Alam laut memang penuh dengan keajaiban. Sampai hari ini, alam ini masih belum diterokai sepenuhnya.
Bermakna barangkali jutaan spesis belum mendapat tempat dalam kalam sains.
Kalau ikut ramalan saintis, lebih daripada 91 peratus spesis laut belum diklasifikasikan. Jadi memang banyak lagilah haiwan yang bakal mengujakan kita semua.
Salah satu haiwan adalah ikan tanglung (anglerfish). Dalam susunan haiwan (animal taxonomy), keluarga menghimpunkan genus iaitu kategori di atas spesis.
Misalnya, buaya Mexico, buaya Nil dan buaya Orinoco berbeza dari segi spesis… tetapi dipayungi genus Crocodylus, yang berkeluarga dengan genus Osteolaemus (buaya kerdil) dan Mecistops (buaya muncung).
Ikan tanglung pula adalah Kumpulan (Order) 18 buah keluarga, masing-masing dengan pecahan genus tersendiri.
Kumpulan bagi buaya adalah Crocodilia yang berpecah kepada Keluarga Alligator misalnya.
Menyingkap Sejarah Ikan Tanglung
Walaupun kelihatan pelik, ikan tanglung sebenarnya ditemui dalam semua lautan.
Jadi saintis sudah banyak melaksanakan kajian bagi mengenal pasti intipatinya dari segi genetik.
Untuk pengetahuan semua, setiap sel mempunyai “organ” tersendiri yangn dipanggil organelle. Salah satu organelle adalah mitochondria, yang senang cakap “penghasil tenaga”.
Dalam mitochondria pula, ada sejenis DNA yang fungsinya adalah untuk menukarkan bahan kimia (daripada makanan) kepada tenaga kegunaan sel.
Kajian pada DNA ini mendedahkan ikan tanglung berkembang begitu banyak dan pelbagai dalam masa sangat singkat.
Bermakna proses pemelbagaian ini berlaku terlalu pantas sejak 130 juta tahun lalu (Miya, et al., 2010).
Bermakna ikan tanglung berasal daripada zaman dinosaur… tidak pupus sepenuhnya, mungkin sekadar terjejas dari segi populasi semasa hentaman asteroid 65 juta tahun yang lalu.
Ciri-Ciri Anatomi Ikan Tanglung
Ikan tanglung mendapat namanya daripada anggota badan yang sangat unik.
Di bahagian kepalanya, terdapat sebuah anggota yang tergantung siap berlampu.
Dalam bahasa saintifik, setiap lampu pada tubuh benda yang hidup adalah “pencahayaan biologi” (bioluminescence).
Kunang-kunang misalnya adalah haiwan paling popular dalam kalangan orang ramai jika ditanya pasal pencahayaan biologi.
Serangga ini menyala untuk tujuan pemilihan pasangan. Tetapi proses penyalaan itu sendiri adalah melalui bahan pencetus (enzyme).
Maksudnya, kunang-kunang menyala dengan keinginan sendiri. Berbeza dengan ikan tanglung, yang menyala kerana kewujudan sejenis bakteria.
Bakteria ini sebenarnya sedang bekerjasama dengan ikan tanglung secara simbiotik (symbiosis). Tetapi kerjasama ini kena tengok spesis juga. Sesetengah spesis bukan kira kerjasama.
Ikan tanglung secara semulajadi mampu “mengarah” bakteria tersebut untuk menyala (Baker, et al., 2019). Cara mengarah pun kelihatan ganas juga. Ikan tanglung ibaratkan merenjatkan bakteria dalam tanglung dengan bahan kimia yang khusus.
Bakteria ini pula berbeza spesis mengikut spesis ikan tanglung itu sendiri. Lebih daripada 200 spesis dalam 18 buah keluarga ikan tanglung.
Jadi barangkali, 200 spesis bakteria berbeza. Saintis mengesahkan ikan tanglung tidak menetas dengan kelengkapan bakteria ini.
Kerana tiada bukti bakteria pada tanglung anak ikan (Freed, et al., 2019). Mereka “mencari” bakteria daripada sumber tersendiri, kebanyakannya daripada air laut.
Pemerhatian dalam akuarium eksperimen dan habitat asal memangkinkan beberapa teori menarik.
Ikan tanglung menggunakan cahaya biologi ini untuk 1) mengumpan mangsa yang tertarik dengan cahaya pelik dan 2) memberi isyarat pembiakan kepada ikan tanglung lain.
Jadi apabila ikan tanglung menyalakan lampu… kalau bukan lapar, miang namanya.
Maka sesiapa yang masih bujang terlajak boleh ambil iktibar. Kalau masih tidak laku, cari tanglung dalam diri sendiri.
RUJUKAN:
Baker, L., et al. (2019). Diverse deep-sea anglerfishes share a genetically reduced luminous symbiont that is acquired from the environment. eLife. 8: e47606.
Freed, L., et al. (2019). Characterization of the microbiome and bioluminescent symbionts across life stages of Ceratioid Anglerfishes of the Gulf of Mexico. FEMS Microbiology Ecology. 95 (10): fiz146.
Miya, M., et al. (2010). Evolutionary history of anglerfishes (Teleostei: Lophiiformes): a mitogenomic perspective. BMC Evolutionary Biology. 10: 58.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih