Beberapa minggu lepas, Turki secara rasmi membuka Jambatan Canakkale 1915. Mungkin ada menganggap ini sekadar jambatan biasa. Hakikatnya, jambatan yang merentasi Selat Dardanelles itu merupakan jambatan gantung terpanjang di dunia.
Jambatan yang berukuran 2,023 meter panjang ini menghubungkan Gelibolu di utara wilayah Canakkale yang terletak di sebelah Eropah Turki dengan Lapeski di sebelah bahagian Asia Turki. Ia merupakan hasil kerja sebuah konsortium terdiri daripada syarikat-syarikat Turki dan Korea Selatan.
Dengan adanya jambatan ini, pengguna jalan raya dapat merentasi Selat Dardanelles dalam tempoh enam minit berbanding 1 jam 30 minit dengan feri. Sebelumnya, jika mereka mahu merentasi selat berkenaan, pengguna perlu menunggu feri dengan waktu menunggu yang lama – kadang-kadang sehingga lima jam.
Kos pembinaan jambatan ini mencecah 2.5 bilion euro (RM11.63 bilion). Tetapi ia turut membantu Turki membuat penjimatan sebanyak 415 juta euro (RM1.93 bilion) dari segi perlepasan karbon dan penggunaan bahan api. Pengguna jalan raya hanya perlu membayar tol sebanyak 200 lira (RM57.35) sebelum menggunakan Jambatan Canakkale 1915.
Setiap aspek seni bina jambatan ini penuh dengan simbolisme. Jarak 2,023 meter merujuk kepada tahun 2023 – tahun di mana Turki menyambut ulang tahun ke-100 penubuhan republik selepas kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah. Menara jambatan setinggi 318 meter merujuk kepada tarikh 18 Mac – tarikh mengenang pengorbanan tentera Turki yang terbunuh dalam pertempuran di Gallipoli.
Semasa Perang Dunia Pertama (WWI), tiga Entente iaitu Britain, Perancis dan Rusia melancarkan kempen mengawal Selat Dardanelles. Tujuannya bukan sekadar mengawal Laut Mediterranean tetapi memaksa kerajaan Turki Uthmaniyah ketika itu agar tunduk dan menarik diri daripada kempen WWI.
Pendaratan pasukan Bersekutu di Gallipoli pada 25 April 1915 merupakan permulaan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak selama lapan bulan. Pada akhir pertempuran, 44,000 tentera Bersekutu dan 86,000 tentera Uthmaniyah terbunuh.
Menariknya, tarikh 18 Mac yang dipilih kerajaan Turki untuk merasmikan Jambatan Canakkale 1915 juga signifikan. Ini kerana ia bersamaan dengan ulang tahun ke-107 kejayaan Turki mengakali armada perang Britain dan Perancis sekaligus membawa kepada pendaratan tentera di Gallipoli. Kempen pendaratan Gallipoli menyaksikan Britain dan Perancis mendapat sokongan tentera dari negara lain termasuk Australia dan New Zealand.
Perasmian jambatan dibuat oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sambil disaksikan hadirin dan tetamu-tetamu kehormat termasuk Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Boo-kyum. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berharap jambatan ini bukan saja berperanan sebagai penanda permulaan baru era keamanan dan kemakmuran. Malah, ia turut dianggap sebagai manifestasi hubungan rapat Ankara dengan Seoul.
RUJUKAN
Fraser, S. (2022, 18 Mac). Turkey builds massive bridge linking Europe and Asia. Associated Press.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih