Alam Semesta yang terbentang luas ini terlalu banyak mempunyai misteri saintifik. Ilmu manusia yang terhad masih belum berjaya merungkaikan semuanya. Namun hipotesis semasa berkaitan kehidupan makhluk asing masih berkekalan. Terdapat hanya suatu planet sahaja yang mempunyai kehidupan. Realiti ini amat mengejut dan menimbulkan pelbagai tanda tanya, kerana sebanyak 4,160 planet telah diketahui berada di luar Sistem Suria. Planet yang paling dekat dengan Bumi ialah Proxima Centauri b.

Terletak hanya 4.22 tahun cahaya (ly), eksoplanet ini sering dikaji. Cuma setakat ini kebolehan untuk manusia hidup di planet tersebut masih belum dikenalpasti. Proxima Centauri b mempunyai tekanan angin suria jauh lebih tinggi berbanding Bumi. Jadi berkemungkinan besar eksoplanet ini tidak mempunyai lapisan atmosfera pun.

Luyten b pula merupakan sebuah eksoplanet di buruj Canis Minor (sekitar 12.36 ly) yang didapati sedang mengorbit bintangnya dalam zon agak bersesuaian dengan kehidupan. Eksoplanet ini dijangka mempunyai air (atau sekadar cecair) walaupun berjisim 2.9 kali ganda berbanding Bumi (sekaligus bukti planet berbatu).

Namun usah tertipu dengan angka-angka tahun cahaya. Sebarang ekspedisi dengan teknologi semasa akan tiba di Proxima Centauri b 81,000 tahun selepas pelancaraan. Dengan Luyten b yang terletak 4.2 kali ganda lebih jauh, bermakna ekspedisi ke sana memerlukan 341,820 tahun pula. Pada masa itu, tulang manusia mungkin hanya tinggal habuk – dan kapal angkasa mungkin terlangg4r batu angkasa.

Teorinya jelas. Terlalu banyak eksoplanet yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk kehidupan. Tetapi hanya Bumi sahaja yang berkehidupan. Persoalan ini pernah difikir para saintis; antaranya ialah Michael H. Hart yang membentangkan beberapa hujah:

  1. Berbilion bintang di Bima Sakti yang seiras dengan Matahari.
  2. Beberapa bintang demikian mesti ada planet seperti Bumi. Jika ada, mungkin sudah ada kehidupan pun.
  3. Beberapa peradaban angkasa mungkin sudah merangkul teknologi pengembaraan antara-bintang.

Tetapi di sebalik segala persoalan dan pertikaian, teori dan hipotesis, serta realiti dan fiksyen – kenapa makhluk asing masih belum ditemui?

  • (1) Makhluk Asing Tidak Wujud

Kalau dibandingkan Antarktika dan Amazon dari segi kepelbagaian biologi, jelas sekali wujud jurang yang sangat besar. Begitu juga dengan planet-planet lain. Berbanding Amazon, kawasan Antarktika mempunyai suhu dan keadaan yang tidak begitu sesuai dengan haiwan sedunia. Sebab inilah buaya laut Australia tidak pernah mengembara jauh ke sana, sedangkan spesis sedemikian boleh hidup selama 70 tahun dan berenang selaju 26 km/h. Pada kelajuan tersebut, buaya sedemikian hanya perlu dua minggu sahaja untuk tiba di Antarktika.

Jarak sedemikian tetap menjadi penghalang, oleh kerana kesesuaian suasana. Jika tiada eksoplanet di luar sana sesuai dengan kehidupan asing, maka takkan mungkinlah peradaban boleh dibangunkan.

  • (2) Spesis Asing Tiada Teknologi Maju

Andainya ada planet seperti Bumi (atau sesuai dengan kehidupan asing), berkemungkinan juga mereka tidak cukup maju untuk memancarkan isyarat ke Bumi (ataupun mereka tidak tahu pun Bumi wujud). Setakat ini siaran radio manusia pun telah dipancarkan sejauh 200 ly – itu hanyalah sebutir habuk sahaja untuk dibandingkan dengan saiz keseluruhan angkasa. Jika spesis asing tiga kali ganda lebih maju berbanding manusia, 600 ly bukanlah suatu angka yang boleh mendabik dada. Jarak tersebut tidak sampai selangkah pun pada skala Alam Semesta.

  • (3) Semua Spesis Tidak Cari Di Tempat Yang Betul

Seorang peserta haji menyimpan duit sebanyak mungkin dan kemudian menaiki pesawat. Beliau mendarat di Moscow. Puas beliau mencari Ka’abah di Moscow, sampai sudah tidak jumpa. Begitulah analogi berkaitan dengan makhluk asing. Semua spesis berkenaan (manusia dan makhluk-makhluk asing) tidak mencari di tempat yang betul. Selama 80 tahun manusia usaha mencari dengan teleskop dan radio, sampai sekarang masih belum ditemui – ini kerana seperti yang dikatakan Bumi ini lebih kecil dari habuk bagi saiz angkasa.

  • (4) Teori Ultra-Maju

Afrika misalnya mempunyai komuniti yang hidup tidak pakai baju. Apabila salah seorang daripada mereka berjaya menyelesaikan masalah pecahan misalnya, orang tersebut dianggap paling pandai. Namun matematik pecahan telah diketahui diseluruh dunia. Begitulah analoginya bagi topik ini. Mungkin makhluk asing sudah mempunyai teknologi terlalu maju yang imbasan radio ini hanyalah picisan sahaja. Bayangkan juga beruk siamang di atas pokok – mungkin itulah darjat manusia di sisi mereka, kerana mereka telah menemui lebih banyak spesis (yang lebih maju untuk difikirkan dan dikaji berbanding manusia ini).

  • (5) Gusar

Despacito merupakan lagu paling kerap ditonton di YouTube – seramai 6.6 bilion penonton. Andainya agen makhluk asing menukarkannya menjadi cahaya, induknya sejauh 600 ly perlu menunggu 600 tahun untuk penghantaran data dijayakan. Pada masa mereka mengkaji, tahun semasa sudahpun 2620 dan mereka mungkin bergelut memikirkan kultus apakah yang terlalu taksub dengan suatu lagu sampai 6.6 bilion kali diulangi.

Kesimpulan

Terdapat banyak sebab lagi yang mengandaikan kenapa makhluk asing belum ditemui. Mungkin semuanya salah. Ataupun semuanya betul. Namun hakikatnya, jika makhluk asing berjaya ditemui, terdapat juga kebarangkalian tinggi yang ada spesis-spesis lain pun. Realiti tersebut seharusnya difikirkan semua – kerana mungkin suatu hari nanti mereka tiba di sini untuk tanya mukjizat apa diburu manusia sampai 6.6 bilion kali diulangi Despacito.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.