Salah satu sejarah yang kian dilupakan hari ini ialah serangan amfibia Sultan Mehmed II al Fatih terhadap kota Otranto. Pada bulan Ogos 1480, kira-kira 10,000 tentera Uthmaniyah yang dianggap sebagai satu jumlah ketenteraan yang besar pada masa itu mendarat di Otranto dan dengan mudah menakluki kota kecil itu selepas pengepungan singkat selama tiga hari.

Penawanan kota itu hanyalah merupakan operasi pelancaran untuk memulakan kempen penaklukan Itali yang lebih besar iaitu terhadap kota Rom yang bersejarah.

Sedar sepenuhnya akan ancaman bahaya yang dihadapi, seluruh negeri-negeri Itali bersatu untuk mempertahankan kota penting Kristian itu kecuali Venice kerana hubungan perdagangan komersialnya di Timur sentiasa menjadi komplikasi.

Mereka berikrar setia kepada Perikatan Suci secara rasmi demi menentang Uthmaniyah, mereka menyumbangkan harta dan tenaga untuk membantu Raja Naples menghapuskan ancaman Turki.

Melepasi musim sejuk 1480 dan tahun-tahun berikutnya, pasukan gabungan Itali mengekalkan langkah sekatan dan pertahanan, tetapi kemangkatan sultan pada Mei 1481 menjadi penentu yang mengakibatkan kempen Uthmaniyah di Itali itu gagal.

Dengan kemangkatan sultan, ibu kota di Konstantinopel menjadi pusat tumpuan utama setiap kuasa-kuasa politik Uthmaniyah, sekaligus menggagalkan usaha memperkuatkan kubu Otranto yang diduduki tentera Uthmaniyah.

Seterusnya pada bulan September, garnisun Uthmaniyah menyerah diri dengan syarat (namun ramao juga dibuηuh sebagai balas dendam di atas ribuan tawanan Kristian yang dibuηuh atau dijual sebagai hamba).

Sebenarnya, seluruh dunia terutamanya orang Eropah langsung tak menjangka yang Uthmaniyah akan kalah.

Barisan armada menandakan bermulanya kempen ke atas Itali.

Merasakan bala bencana akan semakin tiba, semasa pengepungan tersebut, seorang tokoh agama berbangsa Jerman mengambil keputusan melakukan ziarah ibadat ke “Kota Abadi sebelum ia ditakluki oleh orang Turki”.

Pada tahun 1481, kejatuhan kota Rom ke tangan Sultan Mehmet II hampir tak boleh dibayangkan dengan kata-kata, berbanding kejatuhan kota Rom Kedua atau Konstantinopel 28 tahun sebelum itu.

Menjelang tahun demi tahun, di kalangan generasi selepas 1453, pelbagai teori konspirasi, khabar angin dan ramalan liar meningkat di Itali dan Eropah.

Ia menyebut tentang gambaran bahawa Kepausan telah dirampas oleh lanun Barbary, atau sultan akan menakluki Rom, tetapi akan memeluk agama Kristian dan terus memerintah dari zaman ke zaman seterusnya.

Walau bagaimanapun, ramalan hanyalah sekadar fantasi.

Semasa Sultan Mehmet al Fatih melancarkan kempen terhadap kota Rom di Itali, tentera Uthmaniyah pernah berjaya menawan sebuah kubu di Itali yang menawarkan kedudukan strategik untuk meneruskan ekspedisi penaklukan Uthmaniyah terhadap Kota Rom di Itali. Kubu yang dimaksudkan adalah Kubu Otranto.

Selepas menduduki kubu Otranto, Sultan Mehmet meneruskan kemaraan untuk menakluki Otranto pada skala yang penuh, malangnya, baginda tiba-tiba mangkat atas punca yang agak misteri semasa dalam perjalanan.

Kubu Otrato

Maka kemangkatan Sultan Mehmed II ini dianggap sebagai penyebab kegagalan cubaan pertama Empayar Uthmniyah berkempen untuk menakluki Itali.

Tetapi sebenarnya masih ada banyak lagi faktor kegagalan ini selain daripada kemangkatan Sultan Mehmed. Salah satu faktor yang paling popular adalah gangguan Vlad Dracul, tetapi sebenarnya, gangguan yang paling menyusahkan Uthmaniyah datang dari wilayah Albania.

Untuk menakluki kota-kota Itali yang terbahagi kepada beberapa negeri kecil itu, Uthmaniyah menghadapi musuh yang tak pernah mereka jangkakan.

Musuh yang dimaksudkan adalah seorang pemuda yang pada usia mudanya hidup sebagai seorang Kristian yang diambil sebagai hamba oleh Sultan Murad II dari kampung halamannya di Albania.

Dia kemudian memeluk Islam, menerima pendidikan dan dilantik berkhidmat untuk Empayar Uthmaniyah selama 20 tahun seterusnya.

Dan setelah tempoh itu, dia memutuskan untuk meninggalkan Empayar Uthmaniyah, lalu kembali ke tanah asalnya di Albania pada tahun 1443 untuk menyusun rencana pemberontakan bagi melawan dominasi Empayar Uthmaniyah ke atas bangsanya.

Skanderbeg

George Castriot, yang lebih dikenali sebagai Iskander Bey atau Skanderbeg bukan sahaja mempertahankan Albania utara yang dikuasai Venice selama 25 tahun menggunakan kekuatan sejumlah tentera yang jauh lebih kecil, dia bahkan melancarkan serangan terhadap wilayah-wilayah Uthmaniyah dan memenangi beberapa pertempuran menentang pasukan Uthmaniyah yang secara logiknya adalah lebih besar, kuat dan lebih sistematik.

Kemenangan pertamanya dikecapi pada tahun 1444 ketika dia menentang Jeneral Ali Pasha yang membawa ketumbukan tentera Uthmaniyah sebesar 25,000 orang. Manakala di pihak Skanderbeg hanya ada kekuatan tentera sekitar 15,000 orang.

Tanpa diduga, Skanderbeg masih berjaya menewaskan Ali Pasha di dataran Torvioli, membuηuh kira-kira 8,000 orang askar dan menawan 2,000 yang lain.

Kemenangan Skanderbeg ini menjadi salah satu kemenangan pertama di Eropah ketika menentang Empayar Uthmaniyah yang bakal menjadi kuasa besar yang tidak terkalahkan.

Pada tahun 1451, Skanderbeg mengambil kesempatan dengan mengiktiraf kedaulatan Kerajaan Naples dalam usaha mewujudkan satu perikatan sulit. Dia turut melibatkan diri dalam perαng saudara Itali dengan menyokong Ferdinand I dari Naples.

Pada tahun 1463, Paus Pius II melantik Skanderbeg sebagai panglima tertinggi pasukan tempur Tentera Salib, tetapi Paus meninggal dunia ketika struktur ketenteraan yang dicadangkan itu masih tidak lengkap. Bersama-sama dengan Venice, Skanderbeg menentang Empayar Uthmaniyah dalam Perαng Uthmaniyah-Venetia.

Kemahiran taktikal dan strategi ketenteraan yang dimiliki Skanderbeg memberikan cabaran yang besar dalam usaha pengembangan kuasa Empayar Uthmaniyah, dia bahkan dianggap sebagai ‘role-model’ yang wajar dicontohi oleh kebanyakan kaum Kristian konservatif di Eropah barat dalam konteks penentangan Kristian terhadap daulah Islam Uthmaniyah.

Selain Skanderbeg, faktor geografi turut memainkan peranan menggagalkan usaha penaklukan Uthmaniyah ke atas Itali. Geografi sentiasa memberikan manfaat atau menjadi masalah dalam mana-mana perαng pencerobohan. Contoh seperti UK moden yang bergeografi kepulauan itu dengan mudah diselamatkan daripada pencerobohan Axis semasa Perαng Dunia Kedua.

Jadi, nasib Itali pada abad ke-15 mirip seperti nasib UK moden dalam kes Uthmaniyah-Itali, Lautan Adriatik menjadi penghalang semula jadi yang terbentang di antara semenanjung Balkan yang dikuasai Uthmaniyah dengan semenanjung Itali.

Laluan yang paling cepat dan paling dekat untuk tentera Uthmaniyah menyeberang dari Balkan ke Itali adalah melalui selat Otranto. Tetapi, ini bermakna tentera Uthmaniyah perlu menakluk negeri Albania terlebih dahulu, dan ia bukan satu kerja yang mudah kerana mereka terpaksa menghadapi tentangan musuh yang tak dijangka.

Tugu peringatan Skanderbeg di Albania.

Dan secara tidak langsung, ini menyebabkan tentera Uthmaniyah terpaksa bekerja lebih masa dan lebih susah memandangkan Albania akan dipertahankan oleh Skanderbeg yang juga seorang tokoh berpengaruh dari Albania, ini menjadi faktor kedua kegagalan Uthmaniyah dalam menakluki Itali.

Pasukan tentera yang mempertahankan Albania rata-ratanya adalah dari kumpulan pemberontak dibawah kepimpinan Skanderbeg, mereka secara tradisinya telah sentiasa menjadi benteng yang menahan asakan dan serangan tentera Uthmaniyah selama 25 tahun.

Walaupun bilangan kekuatan tentera Skanderbeg jelas sudah kalah jika dibandingkan dengan jumlah bilangan tentera Uthmaniyah yang lebih besar, ditambah lagi dengan masalah sumber daya yang terhad, Skanderbeg masih berupaya memperlahankan proses pengembangan kuasa Uthmaniyah, menghalang penaklukan penuh Uthmaniyah ke atas Albania dan mencegah sebarang kemungkinan sempadan Itali ditembusi oleh tentera Uthmaniyah.

Jadi, selain berjaya mengalahkan tentera Uthmaniyah yang lebih besar secara berulang kali sehingga menyebabkan tentera Uthmaniyah hampir kehabisan sumber, tindakan nekad Skanderbeg telah memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pentadbiran tentera negara-negara kota Itali bagi melakukan persiapan untuk mempertahankan negara.

Sultan Mehmed II dipercayai memiliki ambisi dan cita-cita besar menceroboh Itali kerana baginda ingin menakluki kota Rom. Ini adalah tindakan susulan mengabsahkan kedaulatannya, lebih-lebih lagi apabila baginda berjaya menakluki kota Konstantinople dan meruntuhkan Empayar Rom Timur.

Itu baru sekadar kota Konstantinopel, apatah lagi bila peluang untuk menakluki satu lagi ‘jantung’ kaum Kristian Rom muncul di hadapan mata baginda.

Semenanjung Itali dan Uthmaniyah dipisahkan Laut Adriatik.

Bayangkan, sekiranya penaklukan ke atas kota Rom oleh umat Islam menjadi satu kenyataan, seberapa besar dan sekuat manakah agaknya Empayar Uthmaniyah mampu meningkatkan pengaruh dan prestijnya di seluruh Dunia Islam.

Cita-cita yang besar itu sepatutnya boleh tercapai, ia hanya memerlukan beberapa langkah sahaja lagi untuk berjaya kerana pada tahun 1480, tentera Uthmaniyah sudah pun berjaya menawan kedudukan paling strategik di Itali iaitu Kubu Otranto. Ini adalah titik di mana, semua pihak sudah mula menjangka Uthmaniyah akan menang dan Rom akan jatuh.

Tetapi manusia hanya merancang, Allah yang menentukan segala yang baik dan buruk. Sebaik sahaja  tentera Uthmaniyah telah melengkapkan persiapan untuk menakluki keseluruhan Otranto, pada titik ini berlaku peristiwa yang menjadi faktor ketiga kegagalan Uthmaniyah menakluk Itali, iaitu kemangkatan Sultan Mehmed II al Fatih.

Otranto hanyalah titik permulaan, kejatuhan kota itu menyebabkan pihak pemerintah Itali di kota Rom diserang panik dan huru-hara, terutama ketika Jeneral Gedik Ahmed Pasha kembali dari Albania membawa kekuatan sokongan untuk memperkuatkan garnisun pertahanan yang dia tinggalkan di Otranto. Ketika itu, nasib semenanjung Itali sudah boleh diumpamakan seperti telur di hujung tanduk.

Malangnya, Gedik Ahmed Pasha tidak pernah sempat memperkuatkan garnisun Otranto, berikutan timbul kontroversi di mana kemangkatan Sultan Mehmed II dilaporkan berlaku dalam situasi yang tidak diduga pada usia semuda 49 tahun. Banyak kontroversi melibatkan punca kematiannya pada waktu tu.

Terdapat ura-ura mengatakan baginda telah diracun oleh bakal penggantinya, Sultan Bayezid. Namun, ada juga yang percaya dia telah diracun oleh seorang tabib berketurunan Yahudi-Itali (telah dihukum mati selepas kemangkatan Sultan).

Dalam kekeliruan ini, sedar tidak sedar, timbul pula krisis pertikaian hak pewaris takhta. Siapa sangka? Perebutan kuasa selepas kemangkatan Sultan Mehmet itu sendiri rupanya turut menjadi punca kegagalan tentera Uthmaniyah untuk memperkuatkan Otranto yang amat penting itu (Gedik Pasha memihak kepada Bayezid semasa konflik), akhirnya, sebuah perikatan kuasa-kuasa gabungan Kristian datang dan merebut kembali Otranto pada tahun 1481.

Sultan Mehmed II

Kesimpulannya, jika tidak kerana Laut Adriatik yang berfungsi sebagai perisai semula jadi Itali, gangguan Vlad Dracul dari Wallachia, pemberontakan tentera Skanderbeg yang memperlahankan kemaraan dan meletihkan tentera Uthmaniyah — serta kemangkatan Sultan Mehmed II yang berlaku pada detik paling kritikal dalam penaklukan yang sedang berlangsung — jangan kan kota Rom, malahan, seluruh semenanjung Itali sebenarnya ada potensi besar untuk jatuh ke tangan Uthmaniyah sebagaimana jatuhnya Kota Konstantinopel dan Empayar Rom Timur.

Semenjak kemangkatan Sultan Mehmed II al-Fatih, sudah tidak ada lagi sesiapa yang berani menyambung usaha dan cita-cita merebut kota bersejarah ketamadunan Roman yang terpenting di Itali itu. Akhirnya, Uthmaniyah mengambil sikap mengabaikan kubu Otranto hingga ia direbut kembali oleh musuh.

Tindakan ini menandakan Empayar Uthmaniyah sudah tidak lagi berminat untuk menakluki kota Rom atau Itali.

Sehinggalah beberapa generasi Uthmaniyah yang kemudian, akan cuba melancarkan kempen dan ekspedisi yang mensasarkan penaklukan terhadap kota Vienna kerana bagi Uthmaniyah, penaklukan Vienna adalah amat penting kerana peranannya sama seperti Otranto, iaitu, Vienna merupakan jalan masuk yang paling utama untuk melumpuhkan Empayar Austria, dan jalan itulah yang akan membawa mereka ke kota Rom.

Namun, sejarah telah ditakdirkan tidak memihak kepada Uthmaniyah. Mereka gagal dalam kempen ini, sekaligus menyebabkan Uthmaniyah tidak lagi digeruni sebagai sebuah empayar kuasa besar Islam yang kuat.

Kematian Sultan Mehmet II al Fatih disambut dengan penuh kegembiraan oleh para pemimpin Venice, hingga mereka bahkan bersorak sambil melaungkan sebaris ayat yang berbunyi, “la grande aquila è morta!”

Ia merupakan kata-kata berbahasa Itali yang bermaksud, “helang besar sudah mati!”


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply