Sekitar abad ke-17 hingga 19, usah terkejut melihat kelibat orang aneh datang ke rumah si mati sekitar England, Wales dan Scotland. Lagi pelik bila melihat mereka makan makanan yang diletakkan di atas badan si mati atau dipegang oleh mayat. Orang pelik inilah yang digelar Pemakan Dosa atau Sin Eater kerana kononnya mereka menyerap dosa si mati dengan makan makanan pada mayat.
Tidak diketahui bila tradisi pemakan dosa ini bermula. Ada yang mengatakan ia berlaku selepas peristiwa penyaliban Jesus, tradisi Yahudi yang mengatakan dosa muncul pada kambing atau doa orang miskin sebagai tukaran sedekah yang dibuat orang kaya. Yang pasti, ritual ini dikatakan bermula pada abad ke-17 dengan si pemakan dosa diberi sedikit upah.
Apabila berlakunya kematian – kebiasaannya yang tidak dijangka di rumah, si pemakan dosa akan dipanggil oleh waris si mati. Mereka akan dibayar sedikit wang sebelum waris membawa mereka kepada mayat. Pemakan dosa kemudiannya duduk, menghadap pintu dan makan makanan yang ditinggalkan pada mayat sambil disaksikan para waris.
Setelah makan, si pemakan dosa memberitahu mayat bahawa dia tidak lagi dibebani dosa, tidak mengganggu keluarganya dan pergi ke syurga dengan aman. Selepas itu, si pemakan dosa akan diusir oleh waris sambil dicerca mereka.
Walaupun tugas mereka dianggap memberi kelegaan kepada waris si mati, ia tidak semestinya disukai oleh orang ramai. Ini kerana kebanyakan yang menjadi pemakan dosa ialah golongan miskin dan kaki botol – kelompok yang selalunya dianggap pariah dalam masyarakat. Bukan itu saja, pekerjaan mereka ini turut dipandang hina oleh gereja.
Tetapi sesetengah pemakan dosa tidak didorong oleh faktor kewangan. Bagi pemakan dosa terakhir di Britain Richard Munslow, dia melakukannya sebagai cara menangani kesedihan selepas kehilangan tiga orang anak yang dikasihinya. Selepas Munslow meninggal dunia pada 1906, amalan pemakan dosa juga mati bersamanya.
Begitupun, itu bukan bermakna amalan pemakan dosa tidak wujud dalam budaya bangsa-bangsa lain di seluruh dunia. Di China misalnya, dosa si mati dipindahkan secara ritual pada makanan sebelum dimakan oleh waris si mati. Pada abad ke-20 di Bavaria, Jerman pula, waris meletakkan kek mayat pada si mati sebelum dimakan oleh saudara-mara.
Ada pula yang menjadikan amalan ini lebih halus dari segi perlaksanaannya. Di Itali, waris dan kenalan si mati makan sejenis biskut berbentuk tulang yang dipanggil ossi di morti atau tulang si mati. Di Jerman, upacara pengebumian diakhiri dengan Leichenschmaus atau jamuan pengebumian dan antara makanan yang dijamu ialah Zuckerkuchen atau kek gula.
RUJUKAN
Fraga, K. (2022, 10 Januari). The Bizarre History Of Sin Eaters, People Who Were Hired To Literally Consume The Misdeeds Of The Dead. All That’s Interesting.
Sumber gambar: The Print Collector/Print Collector/Getty Images
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih