MUNGKIN ramai yang diluar sana tidak pernah mendengar nama kaum Miriek namun hakikatnya mereka itu ada di Sarawak iaitu nun di bumi Miri, lokasi dimana banyak penempatan mereka berada. Malah jika diikutkan betapa istimewanya kau mini, nama Miri itu sendiri diambil bersempena dengan nama kaum ini.  Ini kerana merekalah pembuka asal Miri itu sendiri iaitu apabila mereka mula berhijrah ke lembah sungai-sungai di Miri seperti di Sungai Miri.  Dan sebelum kita cuba mendalami perjuangan mereka yang mahukan kaum mereka diangkat sebagai salah satu pembentuk kepelbagaian kaum di Sarawak dan bukannya dikategorikan sebagai Kaum Melayu Sarawak adalah lebih molek untuk kita mengenali sejarah mereka yang agak jarang diwar-warkan.

Asal Muasal Kaum Miriek

Mengikut sejarah asal muasal kaum Miriek merupakan satu kumpulan masyarakat yang berhijrah daripada satu penempatan nenek moyang mereka iaitu Apo Kayan beratus-ratus tahun dahulu.  Ketika di Apo Kayan, mereka adalah satu kelompok masyarakat yang cintakan kedamaian dan dek kerana itu mereka langsung tidak mengamalkan dasar perluasan wilayah.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Kerana dianggap lemah kerana menjadi minority maka mereka menjadi mangsa kepada kaum Kayan yang dominan di Apo Kayan.  Mereka diperangi di dalam perluasan wilayah kaum Kayan yang turut mengamalkan perang kayau.  Disebabkan perang itulah juga menyebabkan demi survival kaum Miriek, akhirnya membawa kepada penghijrahan mereka ke kawasan Baram beratus-ratus tahun dahulu dan seterusnya meneroka serta membuka seluruh kawasan dan cabang sungai-sungai Miri dengan menjadikan pertanian dan nelayan sebagai sumber ekonomi mereka.

Sudah menjadi lumrah sejak dahulukala bagi etnik-etnik di Borneo bagi memastikan kesinambungan sesuatu kaum agar tidak hilang dan juga untuk menjaga kestabilan serta keamanan, maka perkahwinan campur akan diadakan.  Dengan adanya perkahwinan campur ini maka hubungan baik antara kaum-kaum yang mendiami kawasan yang sama akan lebih kukuh dan terjamin.   Kaum Miriek sendiri tidak terkecuali dan kerana adanya tradisi kahwin campur ini maka kerana itulah Etnik Miriek terbahagi kepada dua sub-etnik iaitu yang dinamakan Miriek Bahut dan Miriek Permaisuri.

Miriek Bahut – Ianya adalah orang asli etnik Miriek iaitu tidak mengadakan perkahwinan campur dengan kumpulan masyarakat lain.

Miriek Permaisuri – Merujuk kepada perkahwinan campur yang telah diadakan antara seorang wanita  Miriek Bahut bernama Timah dengan seorang bernama Tahir, anak kepada Ratu Permaisuri dari Sulawesi.  Perkahwinan campur inilah menjadi titiktolak perkahwinan kaum Miriek dengan etnik-etnik lain di Sarawak seperti Melayu, Iban dan sebagainya.  Merekalah dikenali sebagai Miriek Permaisuri.

Kaum Miriek Dan Carigali Minyak Secara Konvensional

Miri, satu kawasan di Sarawak yang cukup gah di dalam dunia industri minyak dan gas global kerana di bumi Miri inilah banyak operasi penggalian minyak dijalankan dari sejak zaman Brooke sehinggalah sekarang.  Malah ketika Perang Dunia Kedua, oleh kerana kepentingannya sebagai zon ekonomi di Borneo, Tentera Nippon Go telah mendarat terlebih dahulu di bumi Miri di dalam rentetan perluasan agenda mereka yang dikenali sebagai “Kita Buroneo”.

Dan sebelum Brooke melakukan pengkomersialan minyak, sebenarnya kaum Mirieklah yang terlebih dahulu melakukan penerokaan secara konvensional. Buktinya pada Ketika Brooke hendak mengkomersialkan sumber minyak di Miri, Residen pertama Marudi dibawah Kerajaan Brooke yang bernama Claude Champion Crespigni pada tahun 1882 dan 1884 telah merujuk bahawa rakyat tempatan yang mendiami Sungai Miri yakni Kaum Miriek adalah yang terlebih dahulu mengetahui adanya hasil minyak di Miri.

Di dalam laporan beliau kepada Brooke pada tahun 1882 menyatakan bahawa 18 buah telaga minyak yang digali secara manual oleh Kaum Miriek harus Kerajaan Brooke pertimbangkan di dalam kajian mereka sebelum mula mengkomersialkan sumber tersebut.  Sekali lagi pada tahun 1884 beliau tetap merujuk kaum Miriek di dalam laporan beliau iaitu “…the oil district near the mouth of the Miri River should be thoroughly searched and reported on”. “Earth oil” was used by local people for lighting lamps, waterproofing boats and medicine purposes..”

Jatti Miriek – Antara Bahasa Tertua Di Dunia

Andai sudah mempunyai satu golongan masyarakat maka sudah tentu ada bahasanya.  Dan mungkin ramai yang diluar sana tidak mengetahui bahawa etnik Miriek mempunyai bahasanya sendiri iaitu jika dikalangan etnik Miriek menggelarnya Bahasa Tuttot Miriek yang dipercayai telah dipertuturkan lebih 400 tahun lamanya.  Oleh kerana bahasa ini adalah satu bahasa yang jarang dikaji dan kekal sebagai bahasa lisan sahaja maka penggunaan bahasa ini di kalangan etnik Miriek generasi baru amat kurang atau langsung tidak digunakan.  Dan ini adalah sesuatu yang merugikan kerana bahasa itulah sebenarnya akar kepada adat budaya dan sejarah etnik Miriek itu sendiri.

Biarpuln ia jarang dikaji namun masih terdapat beberapa pengkajian yang menjurus kepada bahasa Miriek seperti apa yang dinyatakan oleh Blust (1972;1974) iaitu Bahasa Miriek tergolong dalam sub-kelompok Baram Hilir dalam bahasa-bahasa Utara Sarawak yang merangkumi Bahasa Miriek, Dali’, Berawan, Kiput, Narom, Lelak, Lemeting di Sarawak dan Belait serta Tutong di Brunei.  Sementara itu jika menurut rujukan Etnologi Malaysia, nama bahasa ini pula dikenali sebagai Murik. Bahasa Murik ini diklasifikasikan di bawah rumpun bahasa Austronesia, Malayo-Polinesia, Utara Borneo, Utara Sarawak, Kayan, Kenyah dan Murik. Namun kini bahasa Miriek lebih terkenal sebagai bahasa Jatti Miriek.

Etnik Miriek itu Kaum Melayu?

Di dalam kita berbicara mengenai etnik Miriek, sesuatu yang agak mendukacitakan kerana dengan gah nya sejarah serta punya bahasa antara yang tertua di dunia, namun kelibat nama Miriek itu sebagai satu identiti kaum sudah pupus sama sekali.  Di dalam daftar kaum di Malaysia, carilah dimana-mana ianya langsung tidak disebutkan sama sekali.  Mengapa ini berlaku?

Menurut Mohd Yaakub (1989), sistem klasifikasi awal kumpulan pribumi Sabah dan Sarawak dilakukan dari sudut pandang pembuat dan perancang dasar kerajaan. Beliau berkata, pihak berkuasa melabelkan pelbagai kumpulan etnik ini mengikut ciri-ciri seperti profil persaudaraan, corak kediaman, konsep pemilikan harta, adat, pantang larang dan aspirasi bagi memudahkan proses pengklasifikasiannya.

Klasifikasi sebegini adalah cara yang memudahkan pemerintah Eropah ketika itu dalam melaksanakan kawalan atas rakyatnya (Morris, 1989;183). Sebagai contoh, apabila orang Barat dan pengkaji komuniti pribumi tiba di Borneo, mereka telah menggunakan dasar masing-masing untuk mengelompokan penduduk pribumi bagi memudahkan penelitian mereka dalam mengkaji kaum tersebut. Cara pengelompokan yang longgar ini telah menyukarkan pengkaji untuk mengkaji bahasa mereka kerana ciri-ciri yang digunakan untuk pengklasifikasian ini berubah-ubah mengikut selera pengkaji.

Perkara ini juga dapat dilihat dalam kajian Ko (1987) mengenai “Kumpulan Orang Asal Kecil di Sarawak” yang bertujuan menyiasat bagaimana kumpulan etnik minoriti dikenalpasti dan diklasifikasikan pada masa lalu. Penggunaan konsep barat dalam mengenalpasti kumpulan etnik dan tren penggabungan kumpulan etnik yang kecil menjadi lebih besar di Borneo memberi kesan sehingga ke hari ini. Dan Kaum Miriek adalah satu daripada kumpulan etnik yang telah melalui proses ini. Dalam laporan Banci Penduduk 1960 (Ko, 1987) kumpulan Narom, telah dikelompokkan di bawah bahasa Melayu manakala Belait dan Tutong dicatatkan di bawah Bisaya dan Long Kiput di bawah kumpulan Kenyah.

Namun Miriek tidak disenaraikan dalam mana mana senarai ini. Menjelang 1980, Miriek tidak lagi muncul sebagai entiti berasingan dalam laporan banci. Kehilangan kumpulan ini daripada senarai kumpulan etnokultural etnik di Sarawak adalah berpunca daripada masyarakat Miriek sendiri yang menganggap diri mereka sebagai Melayu.

Atas sebab inilah menjadi pendorong kepada misi dan perjuangan Persatuan Jatti Miriek Miri untuk memohon Kerajaan Negeri Sarawak “mengembalikan kaum Miriek yang hilang” di Sarawak.  Bukan hanya bercita-cita di alam maya namun persatuan ini telah mengatur gerak langkah dengan mengaturkan pertemuan demi pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak malah juga turut mendapat perhatian daripada Tuan Gabenor Sarawak iaitu Tun Pehin Seri Abdul Taib bin Mahmud.

Bup Iddeh Itai

Melihat kepada betapa maha pentingnya bahasa Miriek itu dilestarikan agar ianya tidak pupus ditelan dek zaman, dengan usaha sendiri iaitu oleh Persatuan Jatti Miriek telah tampil untuk menerbitkan satu buku yang dinamakan Bup Iddeh Itai.  Dan buku ini telah berjaya mengumpulkan 4167 daftar kata yang telah direkodkan yang ditampilkan di dalam tiga bahasa iaitu Miriek > Melayu > Inggeris.

Satu usaha yang sebenarnya harus kita puji kerana hanya dengan ini sahaja generasi baru akan mampu belajar bahasa pertuturan harian mereka yang mungkin langsung tidak pernah mereka dengar atau gunakan.  Malahan mana-mana kaum di Malaysia juga digalakkan untuk mempelajari sendiri bahasa kaum Miriek yang unik.

Penutup

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Artikel ini ditulis bagi memberikan semangat kepada pejuang-pejuang Miriek untuk terus utuh dan kuat menghadapi pancaroba di dalam perjuangan mereka mengangkat semula Kaum Miriek dimata dunia.  Anak bangsa Miriek sewajar jangan pernah malu denga asal keturunan sendiri.  Agama dan carahidup kita mungkin boleh bertukar tetapi jati diri kita sebagai Miriek akan terus digenggam sehingga ke nafas yang terakhir.

Ingat seperti pesanan penulis ketika pertemuan kita yang tidak dirancang di Kuching, Sarawak tempohari.. “Uoh mebic iddeh Miriek alem junyak” atau di dalam Bahasa standard Melayu Sarawak “sik akan ilang urang Miriek di dalam dunia”.

Semoga pergerakan mendokumentasikan bahasa Miriek ini membolehkan Miriek mendapatkan semula bahasa dan identiti mereka.

-HB-

#kameksayangSarawakbah!
#ittaisammahitai

Nota: Foto yang menjadi teaser artikel adalah foto ekslusif dari Persatuan Jatti Miriek yang memperkenalkan keindahan busana tradisional Kaum Miriek bersama dengan Bup Iddeh Miriek yang diterbitkan oleh mereka.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.