Di Malaysia, terdapat beberapa lokasi yang dianggap paling seram seperti Hotel First World, Genting Highland, Bukit Tunku dan Istana Kellie, Batu Gajah. Sebut saja Istana Kellie, ramai merasa seram sejuk tentang kisah hantu yang menyelubungi istana tersebut.

Tetapi sebelum menyelusuri kisah seram kediaman itu, molek untuk mengetahui latar belakang bekas pemiliknya, William Kellie Smith. Smith yang berasal dari Moray Firth, Scotland dilahirkan pada 1 Mac 1870 dalam sebuah keluarga petani. Anak ketiga daripada lima adik-beradik, ia bukan satu kehidupan yang mudah untuk diharungi pada tahun-tahun awalnya.

Rajah 1: William Kellie Smith. Sumber: New Straits Times.

Bagaimanapun, Smith bernasib baik kerana beliau lahir dalam era di mana Britain sibuk meluaskan pengaruhnya di Timur Jauh termasuk Tanah Melayu, Borneo, Burma dan India. Bagi orang muda sepertinya, inilah peluang untuk mencari kekayaan di koloni-koloni British itu. Dan itu mendorongnya ke Batu Gajah, Perak pada 1890 untuk bekerja dengan Charles Alma Baker, seorang peneroka koloni dari New Zealand.

Smith yang ketika itu sudah mendapat latihan sebagai jurutera awam membantu kerja-kerja tinjauan dan pembinaan jalan di selatan Perak. Beberapa tahun selepas itu, beliau menubuhkan firma kejuruteraan, kontraktor dan arkitek sendiri. Smith menyangka nasibnya berubah selepas mendapat kontrak membekalkan balast selama dua tahun untuk Perak Railway pada 1896. Bagaimanapun, projek tersebut dibatalkan tidak lama selepas ia dilancarkan.

Di sebalik kegagalan itu, Smith tidak berputus asa. Ini kerana hubungan perkongsian yang dibina dengan Baker telah meraih keuntungan lumayan. Keuntungan ini digunakan untuk membeli lot tanah seluas 607 hektar di Batu Gajah dengan estet tersebut diberi nama Estet Kellas. Nama Kellas diambil sempena nama kediaman lamanya di Scotland, Easter Kellas.

Pada awalnya, Smith memberi fokus kepada tanaman kopi tetapi ia tidak membuahkan hasil. Ini kerana harga komoditi tersebut berkurangan berikutan persaingan sengit membabitkan bekalan kopi yang dieksport dari Brazil. Smith kemudiannya memberi fokus kepada tanaman getah kerana percaya bahan tersebut amat diperlukan untuk ciptaan yang mengubah dunia automotif: tayar pneumatik. Dalam masa singkat, beliau meraih keuntungan daripada tanaman komoditi itu.

Bagaimanapun, pada 1903, Smith berangkat pulang ke Scotland untuk menziarahi ibunya yang sedang nazak. Selepas menguruskan pengebumian ibunda tercinta, beliau pulang ke Tanah Melayu dan bertemu dengan seorang wanita kaya bernama Agnes. Hubungan cinta terjalin semasa pelayaran ke Tanah Melayu dan ia dimeterai menerusi ikatan perkahwinan tidak lama selepas tiba di Pulau Pinang.

Pasangan pengantin baru ini memulakan kehidupan sebagai suami isteri di kediaman kayu Smith di Batu Gajah. Setahun selepas itu, rumahtangga mereka diceriakan lagi dengan kehadiran puteri sulung Helen. Bagi memastikan kediamannya itu selesa untuk keluarga tercinta, Smith memilih menggunakan batu-bata yang menyerap haba daripada kayu untuk rumah agam yang mahu dibinanya.

Tetapi ini bermakna beliau perlu meminjam daripada tabung amanah milik isterinya yang hanya boleh diakses selepas lima tahun. Dan ini membawa kepada pelbagai masalah kepada Smith di kemudian hari.

Pertama, beliau gagal mendapat bayaran pendahuluan kedua daripada tabung amanah isterinya. Kedua, perusahaan kuari dan perlombongan bijih timah yang diusahakan mengalami kerugian besar. Lebih buruk, kebanyakan ternakan lembunya mati akibat jangkitan penyakit. Smith cuba menanam lebih banyak pokok getah tetapi ini mengakibatkan modal kerja yang dimilikinya habis.

Berdepan prospek kemuflisan, beliau menjual dua pertiga Estet Kellas kepada Harrisons & Crossfield pada 1906. Susulan itu, syarikat menamakan semula estet sebagai Kinta Kellas Ltd dan mengekalkan Smith sebagai pengarah urusan ladang. Smith dan Agnes turut dibenarkan mengekalkan pemilikan ke atas banglo mereka dan 202 hektar lot tanah.

Dengan wang pewarisan isterinya sebanyak $300,000 diterima pada tahun 1908, ia menyediakan batu asas untuk rumah agam yang diidamkan beliau. Smith membina rumah agamnya di sepanjang jalan Batu Gajah-Gopeng bersebelahan Sungai Raya, anak sungai yang mengalir ke Sungai Kinta. Beliau turut diberi lesen menghasilkan batu-bata di tapak pembinaan dan membawa kumpulan pembina dan artisan dari Madras, India.

Mengikut perancangan, Smith mahu membina 14 buah bilik untuk keluarga besarnya, loteng, gelanggang tenis di bumbung, kandang kuda dan lubang untuk lif. Kesemua ciri ini masih boleh dilihat di Istana Kellie sehingga hari ini. Bagaimanapun, hasrat Smith untuk melengkapkan pembinaan rumah agam tersebut tidak kesampaian lantaran Perang Dunia Pertama (WWI) tercetus pada 1914.

Dalam tempoh tersebut, Smith dan Agnes dikurniakan seorang lagi cahaya mata iaitu Anthony pada 1914. Sepanjang tempoh WWI, mereka mengusahakan tanaman sendiri sebagai cara menyediakan sumber makanan mereka sekeluarga.

Pada 1918, WWI berakhir dan Smith berharap kerja pembinaan dapat disambung semula. Tetapi pada tahun itu, wabak flu Sepanyol melanda seluruh dunia termasuk Tanah Melayu. Ramai pekerja Smith termasuk kumpulan pembina dan artisan untuk Istana Kellie mati akibat wabak berkenaan.

Kemudian pada 1926, Smith dan Agnes berangkat ke Eropah untuk menziarahi dua cahaya mata kesayangan mereka itu dan mengambil lif untuk Istana Kellie. Sekiranya ia dipasang di situ, ini menjadikan lif tersebut sebagai pertama digunakan di Tanah Melayu. Namun begitu, manusia hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan segala-galanya.

Semasa di Lisbon, Portugal, Smith berharap dapat memuktamadkan konsesi ladang yang mahu diusahakan di Timor Timur (kini Timor Leste). Tetapi, dia diserang penyakit pneumonia dan mati di bilik hotelnya pada usia 56 tahun. Agnes yang patah hati memilih menjual semua baki hartanah kepada Harrisons & Crossfield dan pulang ke Scotland bersama anak-anaknya.

Bagi Harrisons & Crossfield, ladang yang diusahakan Smith itu tidak mendatangkan keuntungan lalu memilih mengabaikan terus pelaburan mereka. Istana Kellie kemudiannya ditinggalkan sebelum ia ditelan oleh hutan belantara sekitarnya.

Jadi, bagaimana Istana Kellie diberi jolokan sebagai tempat yang paling menyeramkan di Malaysia? Bertahun-tahun sebelumnya, semasa ia masih dalam keadaan terbiar, ia sentiasa menjadi tumpuan pelancong asing terutama pencinta alam. Kebiasaannya, mereka di situ untuk merakam imej haiwan-haiwan nokturnal yang wujud ketika itu.

Kisahnya, pasangan pelancong Kanada mengambil gambar haiwan nokturnal yang wujud sekitar rumah agam berkenaan. Semasa memerhatikan setiap gambar yang diambil, si pelancong terkejut melihat kelibat lembaga seorang lelaki yang berdiri di balkoni Istana Kellie. Ini membawa kepada khabar angin bahawa hantunya telah kembali ke Istana Kellie untuk bersama dengannya untuk selama-lamanya.

Atas sebab itulah, di rumah agam tersebut, wujud program Pelancongan Malam Paranormal – Merungkai Fakta Misteri di Istana Kellie. Di sini, pelancong diberi peluang merasai pengalaman paranormal di rumah agam berkenaan pada waktu malam dalam situasi selamat, selesa dan terkawal. Dan jika bernasib baik, pengunjung boleh mengalami fenomena paranormal sekitar kawasan berkenaan.

Rajah 2: Contoh lawatan Pelancongan Malam Paranormal di Istana Kellie. Sumber: Asyraf Hamzah/Berita Harian.

Selain hantu Smith, ada pengunjung mendakwa mendengar tangisan budak kecil atau melihat kelibat lembaga budak perempuan berusia enam tahun memakai gaun berwarna putih. Kebiasaannya, fenomena ini berlaku di bilik Helen, puteri sulung Smith. Hantu yang dilihat di situ memunculkan diri selama beberapa saat sebelum menghilang!

Disebabkan reputasi Istana Kellie ini, ia diberi gelaran sebagai antara kawasan paling menyeramkan di Malaysia oleh portal pelancongan Expedia. Atas sebab sama, pengunjung hanya dibenarkan berada di Istana Kellie sehingga 6.00 petang sahaja. Ini kerana waktu 5.30 petang hingga jam 7.30 malam dan jam 2.00 pagi hingga jam 3.00 pagi dianggap waktu puncak bagi hantu-hantu ini muncul.

Kalau anda berminat dengan artikel seperti ini, kami nak cadangkan novel seram terbaru kami berkisarkan seorang penulis novel yang berusaha mencari tempat seram atau berjumpa dengan orang yang ada pengalaman berkaitan hantu. Boleh beli di: http://bit.ly/dimanaadahantu

RUJUKAN

Teh Leam Seng, A. (2017, 28 Oktober). Shadows and chills at Kellie’s Castle. New Straits Times.

Mohd Yunus, Z. (2015, 8 Mac). Meremang di Kellie’s Castle. Berita Harian.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply