Sebaik melihat replika Flor de la Mar yang menjadi sebahagian daripada Muzium Samudera di Melaka, perkara pertama yang muncul dalam kepala ialah orang dulu tak boleh guna kapal lain ke sebagai replika? Macam seolah-olah kapal orang Eropah jauh lebih baik daripada kapal orang Melayu. Karutlah!

Sama ada pentadbiran ketua menteri tahun 1990 dulu pendek akal atau terikut-ikut kehendak bosnya dalam parti yang diwakili ketika itu. Yalah, kepala parti masa tu memang suka rendahkan Melayu dan perangai tuan punya badan tak berubah sampai hari ini. Agak dengan pilih Flor de la Mar, kononnya nak orang Melayu tahu ada bangsa lain lagi maju dan patut belajar dengan mereka. Hakikatnya, Melayu lagi maju bab perkapalan dari dulu lagi dengan contoh terbaik ialah kapal ghali Kesultanan Melayu Melaka (KMM), Mendam Berahi.

Tapi sebelum bercerita pasal Mendam Berahi, elok kita bercerita lebih dahulu kelebihan orang Melayu sebagai pelaut dan pembina kapal yang handal. Sebelum Conquistador mencetuskan huru-hara di Dunia Baru sekitar abad ke-16, orang Melayu pada abad ke-10 sudah berupaya membina kapal yang berukuran 25 hingga 35 meter panjang dan 12 meter lebar. Yang kata bukan calang-calang orang ya iaitu pengkaji arkeologi Nusantara yang berasal dari Jerman, Dr Horst H. Liebner.

Ini berdasarkan pengamatannya terhadap beberapa bangkai kapal karam yang ditemui sekitar perairan Indonesia. Kajian Dr Liebner mendapati kapal-kapal ini karam sekitar 930 hingga 990 Masihi akibat ribut. Tetapi itu tidak menafikan hakikat keupayaan kapal-kapal Melayu – jauh mengatasi orang China dan kuasa-kuasa Eropah. Ini kerana pada tempoh sama, China tidak mempunyai kapal bersaiz sedemikian di laut. Sementara kerajaan-kerajaan Eropah mempunyai kapal-kapal yang lebih kecil untuk tempoh sama.

Ini belum sebut kapal-kapal era Srivijaya lagi yang menjadi bualan orang China sejak abad pertama Masihi lagi. Dalam catatan mereka, kapal-kapal ini yang dikenali sebagai Kunlun bo (kapal-kapal Asia Tenggara) berukuran 50 meter panjang, menampung kargo seberat 600 tan dan berupaya membawa antara 600 hingga 700 orang.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Selain itu, Kunlun bo dibina tanpa menggunakan satu paku pun atas alasan ia mampu mencetuskan kebakaran atas kapal. Ia turut dilengkapi dengan kain-kain layar yang dipasang pada beberapa tiang dan beberapa lapis papan bersesuaian dengan saiznya di lautan. Mungkin orang gelar semua ini sebagai kuno tetapi ini menjadikan orang China merasa kagum dengan keupayaan orang Melayu sebagai pembina kapal.

Belum sebut lagi keupayaan orang Melayu sebagai pelayar samudera yang hebat. Menurut Profesor Lynda Shaffer dalam bukunya Maritime Southeast Asia to 1500, orang Melayu mampu merentas laut sejauh ribuan batu tanpa bergantung kepada carta pelayaran bertulis dan kompas. Ini dicapai dengan cara membaca pergerakan angin, bintang, warna air laut dan bentuk gelombang laut bagi mengetahui lokasi sesebuah kawasan. Ada ketikanya, mereka turut memerhatikan tingkah laku haiwan dan tumbuhan laut tertentu bagi mengetahui lokasi sebenar mereka dengan tepat.

Mungkinkah Pigafetta mengetahui jong-jong Melayu melalui interaksi dengan orang kanan Magellan, Awang/Enrique? Sumber: Defenestrated Juan/CC BY-SA 4.0

Sekarang, tentang kapal pula. Agaknya orang tua yang suruh bina Flor de la Mar itu buta sejarah. Dia jahil tentang hakikat jong Nusantara (Melayu dan Jawa) mampu membawa ramai orang dengan kapasiti 1,000 tan. Jong yang terbesar ialah jong kepunyaan Kesultanan Demak yang diutus untuk membantu ekspedisi ketenteraan Sultan Mahmud Shah ke atas Melaka yang dikawal Portugal pada 1513. Ini berdasarkan rekod ramai orientalis Eropah termasuk cendekiawan Itali yang menjadi sebahagian daripada krew Ferdinand Magellan, Antonio Pigafetta.

Ini belum sebut kapal ghali dengan Mendam Berahi dikelaskan di bawah kategori ini. Kapal ghali ini sudah lama wujud sejak era Phoenicia, Rom dan Yunani serta digunakan sekitar abad kelima hingga ke-16 Masihi. Dalam taktik peperangan laut, kapal ini akan digunakan untuk melanggar kapal pihak lawan sehingga ia mengalami kerosakan atau karam. Selain itu, ia juga membantu mereka mendekati kapal-kapal musuh dan membenarkan tentera untuk mendarat dan menawan kapal-kapal berkenaan.

Akhirnya, yang ditunggu-tunggu: Mendam Berahi. Mendam Berahi merupakan sebuah kapal khas yang dibina untuk Sultan Melaka ketika itu, Sultan Mansur Shah dengan tujuan meminang seorang puteri Majapahit bernama Raden Galuh Cendera Kirana. Mengikut catatan Hikayat Hang Tuah, kapal ini mengambil masa sekitar 30 hingga 40 hari untuk disiapkan. Bagi mempercepatkan proses pembinaan Mendam Berahi, figura-figura seperti Laksamana Hang Tuah dan Bendahara Tun Perak turut menghulurkan tenaga.

Sebaik saja ia siap dibina, ia menjadi sebahagian daripada tujuh buah kapal besar yang dibina untuk KMM. Tujuh kapal tersebut ialah Sairul Amin, Mi’ratus Safa, Mendam Berahi, Sekepar, Batil Tuasa, Rancung Mengkuang dan sebuah kapal yang tak bernama tetapi dibina oleh Hang Tuah. Menariknya, nama Mendam Berahi turut diberi oleh pahlawan Melayu terkenal itu.

Mendam Berahi bukan saja digunakan dalam banyak ekspedisi penaklukan KMM tetapi turut digunakan untuk misi-misi diplomatik. Salah satu daripadanya ialah misi diplomatik KMM ke Ryukyu sekitar pertengahan abad ke-15 yang diketuai oleh Hang Tuah.

Hubungan kedua-dua kerajaan dikatakan telah terjalin semasa era Sultan Muzaffar Shah tetapi menjadi lebih erat semasa era Sultan Mansur. Catatan hubungan diplomatik ini turut direkodkan dalam Rekidai Hoan (Dokumen-Dokumen Berharga Untuk Generasi Seterusnya), sebuah manuskrip dokumen kerajaan Ryukyu.

Selain Ryukyu, Mendam Berahi juga dikatakan pernah sampai ke Jeddah, Mesir dan Istanbul bagi membawa rombongan Hang Tuah mendapatkan meriam dan ubat bedil untuk KMM. Persinggahan di Jeddah dibuat bagi membolehkan ahli-ahli rombongan berpeluang mengerjakan haji di Baitullah. Sementara di Mesir pula, Hang Tuah singgah di situ bagi mendapatkan ubat bedil dan meriam-meriam daripada kerajaan Mamluk.

Sultan Selim I

Dari situ, mereka singgah pula di Istanbul untuk menghadap pemerintah Turki Uthmaniyah ketika itu, Sultan Selim I dan menyatakan apa yang berlaku di Melaka termasuk kehadiran Portugal di rantau Nusantara. Ada yang berpandangan mustahil rombongan KMM dapat sampai ke Istanbul dalam tempoh 17 hari mengikut catatan Hikayat Hang Tuah atas alasan terusan seperti Terusan Suez belum wujud.

Tetapi yang membangkang terlupa orang Melayu amat mahir dengan ilmu lautan dan tahu cara untuk mempercepat pelayaran mereka seperti yang dinyatakan oleh Prof Shaffer dalam Maritime Southeast Asia to 1500. Disebabkan kelebihan ini juga, rombongan KMM dapat pulang ke Melaka selepas empat bulan berlayar. Sebelum berlayar pulang, rombongan KMM juga dikatakan berpeluang menunaikan solat dalam Hagia Sophia.

Namun begitu, Hikayat Hang Tuah tidak menyatakan apa nasib Mendam Berahi selepas pelayaran terakhirnya. Tidak mustahil semasa kempen penaklukan Melaka berlaku pada 1511, Mendam Berahi digunakan dalam pertempuran laut Melaka-Portugal sebelum ia mengalami kerosakan teruk dan karam.

Bagi orang Portugis, mereka mempunyai sebab untuk gerun dengan kapal berkenaan. Mengikut Hikayat Hang Tuah, kedua-dua kerajaan sudah mula berseteru sejak 1509 lagi dan ini diterjemah dalam bentuk pertempuran laut membabitkan Mendam Berahi dengan beberapa kapal Portugal. Dikatakan kapal tersebut berjaya menenggelamkan dua buah kapal musuh dengan kapten kapal Portugis terjatuh ke dalam air.

Insiden ini mendorong armada Melaka berundur ke Melaka. Logiknya, pihak Portugal boleh saja mengejar tetapi disebabkan kecederaan yang dialami panglima mereka, mahu tak mahu terpaksa berundur kembali ke Goa, India.

Alfonso de Albuquerque pastinya tahu insiden Mendam Berahi menenggelamkan dua kapal Portugal pada 1509. Selagi ia masih terapung, selagi itu ia menjadi ancaman kepada armada laut yang diketuainya.

Impak Mendam Berahi pastinya diketahui Alfonso de Albuquerque terutama semasa berlayar di Mediterranean tidak lama selepas pertembungan mereka pada 1509. Kehadiran Mendam Berahi di Laut Mediterranean dan cubaan KMM mendapatkan bantuan Selim I pastinya mendorong Portugal mensasarkan kapal itu terlebih dahulu semasa menakluk Melaka pada 1511.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Kini, khabarnya replika Mendam Berahi akan dibina sebagai tatapan generasi mendatang. Projek penyelidikan dan pembinaan kapal ini akan diketuai oleh Institut Penyelidikan Matematik (Inspem) Universiti Putra Malaysia (UPM). Pelan pembinaan kapal akan dipengaruhi oleh maklumat-maklumat daripada pelbagai manuskrip termasuk Hikayat Hang Tuah dan dijangka siap pada tahun hadapan. Sekiranya hasrat ini menjadi realiti, ia dijangka menelan belanja sekitar RM10 juta.


Melaka tidak tumbang kerana pejuangnya berkeris dan tombak semata-mata. Melaka tidak tumbang kerana mundur dimamah penjajah. Dan Melaka tidak tumbang kerana tidak mampu bersaing. Tumbangnya Melaka adalah suatu tragedi sangat besar buat umat Melayu. Namun menghidupkan balik empayar silam melalui kenangan sejarah adalah suatu kewajipan pada semua. Buku ini membuka jendela untuk laluan masa kembali ke zaman Kesultanan Melayu Melaka. Link pembelian: https://shopee.com.my/The-Patriots-Tasjil-Anis-Salatin-Rahsia-Agung-Melaka-i.238336777.3439494308

RUJUKAN

Musa, H. (2019). TEKNOLOGI PERKAPALAN MELAYU TRADISIONAL: JONG DAN GHALI MEREDAH
TUJUH LAUTAN. Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2019, Kuala Lumpur.

Abdul Malik, M. (2022, 24 Mac). Kapal Mendam Berahi dibina semula. Harian Metro.

Srikandi. (2013, 19 Mei). Flor de la Mar.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply