Kaki terus mengorak langkah di dalam sebuah gua yang gelap tanpa langsung disuluh cahaya luar sambil pandangan meliar ke suasana sekeliling yang diselimuti hitam pekat. Entah betapa cemaslah rasanya apabila tiba-tiba pandangan tersebut singgah pada sebentuk cakar bak kaki dinosaur yang besar saiznya, lengkap berdaging dan bersisik pula kulitnya. Seakan-akan ia milik suatu makhluk misteri yang baru sahaja mati.

Itulah yang berlaku kepada sekumpulan penyelidik yang membuat kajian di sebuah gua yang terletak di Gunung Owen, New Zealand sekitar 1980an. Menurut arkeologis yang membuat analisis terhadap penemuan itu, cakar tersebut dipercayai milik seekor burung moa daratan-tinggi yang berusia kira-kira 3300 tahun. Cakar burung moa itu kini disimpan dan dipamerkan di Muzium New Zealand.

Kisah penemuan cakar burung moa di Gunung Owen ini membuatkan penulis teringat pada tangan makhluk aneh bernama Taotei dalam filem The Great Wall

Burung moa daratan tinggi (megalapteryx didinus) merupakan satu spesis burung Moa yang hidup secara khusus di kawasan pergunungan New Zealand. Burung moa merupakan haiwan herbivor yang memakan dedauanan dan ranting-ranting kecil. Menurut sebuah analisis DNA yang disiarkan dalam Proceedings of the National Academy of Sciences, burung moa dipercayai wujud sekitar 18.5 juta tahun dahulu dengan mempunyai sekurang-kurangnya 10 spesis.

Spesis yang paling besar dikenali sebagai Dinornis robustus dan Dinorsis novaezelandiae yang ketinggiannya mencecah 3.6 meter dan berat sehingga 230kg. Burung moa daratan tinggi yang menjadi subjek artikel ini pula adalah spesis burung moa yang paling kecil, dengan ketinggian sekitar 1 meter dan berat dalam lingkungan 17 hingga 34kg. Haiwan ini mempunyai bulu yang meliputi seluruh tubuhnya, kecuali di paruh dan kaki. Ia juga tidak mempunyai kepak dan ekor sekaligus tidak menjadikannya sebagai burung yang berupaya untuk terbang.

Lantaran itu, ia menjadi mangsa mudah kepada buruan manusia sebagai sumber makanan sekaligus mendorong kepada kepupusannya pada kurun ke-16M. Semasa manusia buat kali pertamanya bermigrasi ke New Zealand pada pertengahan abad ke-13 yang kemudiannya membentuk kebudayaan Maori, populasi burung Moa dikatakan masih lagi banyak.

Bahkan disebutkan bahawa burung moa merupakan haiwan herbivor yang dominan di dalam ekosistem di hutan dan daratan tinggi New Zealand sejak ribuan tahun dahulu. Satu-satunya pemangsa alami burung moa ini adalah helang Haast.

Gambaran helang haast yang memburu burung moa

Apabila ia mula diburu secara berleluasa oleh manusia, populasi haiwan ini merudum dengan pantas. Apatahlagi apabila habitat mereka diceroboh dan dimusnahkan. “Memandangkan mereka mencapai tahap kematangan dengan begitu lambat, maka mereka tidak berupaya membiak dengan cukup pantas untuk mengekalkan populasi mereka sekaligus membuatkan spesis mereka ini terdedah kepada kepupusan.

Kesemua burung moa ini pupus menjelang waktu di mana orang-orang Eropah tiba di New Zealand sekitar 1760 Masehi,” Muzium Sejarah Alam Semulajadi, London merincikan lagi faktor kepupusan burung moa.

Pupusnya burung moa ini turut mengakibatkan pemangsanya, helang Haast untuk turut mengalami kepupusan memandangkan burung moa merupakan sumber makanan utamanya.

Penemuan kesan tinggalan burung Moa pertama kali direkodkan pada tahun 1839M apabila John W. Harris, seorang pedagang flax merangkap peminat sejarah alam semulajadi diberikan sebentuk tulang fosil oleh seorang asli Maori yang menurutnya, ditemui di tebing sebatang sungai. Tulang tersebut kemudiannya dihantar kepada Sir Richard Owen yang bekerja di Muzium Hunterian di Royal College of Surgeons di London.

Beliau memperuntukkan masa selama empat tahun untuk meneliti fosil berkenaan memandangkan tiada fosil serupa pernah ditemuinya sebelum ini. Setelah puas menganalisa, Owen berpendapat bahawa tulang tersebut adalah milik sejenis burung gergasi yang tidak diketahui. Teori Owen itu pada mulanya mendapat bantahan. Namun setelah beberapa tempoh waktu kemudian, pendapat tersebut ternyata benar apabila telulang demi telulang ditemui sehingga rangka burung Moa dapat dibina semula secara lengkap.

Sir Richard Owen berdiri di sebelah rangka burung moa dan memegang bahagian tulang pertama ditemui

Kebanyakan tulang itu ditemui di bukit pasir, paya dan gua – tempat di mana burung-burung tersebut dipercayai berteduh dari cuaca buruk ataupun mengeram telur. Lokasi sebegini bersesuaian dengan penjelasan tentang bagaimana penemuan tersebut – cakar burung moa daratan tinggi ini misalnya – boleh terpelihara dengan begitu baik sekali di mana masih terdapat tisu-tisu lembut, otot dan malah kulit serta bulu padanya.

Sampel cakar burung moa yang lengkap sifatnya ini dianalisa oleh saintis selama berdekad-dekad dengan tujuan mengkaji genetik burung moa serta mengekstrak DNA sekaligus menemukan kaedah untuk menyahpupus haiwan berkenaan.

Laman Ancient Origins melaporkan bahawa seorang ahli genetik dari Jepun yang bernama Ankoh Yasuyuki Shirota telah pun bergiat ke arah itu sejak 1997 di mana beliau mengestrak DNA burung moa yang dijumpai dan menyuntiknya ke dalam embrio ayam bagi tujuan mengkaji warna, saiz dan malah perilaku burung moa. 

Dengan kecanggihan teknologi dan kemajuan bidang sains yang dimiliki manusia pada hari ini, cakar burung moa yang ditemukan ini dipercayai berpotensi merintis penyahpupusan haiwan tersebut. Dalam sebuah kajian tahun 2014 yang disiarkan di laman PNAS, sepasukan ahli genetik antarabangsa melaporkan bahawa pembinaan semula gen burung moa buat pertama kalinya berjaya dilakukan secara lengkap sekaligus mencerahkan kebarangkalian untuk mengembalikan haiwan herbivor ini ke dunia.

Pada pertengahan 2015, seorang ahli parlimen di New Zealand yang bernama Trevor Mallard turut meluahkan minat dan visinya dalam menghidupkan semula burung moa dalam tempoh 50 tahun.

Kepala burung moa daratan tinggi (megalapteryx didinus)

Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah ahli bioetika yang berpendapat haiwan yang telah pupus sewajarnya tidak dihidupkan semula kerana ia berkemungkinan akan menjejaskan ekosistem dunia moden. Sebagai kepilan nota, Pyrenean ibex adalah antara haiwan yang pernah mengalami penyahpupusan pada tahun 2009 setelah ianya pupus sembilan tahun sebelumnya. Namun, penyahpupusan tersebut tidak bertahan lama apabila ia meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan.

Pyrenean ibex

RUJUKAN

April Holloway. (29 Ogos 2015). The Frightening Discovery of the Mount Owen Claw. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/frightening-discovery-mount-owen-claw-003696

Brett Tingley. (14 Mac 2018). A Mummified Claw Could Mean the De-Extinction of a Giant Prehistoric Bird. Mysterious Universe.
https://mysteriousuniverse.org/2018/03/a-mummified-claw-could-mean-the-de-extinction-of-a-giant-prehistoric-bird/

Marija Georgievska. (22 November 2016). The giant extinct upland Moa of New Zealand. The Vintage News.
https://www.thevintagenews.com/2016/11/22/the-giant-extinct-upland-moa-of-new-zealand/

NZSM. (Februari 1997). Life in the Old Moa Yet.
http://nzsm.webcentre.co.nz/article452.htm

Pnas.org. (10 Februari 2014). Extinct New Zealand megafauna were not in decline before human colonization.
https://www.pnas.org/content/111/13/4922 Strange Sounds. (1 Disember 2017). Scary archaeology: The terrifying discovery of Mount Owen Moa.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.