Republik Nauru terletak kira-kira 4,496 km di timur laut Australia. Ia merupakan negara pulau terkecil di dunia dengan saiznya hanya 21 km persegi, yakni 39 kali lebih kecil berbanding Perlis. Populasi Nauru cuma sekitar 12,581 orang (bancian 2019).
Namun, sekecil-kecil Nauru pun ia pernah dinamakan sebagai negara paling kaya di dunia sepanjang tiga dekad terakhir abad ke-20. Sampaikan, ia dijuluki Kuwait of the Pacific. Pada tahun 1975 sebagai misal, KDNK per kapitanya mencecah lebih $25,000 (Campbell, 2016). Pada 1982 pula, eksport fosfat sahaja meraihkannya sebanyak $123 juta. Ini bersamaan $27,000 bagi setiap populasinya. (Trumbull, 1981).
Bagaimanapun, kurang lima tahun kemudian, ketebalan dompet Nauru berpindah ke perut rakyatnya. Nauru mengungguli carta negara paling obes di dunia, dengan kira-kira 71% rakyatnya mengalami obesiti dan 40% menghidap peny.akit diabetes. (Aguirre, 2019)
Ini rentetan gaya hidup mereka yang berubah drastik daripada tradisional kepada kebaratan khususnya dalam bab pemakanan – diet seperti ikan, kelapa, dan pandan laut segar diganti dengan makanan bertin dan segera yang diimport.
Perubahan tersebut berlaku sejak Nauru mula melombong dan mengeksport sumber alamnya yang paling berharga, iaitu fosfat.
Nauru bagaimana pun bukanlah pulau yang baru dihuni. Ia sudah diduduki oleh orang Polinesia dan Mikronesia sejak 3,000 tahun dahulu. Malah semenjak jutaan tahun lampau, ia menjadi persinggahan kawanan burung camar yang bermigrasi merentasi Pasifik sekali gus sisa buangannya lama-kelamaan mengeras lalu membentuk guano yang kaya dengan nitrogen, fosforus, dan potassium – tiga nutrien penting dalam pembajaan.
Pada tanggal 8 November 1798, berlaku interaksi pertama antara orang luar dan penduduk Nauru. Buat pertama kalinya, ia dicartakan ke dalam peta oleh John Fearn, kapten sebuah kapal pembu.ru paus milik British. Namun selain memberinya nama (Pleasant Island), kehadiran Fearn tidak meninggalkan apa-apa makna lantaran beliau sekadar lalu tanpa singgah.
Hanya pada 1830-an, barulah Nauru menerima sentuhan signifikan dari tangan asing. Ia hadir antara lain dari ban.duan-ban.duan Pulau Norfolk (berjarak sekitar 3,000 km). Menerusi campur tangan mereka, Nauru pun menjadi pulau persinggahan yang membekali kapal-kapal pembu.ru paus. Pertukaran barang berlaku dengan makanan seperti babi dan kelapa dibawa keluar dan tembakau, a.rak, dan sen.jata api dibawa masuk.
Kemasukan tiga barang tersebut bukanlah perkara yang baik buat Nauru. Kesan tidak nyata, ia menjadi pemula kepada pembaratan gaya hidup mereka. Kesan nyata pula, ia menjadi punca tidak langsung bagi kon.flik berda.rah 1878 yang melibatkan dua belas suku asli Nauru. Kon.flik tersebut berpanjangan selama sedekad dan ia hanya tamat pada 1 Oktober 1888 dengan kemasukan Jerman.
Dua belas tahun menjadi koloni Jerman, nasib Nauru berubah sepenuhnya di tangan seorang ahli geologi New Zealand bernama Albert Fuller Ellis. Sekitar tahun 1900, Ellis mengesahkan yang 80% dari Pulau Nauru dilimpahi batuan fosfat. Jadi, Jerman sebagai pemilik Nauru pun mula mengeksploitasinya di bawah Pacific Phosphate Company bermula dari 1906 sehingga 1914.
Kemudian, Pe.rang Dunia Pertama mele.tus. Nauru berpindah ke tangan British namun perlombongan fosfat tetap diteruskan, kali ini oleh British Phosphate Comisson sehinggalah tahun 1968. Cuma ketika berlaku Pe.rang Dunia Kedua, Nauru sempat diram.pas oleh Jepun dan rakyatnya juga sempat mende.rita selama tiga tahun (1942-1945). Seramai 1,200 orang Nauru dihantar ke Truk (pangkalan Jepun di Mikronesia) sebagai buruh paksa. Hanya 737 sahaja daripadanya dapat pulang dengan selamat.
Sepanjang menjadi pulau koloni, sumber alam Nauru juga ‘selamat’ dikerjakan. Dianggarkan, lebih 35 juta metrik tan fosfat telah dieksport keluar dari Nauru semenjak ia dilombong buat kali pertama oleh kuasa asing pada 1906 sehinggalah tahun kemerdekaannya pada 1968 – jumlahnya ini cukup untuk memenuhkan lori sampah yang disusun berderet dari New York City ke Los Angeles dan kembali semula ke New York City. (Dauvergne, 2019)
Selepas merdeka, perlombongan fosfat masih diteruskan walaupun mereka tahu yang simpanan fosfat akan kehabisan dalam masa satu atau dua generasi lagi. Tapi bak kata James Bop, bekas menteri kewangan Nauru, “Cerita hari esok, biarlah hari esok baru kita ambil fikir.” (Trumbull, 1982)
Sepanjang 1968-2002, pendapatan kasar yang diperoleh Nauru menerusi eksport fosfat mencecah A$3.6 billion. Kalau dibelanjakan dengan sehemahnya, nilai Trust Fund negara Nauru boleh mencecah A$8 billion menjelang 2004 dengan setiap keluarga mempunyai sebanyak A$4 juta.
Tambahan pada tahun 1994, Nauru menerima pampasan sebanyak A$57 juta dari Australia atas kera.kusannya mengeks.ploitasi hasil bumi Nauru pada masa lalu. Jumlah itu tidak termasuk A$50 juta lain yang perlu dilunaskan dalam tempoh 20 tahun, dengan UK dan New Zealand masing-masing membayar $12 juta dari amaun tersebut. (Dauvergne, 2019)
Kelimpahan ini membuatkan Nauru serba mewah dengan rakyat dan pemerintah sama-sama berhabisan tanpa beringat.
Dengan cukai pendapatan langsung tidak dikutip di kala pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, dan surat khabar diberikan secara percuma, Nauru ibarat menggali ku.burnya sendiri. Ini belum lagi bercerita tentang tariff telefon yang hampir percuma dan cas elektrik per kilowatt yang cuma berharga 5 sen Australia. (Planet Explore, 2020)
Memasuki tahun 2000, apa yang dibimbangkan menjadi nyata. Kadar pengeluaran fosfat di Nauru mula berkurangan – hanya 500,000 metrik tan untuk tahun itu. Ia berterusan jatuh pada 2004 dan 2005 dengan masing-masing sebanyak 22,000 MT dan 8,000 MT. (Dauvergne, 2019)
Kantung kewangan Nauru benar-benar kegawatan. Pengeluaran fosfat menyusut, tetapi perbelanjaan negara masih pada paras yang sama. Untuk menampungnya, Nauru mencuba beberapa alternatif – bermula dari menjual kerakyatan dan pembukaan bank bebas sehinggalah berlabur dalam kumpulan muzik (Unit 4+2) dan aset tidak cair.
Namun, kesemua pendekatan itu tidak berpanjangan malah berakhir dengan kerugian. Dua pendekatan pertama dihentikan kerana ia menjadikan Nauru lubuk pengubahan wang ha.ram. Pada tahun 1998 sahaja, sebanyak $70 billion dicuci menerusi bank-bank Nauru. (Davies, 2018)
Pelaburan dalam kumpulan Unit 4+2 pula memang sejak mula lagi seumpama jenaka. Ia kerugian sebanyak $7 juta hanya dalam tempoh sebulan (Bineth, 2016). Begitu juga pelaburan dalam Nauru Airlines. Dengan kekurangan pelancong (cuma 200 orang setahun) dan kegunaan utamanya lebih kepada mengimport makanan bertin dari Amerika Syarikat, ia menanggung kerugian tahunan sebanyak $15 juta. Sampaikan dari tujuh pesawat yang dimilikinya dahulu, kini hanya tinggal sebuah.
Ini tidak termasuk pelaburan hartanah di luar negara seperti Nauru House di Melbourne, Nauru Tower di Hawaii, Pacific Star Hotel di Guam, Pacific House di Washington, dan The Grand Pacific Hotel di Fiji. Kesemuanya digadai semenjak Nauru mengalami kemelesetan ekonomi pada 2004. (Side Note,2018)
Sepanjang dua dekad kebelakangan, pendapatan Nauru lebih bertumpu pada dua sumber iaitu dari Regional Processing Centre (RPC, yakni pusat penempatan pelarian di bawah kelolaan Australia) dan pengeluaran lesen menang.kap ikan di perairannya yang masing-masing menyuntik sebanyak $150 juta dan $73 juta bagi tahun 2020. Walaupun jumlah pendapatannya masih relatif kecil, ia memadai untuk menampung perbelanjaan negara. (Howes, 2021)
Cuma, ini bermakna rakyat Nauru tidak lagi dapat bermewah seperti dahulu – memandu Roll Royce dan Lamborghini di atas jalan yang cuma sepanjang 20 km, membeli gula-gula dengan not $50 tanpa mengambil wang baki, atau bercuti ke pulau-pulau peranginan seperti Hawaii.
Hari ini, mereka membayar kesilapan lama dengan sejumlah harga – makanan yang tidak seimbang, sistem pendidikan yang hampir tumbang, kadar pengangguran sehingga 90% (pada 2004), dan cukai pendapatan yang akhirnya diperkenalkan pada tahun 2014.
Sejarah Nauru adalah pelajaran nyata bagaimana sebuah negara tanpa pengurusan yang cekap boleh tunggang terbalik sehingga 180 darjah; dari negara kaya menjadi negara kedana dan dari sihat bertukar melarat. Sumber alam boleh kehabisan jika tidak dikelolakan dengan sehemahnya. Jadi, sama-sama beringat sebelum mendapat.
RUJUKAN
Aguirre, Jannette. (2019). 5 Facts About Nauru’s Overweight Health Issue. The Borgen Project.
Bineth, Jessica & Shannon, Selena. (2016). Boy bands and musicals: The secret history of Nauru and its lost wealth. ABC.
Dauvergne, Peter. (2019). A Dark History of the World’s Smallest Island Nation. The MIT Press Reader.
Davies, Anne & Doherty, Ben. (2018). (ditapiskan), incompetence and musical: Nauru’s cursed history. The Guardian.
Howes, Stephen & Surandiran, Sherman. (2021). Nauru: riches to rags to riches. Dev Policy.
Planet Explore. (2020). The Story of Nauru – How Once the Richest Country Lose Everything?!
Side Note. (2018). What Happened When a Tiny Nation Got Filthy Rich Overnight.
Trumbull, Robert. (1982). World’s Richest Little Isle. New York Times.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih