Jika tidak kerana Winstedt, mungkin kita akan dapat lihat banyak lagi khazanah persuratan Melayu hasil usaha yang dilakukan oleh Za’ba, sama ada melalui penulisannya sendiri atau aktiviti penterjemahan yang dilakukannya. Winstedt atau nama sebenarnya Richard Olaf Winstedt merupakan Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat (1924–1931), dan sebelum itu beliau bertindak sebagai Penolong Pengarah (1916-1921). Winstedt telah menggunakan pengaruh dan kuasanya pada ketika itu untuk mengenakan pelbagai sekatan dan kerenah birokrasi  terhadap Za’ba.

  1. Mengeluarkan Za’ba dari MCKK

Za’ba pernah bertugas sebagai guru bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di  Malay College Kuala Kangsar(MCKK) (1918-1923) dengan ditawarkan gaji sebanyak $143.00 sebulan. Semasa dalam perkhidmatannya, Za’ba memang terkenal dengan ketajaman penulisannya yang mengkritik orang Melayu, raja-raja Melayu dan kerajaan kolonial British. Ini menyebabkan pihak kolonial British memberi perhatian terhadap kegiatan penulisan Za’ba dan mula mencurigainya. Antara medium untuk Za’ba menyumbangkan artikelnya ialah melalui majalah Pedoman Belia. Za’ba adalah pencetus kepada penerbitan majalah itu melalui sebuah persatuan yang ditubuhkannya sendiri di MCKK, iaitu The Malay College Association. Ketika mencadangkan penubuhan persatuan ini, Za’ba ada menulis mengenai tujuan rancangannya kepada pihak pentadbir MCKK;

“To publish a monthly journal, both English and in Malay, of about twenty pages each, under the name Pedoman Belia..”

Pada waktu yang sama, Za’ba juga menulis rencana di majalah Pengasuh (1918-1922) dengan menggunakan nama pena Patriot, dan akhbar Utusan Melayu (1919-1920). Kecenderungan Za’ba untuk meneruskan kritikan dalam penulisan-penulisannya telah menyebabkan beliau dikenakan tindakan disiplin oleh pihak berkuasa MCKK dengan tidak memberi kenaikan gaji tahunan seperti yang dijanjikan mengikut syarat perkhidmatannya.

Kawalan pihak berkuasa MCKK terhadap Za’ba sangat rapi sehinggakan Guru Besar MCKK telah pergi menggeledah rumah Za’ba untuk menyiasat bahan-bahan bacaan yang terdapat dalam simpanan Za’ba. Beliau mengumpulkan buku, akhbar dan majalah kepunyaan Za’ba serta meneliti isi kandungannya. Lalu berkata; “Ini tidak boleh kau pegang.. Kau dapat fikiran nak melawan kerajaan dari surat-surat khabar macam inilah”

Perkembangan yang sukar dilalui oleh Za’ba di MCKK sebenarnya mempunyai hubungan dengan peranan yang dimainkan oleh Winstedt. Permainan halus Winstedt dalam mengaburi mata Za’ba ketika ini tidak disedarinya. Sejak tahun 1920, Winstedt sering menghubungi Za’ba di MCKK untuk mengetahui dan mengambil ilmu dari Za’ba berkenaan dengan adat dan kepercayaan orang Melayu. Ramai orang tidak tahu, tulisan-tulisan Winstedt yang diterbitkan Journal of Singapore Branch Royal Asiatic Society (JSBRAS) adalah hasil bantuan daripada bahan-bahan yang diberikan oleh Za’ba kepadanya.

Winstedt bijak menunjukkan sikap berkecualinya disebalik kritikan Za’ba terutamanya dalam soal pelajaran. Winstedt mengambil kesempatan terhadap bakat penulisan Za’ba untuk disalurkan kepada isu-isu yang tidak kontroversi walaupun beliau tahu kritikan-kritikan Za’ba terhadap dasar pelajaran British sebelum ini secara tidak langsung telah mencabar kedudukannya sebagai Pengarah Pelajaran.

Za’ba merasai keanehannya dan keganjilannya terhadap sikap Winstedt. Namun atas minat yang tinggi terhadap dunia penulisan, Za’ba telah menyumbangkan beberapa penulisannya dalam JSBRAS. Sikap Winstedt yang cuba mengalihkan fokus Za’ba tidak berhasil apabila Za’ba terus-menerus mengkritik kerajaan Kolonial British. Pada anggapan British, kegiatan Za’ba mendatangkan bahaya kepada kedudukan British di Tanah Melayu. Maka meyedari akan hakikat itu, Winstedt telah melobi pihak berkuasa pelajaran untuk mengeluarkan Za’ba dari MCKK. Pada 24 Mei 1923, Za’ba dikeluarkan dari MCKK, lalu ditukarkan ke Pejabat Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat di Kuala Lumpur.

  1. Cita-Cita Menyambung Pengajian di Luar Negara Terhalang

Za’ba telah ditukarkan ke Sultan Idris Training College (SITC), Tanjong Malim pada 1 April 1924. Za’ba diberikan sebuah rumah di kawasan Maktab kerana beliau telah dilantik dalam perkhidmatan tetap pelajaran dan menerima kenaikan gaji sebanyak $209.00. Namun disebalik kegembiraan Za;ba terhadap perkembangan tersebut, Za’ba tidak berpuas hati dengan bebanan kerja yang harus ditanggung di SITC dan suasana Tanjong Malim yang tidak kondusif padanya ketika itu serta beliau berasa tersisih daripada rakan-rakan seperjuangannya di Kuala Lumpur. Lantas Za’ba mendapat satu idea untuk keluar dari SITC dengan membuat permohonan menyambung pelajaran di luar negara. Kata Za’ba di dalam suratnya kepada Pengetua SITC, O.T. Dussek;

“Knowing that you are one of those zealously devoted to the cause of educations among Malays, I make bold to address this letter to you in the hope you will forward it to the Government… I mean my ambition to go up for further studies in Europe which has never left me ever since I left school in 1916. Had I but the means of going myself, I would have done so long ago”

Ternyata Za’ba terlalu yakin permohonannya akan diterima kerana atas kapasitinya dalam perkhidmatan tetap kerajaan. Za’ba telah menulis surat permohonannya untuk mengambil jurusan undang-undang di Universiti Oxford atau Universiti Cambridged kepada seorang pegawai tinggi kolonial di Kuala Lumpur. Untuk menarik perhatian pegawai tersebut, Za’ba telah melampirkan suratnya kepada O.T Dussek yang didakwa telah menyokong permohonannya.

Sekali lagi, Winstedt telah mengenakan sekatan terhadap Za’ba. Winstedt telah memadamkan cita-cita Za’ba untuk menyambung pengajian ke luar negara. Winstedt menggunakan kuasanya untuk menghalang permohonan tersebut dengan mengatakan “rasa tidak sesuai untuk menyokong”. Dengan kuasa yang ada pada tangan Winstedt, Za’ba tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan kerja-kerja di SITC dan melupakan cita-citanya untuk belajar di eropah. Peristiwa halangan Winstedt kekal dalam ingatan Za’ba sehinggalah beliau bersara. Kata Za’ba di dalam suratnya kepada Mohd. Ali Muhammad;

“Dahulu dalam tahun 1925 Tuan Winstedt telah menghalang ayahanda daripada pergi belajar ke England. Polisi Inggeris masa itu lain! Tapi sekarang Tuhan telah mengubahnya, terpaksa mereka ikut!

  1. Bebanan kerja di SITC

Kerajaan British sentiasa mengawasi kegiatan penulisan Za’ba. Di SITC, O.T. Dussek adalah orang yang paling berperanan dalam mengawasi kegiatan penulisan dan penerbitan Za’ba di Pejabat Karang Mengarang SITC. Akan tetapi harus diingatkan bahawa beliau merupakan penolong kepada WInstedt sebagai pegawai kerajaan kolonial British. Maka sudah tentulah segala tindakannya tidak lari daripada pengaruh WInstedt. Ini dapat dilihat daripada tindakan O.T. Dussek menghalang penerbitan “Kamus Bahasa Melayu Za’ba” dan Rahsia Ejaan Jawi. Alasan yang diberikan kononnya penulisan dan penerbitan itu tidak melalui salurannya.

Za;ba berasa kecewa dengan layanan pegawai British terhadapnya, terutamanya Winstedt. Kemuncak kekecewaan Za’ba dapat dilihat dalam peristiwa penolakan syor Za’ba kepada Winstedt untuk menambahkan bilangan kakitangan di Pejabat Karang Mengarang SITC yang disifatkannya terlalu kecil sehingga membebankan kerja. Ini merupakan rentetan daripada apa yang dilihat melalui lawatan Za’ba di Balai Pustaka Indonesia yang dirasakan sesuai untuk dilaksanakan di Pejabat Karang Mengarang SITC. Za’ba mahu kakitangan itu ditambah supaya kejayaan yang ditempa di Balai Pustaka dapat dicontohinya. Namun, sekali lagi syor Za’ba ditolak oleh Winstedt, dengan alasan bahawa kerajaan British lebih cekap daripada kerajaan Belanda dan mereka tidak perlu meniru.

Za’ba terlalu kecewa dengan sikap Winstedt yang sering menolak permohonannya dan sering menjadi batu penghalang kepada cita-citanya. Za’ba menyedari kerja-kerja berat di SITC berterusan sedangkan kakitangannya tidak juga bertambah. Maka, Za’ba tidak lagi selesa berkerja di SITC dan memohon pertukaran kepada Pengetua SITC. Sungguhpun terlalu kecewa, Za’ba cuba menutup kekecewaannya terhadap penolakan Winstedt dengan menyatakan bahawa sebab-sebab pertukaran hanyalah bersifat peribadi, seperti sebab kesihatannya yang semakin merosot dan masalah dua anak perempuannya yang bersekolah di Kuala Lumpur yang menyebabkan beliau terpaksa mempunyai dua rumah serta ingin kembali menjadi guru.

RUJUKAN

Adnan Haji Nawang, 1994. Za’ba Patriot dan Pendeta Melayu. Kuala Lumpur: Yayasan Penataran Ilmu


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ahmad Faizal Bin Basir. Anak muda kelahiran Tanjong Malim Perak ini merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah), Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Leave A Reply