Pada satu sudut, gajah dan manusia umpama langit dan bumi. Namun, saintis dapati kedua-duanya tidak jauh berbeza pun dalam soal kapasiti sosial dan kognitif. Lagipula, dua makhluk ini memang akrab semenjak dahulukala. Gajah Asia misalnya sudah dijinakkan seawal 4,500 tahun lampau.

Justeru, gajah bukanlah haiwan asing dalam kehidupan manusia. Ia hadir baik di medan perang, ladang pertanian. Mahupun ruang pameran. Namun kini, gajah adalah antara haiwan paling terancam.

Di Afrika, populasi gajah hutan jatuh lebih 86% dalam tiga dekad. Gajah savannah pula berkrang 60% dalam 50 tahun. Sementara itu di Asia, gajah dijangka bakal pupus menjelang 2050 andai perubahan tidak dibuat.

Berbicara tentang punca, pemburuan gading dan pemusnahan habitat memang merupakan faktor utama. Tetapi, faktor penderaan dalam sektor pelancongan dan hiburan juga tak harus dipandang sepi. Di Kerala, India sahaja terdapat 30 kes kematian akibat penderaan gajah setakat tahun 2018. Itu belum lihat statistik negeri dan negara lain.

Hal ini lantas mengingatkan kita kepada satu tragedi yang berlaku di bandar Kingsport, Tennessee, Amerika Syarikat pada tahun 1916. Iya, saat Perang Dunia Pertama sedang meletus. Masa itu, pertunjukan gajah sarkas amat diminati. Jadi, banyak syarikat sarkas memiliki gajah sendiri.

Salah satunya adalah syarikat The Sparks World Famous Shows (The Sparks) kepunyaan Charles Sparks. Ikutkan, syarikat itu diwarisi sahaja dari bapa angkatnya, John H. Wiseman. Ia ditubuhkan pada tahun 1889 di bawah nama Sparks Bros.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Sambutan terhadap Sparks Bros sejak awal penubuhan memang hangat, sampaikan pada tahun 1898, John mampu membeli seekor gajah Asia berusia 4 tahun. Gajah ini diberi nama Mary. Namun, Mary hanya sempat bersama John selama lima tahun sahaja.

Ini kerana pada 1903, John meninggal dunia. Lantas, Sparks Bros diambil-alih oleh Charles dan isteri, Addia Mitchell. Dua-dua saling berkenalan di sarkas, dengan Addia bekerja sebagai tukang masak merangkap veterinar.

Lantaran tiada zuriat, pasangan itu pun menjaga haiwan-haiwan sarkas dengan sehabis baik. Ini termasuk Mary, yang membesar dan menempa kemasyhuran di situ. Ikutkan, tak keterlaluan kalau kata yang Mary adalah ‘anak emas’ syarikat.

Status ini jelas dapat dilihat menerusi poster promosinya. Di mana, Mary bukan setakat diiklankan sebagai ‘Haiwan darat terbesar di muka bumi’. Tetapi juga tiga inci lebih tinggi berbanding gajah Jumbo milik syarikat pesaing dari Barnum & Bailey.

Poster promosi Mary

Jika ditinjau kawasan operasi, The Sparks ikutkan lebih banyak berlegar di selatan US. Yakni, dari Missouri dan Ohio ke Kentucky dan North Carolina. Pada September 1916 misalnya, mereka singgah di Kingsport bersama kesemua 15 gerabak merangkumi badut, akrobat, dan haiwan-haiwan sarkas seperti Mary.

Kunjungan ke sana sebetulnya berjalan seperti biasa; jual tiket, buat pertunjukan, kemudian beredar ke lokasi berikutnya. Tetapi di Kingsport, berlaku satu insiden besar. Tanggal 12 September, The Sparks membuat perarakan. Mary sebagai tarikan utama berada paling hadapan.

Masa itu, ia ditunggangi seorang lelaki bernama Walter Eldridge. Ikutkan, dia ini pekerja hotel dan langsung tiada pengalaman mengendalikan gajah. Tetapi entah mengapa, sehari sebelumnya The Sparks mengambil dia sebagai penjaga Mary sepanjang berada di Kingsport.

Lantas hendak dijadikan cerita, semasa berarak, Mary terlihat gerai buah-buahan di tepi jalan. Tarikan utamanya adalah buah tembikai. Mary yang memang jenis pemakan pun apalagi, terus saja keluar dari barisan dan meluru ke gerai tersebut.

Eldridge justeru naik panik. Tanpa pengalaman, dia melakukan satu kesilapan fatal. Habis dicangkuknya belakang telinga Mary dengan cangkuk besi, semata-mata mahu mengarahkan gajah itu kembali ke barisan.

Memang sakit kena cangkuk begitu. Sebab itu, Mary terus menggeliatkan belalainya lalu diangkat tubuh Eldridge ke udara. Lantas, ia menikam lelaki itu dengan gading hingga tembus dan menghempasnya ke tanah. Nyawa Eldridge kemudian disudahkan dengan sekali pijak – yang mungkin diiringi oleh pekikan ngeri Mary.

Imej Mary digantung sampai mati

Suasana pun lantas bertukar huru-hara. Baik-baik tadi Kingsport digamit sorak-sorai, kini terus diulit teriak cemas. Ramai juga yang ikut melaungkan, “Bunuh gajah itu! Bunuh!” lalu disusuli lima das tembakan yang dilepaskan oleh tukang besi tembakan. Semua peluru mengenai badan Mary. Namun, kulitnya yang tebal membuatkan ia kurang mempan.

Mary sendiri kembali tenang, tidak lagi agresif. Ia hanya bertindak ganas lantaran disakiti cangkuk besi tadi. Bagi tembakan-tembakan yang dibuat, Mary tidak bereaksi pun. Tetapi, kemarahan orang ramai enggan surut.

Semua berpakat ugut Sparks. Sampaikan, pertunjukan sarkasnya diboikot selagi Mary dibenarkan hidup. Pelbagai bentuk hukuman lantas dicadangkan. Ada yang mahu Mary direnjat elektrik. Ada pula yang cadangkan supaya ia diikat pada dua gerabak keretapi lalu ditarik hingga anggota badan putus. Namun bagi Sparks sendiri, dia usulkan agar Mary digantung menggunakan kren.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Ikutkan, berat juga hati Sparks mahu akur dengan desakan orang ramai. Mana tidak, Mary bukan gajah biasa-biasa. Ia tidak hanya membesar di bawah jagaannya, malah merupakan tarikan utama dalam sarkas. Kalau hilang Mary, habislah hilang seri The Sparks.

Namun fikir Sparks, dikerat ibu jari lebih baik berbanding dipotong seluruh tangan. Tambahan, insiden amukan Mary sudah diketahui luas – dek disiarkan dalam akhbar. Kalau bukan dia sendiri yang bunuh Mary, akan ada kumpulan perusuh yang lakukannya.

Jadi mahu tidak mahu, keesokan hari Sparks bawa Mary ke perkarangan Clinchfield Railroad, Erwin (sebuah pekan di Kingsport). Di situ, sudah tersedia sebuah kren untuk menggantung Mary. Rantai besi pun lantas dililit pada tubuhnya. Perlahan-lahan, Mary diangkat ke udara sebelum tidak berapa lama…. rantai itu putus.

Habis bergegar bumi dek dihempas badan Mary yang terjatuh. Kuatnya bunyi sampai tergamam semua 2,500 orang khalayak. Namun, hukuman tetap diteruskan. Sekali lagi, Mary dililit dan diangkat ke udara.

Kira-kira 2,500 orang menyaksikan hukuman ke atas Mary

Kali ini, badannya tergantung hampir sejam. Sepanjang hampir sejam itu jugalah, bunyi riuk-riuk tulang patah diiringi erangan si gajah memenuhi suasana…. sebelum keadaan akhirnya menjadi sepi apabila Mary tidak lagi bernyawa.

Di perkarangan itu juga, jasadnya disemadikan tanpa tanda. Namun tanpa tanda sekali pun, pekan Erwin hingga hari ini diingati dengan peristiwa itu. Sampai setiap kali ada orang berkunjung ke sana, soalan pertama yang terpacul kepada penduduk tempatan adalah, “Inikan pekan tempat Mary si gajah digantung?”

Memang ralat habis sesiapa yang ditanya begitu. Atas sebab itu, beberapa dekad kebelakangan Erwin menubuhkan satu persatuan yang diberi nama RISE Erwin (Rejuvenate, Invest, Support, and Energize Erwin).

Objektifnya adalah mengubah stigma terhadap Erwin, dari pekan yang menggantung gajah kepada pekan yang menjaga kebajikan gajah. Antara aktiviti yang dilakukan adalah mengadakan festival gajah – di mana, penduduk bertanding menghasilkan cenderamata berkaitan gajah. Ia kemudian dijual dan hasil jualan disumbangkan kepada Pusat Lindungan Gajah di Hohenwald, Tennessee.

 

RUJUKAN

Dicicco, Richard. (2022, 28 April). The Tragic Execution of Mary the Elephant. Grunge.

Howard, Krissy. (2016, 11 October). The Sad Story of Murderous Mary, A Circus Elephant Hanged by a Tennessee Town. All That Interesting.

Jim H. (nd). Tennessee Town Hangs Murderous Mary the Elephant. Historic Mysteries.

Ljuca, Alema. (2022, 8 February). The Public Execution of Elephant Mary. History of Yesterday.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply