Oleh: John Mearsheimer*
Persoalannya adalah mudah dan bersifat mendalam: adakah China akan bangkit dengan aman?
Jawapan saya tidak.
Sekiranya China meneruskan pertumbuhan ekonominya yang mengagumkan dalam tempoh beberapa dekad akan datang, Amerika Syarikat dan China adalah berkemungkinan akan terlibat dalam persaingan keselamatan yang sengit dengan potensi yang besar untuk berlaku pep3rangan. Kebanyakan jiran China, termasuk India, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Rusia dan Vietnam, akan bergabung dengan AS untuk mengekang kuasa China.
Untuk menjangkakan masa depan di Asia, seseorang memerlukan teori yang menjelaskan bagaimanakah kuasa yang bangkit mungkin akan bertindak dan bagaimanakah negara-negara lain akan bertindak balas terhadapnya.
Teori politik antarabangsa saya mengatakan bahawa negara yang paling kuat cuba untuk mewujudkan hegemoni di rantau mereka sendiri sambil memastikan tidak ada kuasa dunia pesaing yang menguasai wilayah lain. Matlamat utama setiap kuasa dunia (great power) adalah memaksimumkan bahagian kuasa mereka dalam dunia dan akhirnya menguasai sistem tersebut.
Sistem antarabangsa mempunyai beberapa ciri-ciri penentuan. Aktor utamanya adalah negara yang beroperasi dalam anarki yang mudah maksudnya tidak ada autoriti yang lebih tinggi di atas negara-negara. Semua kuasa dunia mempunyai keupayaan ketenteraan ofensif, yang bermaksud mereka dapat menyakiti satu sama lain.
Yang terakhirnya, tidak ada negara yang boleh mengetahui niat masa depan negara lain dengan pastinya. Cara terbaik untuk bertahan hidup dalam sistem seperti itu adalah menjadi sekuat yang mungkin berbanding pesaing yang berpotensi. Lebih kuat sesebuah negara itu, lebih kurang kemungkinan bahawa negara lain akan menyerangnya.
Kuasa dunia tidak sekadar berusaha untuk menjadi kuasa dunia yang terkuat, walaupun itu adalah hasil yang dialu-alukan. Matlamat utama mereka adalah untuk menjadi hegemon, satu-satunya kuasa dunia dalam sistem ini.
Tetapi hampir mustahil bagi mana-mana negara untuk mencapai hegemoni global dalam dunia moden, kerana ianya adalah terlalu sukar untuk memprojeksi dan mengekalkan kuasa di seluruh dunia.
Malah AS sendiri adalah hegemon serantau dan bukan hegemon global. Yang terbaik yang boleh diharapkan oleh sesebuah negara adalah untuk menguasai halaman belakangnya sendiri (penterjemah: rantaunya sendiri).
Negara yang mencapai hegemoni serantau mempunyai matlamat selanjutnya: untuk mencegah kawasan geografi yang lain daripada dikuasai oleh kuasa dunia lain. Dengan kata lain, kuasa hegemon serantau tidak mahukan pesaing yang setaraf. Sebaliknya, mereka mahu mengekalkan rantau lain terbahagi antara beberapa kuasa dunia supaya negara-negara ini akan bersaing antara satu sama lain.
Pada tahun 1991, sejurus selepas P3rang Dingin berakhir, pentadbiran Bush yang pertama dengan beraninya menyatakan bahawa AS kini adalah negara yang paling berkuasa di dunia dan merancang untuk tetap demikian. Mesej yang sama muncul dalam Strategi Keselamatan Nasional yang terkenal yang dikeluarkan oleh pentadbiran kedua Bush pada bulan September 2002.
Pendirian dokumen ini mengenai p3rang pre-emptif menghasilkan kritikan yang keras, tetapi hampir tidak ada kata-kata protes menyambut pernyataan bahawa AS perlu memantau kuasa yang bangkit dan mempertahankan kedudukannya dalam imbangan kuasa global.
China — sama ada ia kekal autoritarian atau menjadi negara demokratik — adalah berkemungkinan akan cuba menguasai Asia dengan cara AS mendominasi hemisfera Barat.
Khususnya, China akan berusaha untuk memaksimumkan jurang kuasa antara dirinya dengan jiran-jirannya, terutama Jepun dan Rusia. China akan mahu memastikan bahawa dirinya begitu kuat sehingga tiada negara di Asia mempunyai kemampuan untuk mengancamnya.
Tidak mungkin China akan mengejar keunggulan dari sudut ketenteraan supaya ia boleh mengamuk dan men4kluk negara Asia yang lain, walaupun selalunya itu adalah suatu perkara yang mungkin.
Sebaliknya, China berkemungkinan besar akan mahu menentukan sempadan tingkah laku yang boleh diterima kepada negara-negara jirannya, seperti mana cara AS menyatakan dengan jelas kepada negara lain di benua Amerika bahawa AS adalah bos.
Saya mungkin menambah, mendapatkan (status) hegemoni serantau mungkin adalah satu-satunya cara China akan mendapatkan kembali Taiwan.
Negara China yang semakin berkuasa juga berkemungkinan cuba untuk menolak Amerika Syarikat keluar daripada Asia, seperti mana cara AS menolak kuasa dunia daripada Eropah keluar dari hemisfera Barat. Kita perlu menjangkakan China untuk menghasilkan versi Doktrin Monroe mereka sendiri, seperti yang dilakukan Jepun pada tahun 1930-an.
Matlamat polisi ini menjadi masuk akal dari sudut strategik untuk China. Beijing sepatutnya mahukan Jepun dan Rusia yang lemah dari segi ketenteraan sebagai negara jirannya, sama seperti AS yang lebih sukakan Kanada dan Mexico yang lemah dari sudut ketenteraan di sempadannya.
Negara manakah yang waras yang mahu negara berkuasa yang lain terletak dalam rantaunya? Semua orang China tentunya ingat apa yang berlaku pada abad ke-20 ketika Jepun berkuasa dan China berada dalam keadaan yang lemah. Dalam dunia anarki politik antarabangsa, ianya adalah lebih baik untuk menjadi Godzilla daripada menjadi Bambi (rusa).
Tambahan lagi, kenapa pula negara China yang kuat mahu menerima tentera AS beroperasi di halaman belakang negaranya? Lagipun, pembuat dasar Amerika melenting apabila kuasa dunia yang lain menghantar tentera ke hemisfera Barat. Tentera asing tersebut sering dilihat sebagai ancaman berpotensi terhadap keselamatan Amerika. Logik yang sama patut terpakai pada China.
Kenapa China perlu berasa selamat dengan tentera AS ditempatkan berdekatan dengannya? Mengikut logik Doktrin Monroe, tidakkah keselamatan China dicapai lebih baik dengan menolak tentera Amerika keluar daripada Asia?
Kenapa kita perlu mengharapkan orang China bertindak dengan cara yang berbeza daripada yang dilakukan oleh AS? Adakah mereka lebih berprinsip daripada Amerika? Lebih beretika? Kurang nasionalistik? Kurang bimbangkan tentang survival diri mereka? Sudah tentu, mereka bukanlah semua itu, itulah sebabnya kenapa China berkemungkinan meniru AS dan cuba menjadi hegemon serantau.
Ianya adalah jelas daripada rekod sejarah bagaimana pembuat dasar Amerika akan bertindak balas jika China cuba menguasai Asia. AS tidak bertolak ansur dengan pesaing yang setaraf. Seperti yang ditunjukkan pada abad ke-20, Amerika bertekad untuk kekal sebagai satu-satunya kuasa hegemon serantau di dunia.
Oleh itu, Amerika Syarikat dijangka akan berusaha sedaya upaya untuk mengekang China dan akhirnya melemahkannya ke satu tahap di mana China tidak lagi mampu untuk berkuasa di Asia. Pada dasarnya, Amerika Syarikat berkemungkinan akan bertindak terhadap China dalam cara yang hampir sama ia bertindak terhadap Kesatuan Soviet semasa P3rang Dingin.
Negara-negara yang berjiran dengan China juga pasti takut dengan kebangkitannya, dan mereka juga akan melakukan apa sahaja yang mereka boleh untuk menghalang China daripada mencapai hegemoni serantau.
Memang ada bukti yang ketara bahawa negara-negara seperti India, Jepun, dan Rusia, serta kuasa yang lebih kecil seperti Singapura, Korea Selatan dan Vietnam, bimbang tentang kekuasaan China dan sedang mencari cara untuk membendungnya.
Pada akhirnya, mereka akan bergabung dengan koalisi penyeimbangan kuasa yang diketuai oleh Amerika untuk memantau kebangkitan China, seperti Britain, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, dan bahkan juga China yang bergabung dengan Amerika Syarikat untuk membendung Kesatuan Soviet semasa P3rang Dingin.
Akhirnya, memandangkan kepada kepentingan strategik Taiwan dalam untuk mengawal laluan kapal di Asia Timur, ianya adalah sukar untuk dibayangkan bahawa Amerika Syarikat serta Jepun membenarkan China mengawal pulau besar itu.
Pada hakikatnya, Taiwan berkemungkinan menjadi pemain penting dalam koalisi penyeimbangan kuasa anti-China, yang pasti akan menimbulkan kemarahan China dan memarakkan persaingan keselamatan antara Beijing dan Washington.
Gambaran yang telah saya lukiskan tentang apa yang mungkin berlaku jika China berterusan dengan kebangkitannya bukanlah sesuatu yang cantik. Saya mendapati ianya adalah sesuatu yang sangat menyedihkan dan berharap saya dapat memberitahu cerita yang lebih optimistik tentang masa depan.
Tetapi hakikatnya politik antarabangsa adalah urusan yang tidak menyenangkan dan berbahaya dan tidak ada muhibbah yang dapat memperbaiki persaingan keselamatan yang sengit yang berlaku apabila kuasa hegemon yang bercita-cita muncul di Eurasia.
Itulah tragedi politik kuasa dunia.
*John Mearsheimer adalah profesor sains politik di University of Chicago dan pengarang buku The Tragedy of Great Power Politics (W.W Norton, 2001).
Terjemahan: Muaz Malik
SUMBER: Tulisan ini disiarkan dalam suratkhabar The Australian yang bertarikh 18 November 2005.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih