Digelar sebagai ‘zaman keemasan’ dalam sejarah ketamadunan China, Dinasti Tang dilambangkan oleh kestabilan ekonomi, sosial dan politiknya, budaya seni dan sastera yang berkembang pesat, dan peningkatan interaksi dengan dunia luar.
Pada kemuncak pemerintahan Tang, kebanyakan bandar di China adalah bandar kosmopolitan, dan ibu kota Chang’an, adalah rumah kepada lebih satu juta penduduk, termasuk ekspatriat dari seluruh Asia Tengah dan negara lain. Chang’an menjadi bandar terbesar dan paling majmuk ketika itu. Dan pengaruh empayar menjangkau seluruh Asia, memajukan pertukaran komersial, kulinari, seni, keagamaan dan intelektual di seluruh rantau ini.
Maharaja Dinasti Tang pertama, Li Yuan, yang dikenali sebagai Gaozu, bermula sebagai pesaing untuk Dinasti Sui, yang mana beliau pernah menjadi pegawai dalam dinasti ini. Li Yuan ialah sepupu Maharaja Sui yang pertama dan mendapat kuasa semasa tempoh pemberontakan besar-besaran selepas muncul dari barat laut untuk mengalahkan pesaing lain dalam perebutan takhta.
Dinasti itu mencapai kemuncak kekayaan dan kekuasaannya pada awal abad ke-8, iaitu era kegemilangan bagi bidang kesenian dan sasteranya. Maharani Wu Zhou pula iaitu satu-satunya maharani dalam sejarah dinasti China, telah menggerakkan reformasi dalam dinasti dengan menghapuskan golongan bangsawan yang berkuasa.
Dinasti Tang diingati kerana sumbangan dinasti ini kepada bidang sastera, terutamanya puisi, sebahagiannya hasil simpanan akademi penyair Xuanzong, yang membantu mengekalkan lebih 48,900 puisi yang ditulis oleh lebih 2,000 penyair era itu.
Salah seorang yang paling diingati ialah Li Bai, dilahirkan pada tahun 701 M. Seorang pertapa Taois yang meninggalkan rumah pada usia awal, Li Bai menghabiskan sebahagian besar hidupnya merayau-rayau, dan puisinya memfokuskan pada alam semula jadi, persahabatan dan kepentingan alkohol.
Dari segi kesenian pula, ia menyaksikan kebangkitan orkestra serta kumpulan penari yang banyak melakukan persembahan dalam acara-acara utama di istana. Para pemuzik memainkan seruling, ziter, dan gendang. China dalam tempoh ini menerima banyak kemasukan muzik asing kerana pelaut Arab dan Parsi menjelajah pelabuhannya dan muzik serta tarian memasuki China dari Asia Tengah.
Ini bermaksud, dasar hubungan luar yang diamalkan oleh Dinasti Tang telah membuka kepada pengaruh asing untuk mewarnai dunia kesenian mereka, sekaligus mewujudkan variasi dalam perkembangan kesenian mereka.
Selain itu, lukisan turut memainkan peranan utama dalam perkembangan budaya Tang, dan pelukis menjadi tokoh penting bagi istana. Salah seorang menteri negara Tang, Yan Liben, jauh lebih dikenali sebagai pelukis berbanding negarawan. Pakar lukisan figura terbesar dinasti itu ialah Wu Daozi, yang menghasilkan 300 lukisan dinding di kuil di Luoyang dan Chang’an.
Dinasti Tang juga menyaksikan keghairahan dalam kalangan rakyatnya terhadap makanan asing. Kemasukan makanan baharu yang lazat yang diimport dari seluruh daratan dan laut telah membuatkan masakan baharu popular ketika itu. Bahan-bahan baharu yang eksotik ditemui dalam masakan Cina.
Dinasti Tang melalui zaman emasnya kerana keterbukaan dan sikap liberal yang unik pada zamannya, dan dinasti itu terus dianggap sebagai zaman kegemilangan kosmopolitanisme di China.




No comments yet