat Gulbarga bersama-sama dengan Bijapur. Pepe.rangan selanjutnya memakmurkan baginda dan membuatkan tapaknya lebih kukuh dalam pemerintahan sejauh dari Gulbarga dan Sholapur hingga ke Goa.

Takhta yang ditinggalkan Yusuf diwarisi oleh puteranya, Ismail Adil Shah yang masih kecil, jadi dia dibantu oleh Kamil Khan. Namun Kamil Khan yang juga pengasuh Ismail, tertarik dengan godaan kuasa dan merampas takhta kemudian menawan Sholapur selepas mengurung Sultan dan ibunya di citadel.

Kemudian, dengan bantuan bapa angkatnya, ibu Ismail membu.nuh Kamil Khan. Kerajaan berjaya diselamatkan dan Ismail yang berusia 17 tahun kemudian mengambil alih pemerintahan setelah dia sudah cukup matang.

Gol Gumbaz, salah satu monumen peninggalan Adil Shahi.

Tak lama kemudian Kesultanan-kesultanan Deccan berkonflik. Amir Barid dari dinasti Barid Shahi menyeru sultan-sultan Deccan yang lain seperti Ahmednagar, Berar dan Golconda untuk datang membantunya dalam menawan Bijapur, namun usaha itu juga sia-sia.

Akhirnya, permusuhan di kalangan sultan-sultan Muslim ini membantu Empayar Vijayanagar meluaskan sempadannya. Menyedari hakikat ini, para sultan cuba memperbaiki hubungan melalui perkahwinan politik antara keluarga dan dengan itu melindungi antara satu sama lain, namun perbalahan berterusan dan setiap sultan terus cuba menawan kesultanan yang lain.

Pepe.rangan berterusan antara kesemua Kesultanan-kesultanan Deccan dan semasa salah seorang daripadanya, iaitu Ismail Adil Shah meninggal dunia kerana sakit dan dikebumikan berhampiran makam bapanya Yusuf Adil Shah. Putera Ismail, Ali Adil Shah akhirnya dijadikan raja, yang dianggap oleh sejarawan sebagai era kebangkitan Dinasti Adil Shahi di Deccan.

Yusuf Adil Shah meninggalkan sebuah negara yang kuat bagi sebuah kesultanan yang kecil, kerana mampu bertahan selama dua abad yang penuh dengan kekacauan di sebuah wilayah yang dipengaruhi oleh pelbagai kuasa politik.

Kesultanan Bijapur yang didirikannya adalah kerajaan yang kuat selama hampir dua abad sehinggalah para penerus kuasa Yusuf Adil Shah kemudian akhirnya dikalahkan oleh Maharaja Aurangzeb dari Empayar Mughal pada tahun 1686.

RUJUKAN:

Ahammad, Mustak (2013). Military Architecture under the Adilshahis of Bijapur.

Chaurasia, Radhey Shyam (2002). History of Medieval India: From 1000 A.D. to 1707 A.D.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply