Perang Dunia Kedua adalah perang paling mematikan pernah bumi saksikan. Bukan sahaja kadar kemusnahan dan angka kematiannya yang tinggi, jumlah veteran yang menghidap PTSD sekembali dari perang juga ramai. Dianggarkan dalam kalangan veteran US sahaja, ia mencecah 250,000 orang.
Ini tidak termasuk ahli keluarga yang turut terdedah kepada trauma susulan – disebut sebagai Secondary Traumatic Stress (STS). Trauma ini berkebarangkalian dihidapi generasi demi generasi, yang justeru walau perang sudah habis, lukanya malah diwaris. Apapun dalam kedahsyatan sebegitu, Perang Dunia Kedua tidak lekang dari kisah-kisah lucu. Salah satu contoh adalah ‘Episod Kentang Maine’.
Insiden ini melibatkan sebuah kapal destroyer jenis Fletcher milik US, iaitu USS O’Bannon (DD-450). Kapal tersebut dibina dan dilancarkan pada 1942 di Bath, Maine. Ia mengambil nama sempena Leftenan Presley Neville O’Bannon (1776 – 1850), tokoh US dalam Perang Tripoli (1801-1805).
Kalau dibandingkan antara semua kapal destroyer yang ada sepanjang Perang Dunia Kedua, DD-450 dan kelas Fletcher milik US boleh dikata antara yang terbaik. Ia memiliki kelajuan, ketahanan, dan keupayaan membelok dengan pantas. Kelengkapan senjatanya juga ampuh, merangkumi 140 laras meriam termasuk 17 meriam anti-pesawat udara.
DD-450 sendiri menyertai banyak pertempuran, baik semasa Perang Dunia Kedua mahupun Perang Korea dan Perang Vietnam. Ia berkhidmat dari tahun 1942 hingga 1970, dan merupakan kapal destroyer US yang paling banyak menerima pingat – 17 pingat penghormatan, 1 anugerah dari presiden, dan 1 plak khusus dari Maine Potato Growers Association.
Plak tersebut diterima rentetan satu insiden yang berlaku di Pasifik Selatan pada 5 April 1943. Kalau kita imbau tahun itu, keadaan di Laut Pasifik boleh kata sedang didominasi oleh armada US. Mana tidak, Jepun baru sahaja kehilangan pangkalan udaranya di Runga Point (kini Pulau Henderson) pada Ogos 1942.
Pertembungan yang berlaku tiga bulan kemudian juga dimenangi US, hasil keampuhan O’Bannon sepasukan. Dalam 16 buah pesawat pengebom torpedo yang dihantar Jepun, 11 daripadanya musnah – empat di tangan O’Bannon. Sama halnya dengan insiden di Iron Bottom Sound pada 13 November 1942. Armada Jepun yang berkekuatan 18 buah kapal diketuai oleh Hiei (yang dua kali lebih besar berbanding O’Bannon) habis tewas.
Ini sekali gus meletakkan Kepulauan Solomon selesa di bawah pemantauan Skuadron Destroyer Ke-21 (DesRon-21) yang dianggotai O’Bannon. Memang ikutkan, radius operasi O’Bannon sepanjang khidmatnya dalam Perang Dunia Kedua adalah sekitar Kepulauan Solomon sahaja.
Sebab itu masa berlaku ‘insiden kentang’ pada April 1943 pun, lokasinya masih di situ. Waktu itu, O’Bannon sedang bergerak menuju ke Guadalcanal. Dalam perjalanan, ia mengesan kehadiran sebuah kapal selam (RO-34 jenis Kaichu) yang naik ke permukaan pada jarak 9,000 ela (8.2 km). Jam ketika itu sekitar 2:30 pagi. Jadi, keadaan memang gelap habis. Komunikasi radio pula dimatikan supaya lokasi mereka tidak terdedah.
Justeru, O’Bannon ambil keputusan untuk mendekati sahaja kapal selam tadi – dengan anggapan kalau mereka bergegas menyelam, bermakna mereka adalah musuh dan kalau mereka memberi isyarat, maka mereka adalah sekutu.
Tapi masalahnya, dua-dua pun tak dibuat oleh kapal selam itu. Selamba sahaja ia naik ke permukaan dan menyusur ikut arus. Macam alpa pun ada. Ibarat, serah leher minta dicium. Komander Wilkinson pula memang tak segan-silu.
Jadi, dia segera arahkan O’Bannon untuk maju. Katanya, kalau betul musuh sekali pun, hentam saja. Badan kapalnya kan ampuh. Maka, O’Bannon pun dibantainya pecut sampai 40 knot. Memang laju habis. Cuma tiba-tiba, Wilkinson ubah fikiran. Dia arahkan belokan dibuat pada saat-saat akhir.
Ini kerana fikirnya, kapal selam itu mungkin suatu perangkap – yakni, mungkin ia dikelilingi periuk api. Kalau langgar, habis nanti O’Bannon berubah jadi O’Titanic. Lantas, belokan maut pun dibuat. Sampai kedua-dua kapal itu saling sejajar – sisi menghadap sisi sambil nyaris bersentuhan.
Ikutkan, memang pelik. Apa yang dibuat oleh kapal selam itu? Kenapa pasif sangat, sampai tak berbuat apa-apa ketika ia hampir dilanggar? Sebenarnya, semua anak kapal sedang tidur. Kapal selam itu sendiri sedang mengecas bateri.
Jadi, kehadiran O’Bannon hampir tak disedari langsung. Mereka hanya bereaksi apabila dua kapal itu nyaris berlanggar. Bayangkan, bangun-bangun tidur tiba-tiba ada kapal besar gedabak dekat sebelah. Memang cuak habis. Dalam bingung, kru RO-34 cuba bergegas ke geladak dan gunakan meriam untuk menembak.
Ini lantas mengubah keadaan. Giliran anak-anak kapal O’Bannon pula jadi panik. Pertama, sebab mereka baru sedar yang kapal selam itu milik Jepun. Kedua, posisi kedua-dua kapal sangat hampir. Sampai meriam-meriam O’Bannon tak dapat digunakan, sekali gus menjadikannya mangsa mudah andai RO-34 melepaskan tembakan.
Jadi, mereka pun cuba cari akal bagaimana mahu menghalang kru RO-34 dari turun ke geladak. Seboleh mungkin, masa perlu dilengah sampai jarak mengizinkan meriam O’Bannon untuk menembak. Cari punya cari, mata masing-masing terkalih pada guni-guni kentang yang ada di geladak. Masa itu, mahu capai senjata memang tak sempat.
Jadi, kentang pun kentang lah. Asalkan, boleh dibaling ke musuh. Lantas, bunyi kelentang-kelentung memenuhi suasana. Dalam keadaan panik, bunyi begitu memang boleh menambahkan lagi cemas. Mana tidak, masing-masing sangka itu bunyi bom tangan. Huru-hara habislah jawabnya di atas RO-34. Kesempatan tersebut lantas dimanfaatkan O’Bannon.
Sebaik jarak sudah cukup selamat, ia pun melepaskan tembakan sambil disertai sebuah lagi destroyer bernama USS Strong. Memasuki jam 3:19, RO-34 dilaporkan lari menyelamkan diri sambil berlaku kebocoran minyak. Memang dalam insiden itu, RO-34 terselamat.
Tapi dua hari kemudian, ia dikaramkan oleh Strong yang mengesan kehadirannya di Pulau San Cristobal. Apapun, kredit tetap dianugerahkan kepada O’Bannon lantaran kegeniusannya menangani situasi spontan sebegitu.
RUJUKAN
Lyons, Jeremy. (2018, 23 October). Wacko: Navy Destroyer That Sank A Japanese Sub – With Potatoes. War History Online.
O’Neill, Walter. (2022, 25 April). The USS O’Bannon: The Only Ship To Attack Using Potatoes. History of Yesterday.
Sofrep. (2022, 7 February). USS O’Bannon: Taking Slugs at Japanese Subs With Dud Spuds and Out for Blood.
Stillwell, Blake. (2021, 16 October). How a destroyer won a World War II battle with only potatoes. We Are The Mighty.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih