Seppuku dilakukan
dengan tindakan membelah perut dari kiri kanan menggunakan senjata seperti
pisau pendek seperti Tanto selain pengunaan Tachi yang merupakan pedang panjang
atau Wakizashi turut dicatatkan untuk membelah perut sendiri. Barat mengenali
Seppuku sebagai Harakiri.
Seppuku pada pandangan
budaya Jepun merupakan sebuah ritual bunuh diri yang dilakukan oleh kelas
samurai ketika zaman feudal Jepun, yang biasanya akan berlaku atas beberapa
faktor tertentu. Sebagai contoh, apabila seorang samurai dikepung oleh musuh,
maka Seppuku dilakukan supaya samurai tersebut mati dalam keadaan penuh maruah
daripada ditangkap oleh musuh. Kematian yang dipilih oleh pengamal Seppuku ini juga
ialah sebahagian daripada falsafah Bushido, sebuah kod pahlawan yang dipegang
oleh para samurai.
Biasanya ia dilakukan
juga untuk mengelakkan daripada diseksa hidup-hidup oleh musuh demi memperoleh
maklumat rahsia. Selain ia dilakukan secara sukerela oleh samurai, Seppuku juga
merupakan sebahagian daripada hukuman yang dijalankan ke atas Samurai yang
telah melakukan jenayah yang cukup berat. Seppuku sebagai bentuk hukuman
bermula pada sekitar 1400-an.
Biasanya pengamal Seppuku akan mengupah orang kedua yang digelar sebagai
kasihakunin yang akan memancung kepala samurai yang melakukan Seppuku demi
memberikan kematian segera berbanding mati dalam keadaan yang perlahan dan
terseksa selepas membelah perut sendiri dengan tanto. Demi menunjukkan rasa
hormat, kepala tidak dipancung sepenuhnya, sebaliknya sebahagian sahaja supaya
kepala tidak terpisah dengan badan. Adalah amat diharamkan sama sekali mereka
yang bukan dari kasta Samurai untuk melakukan Seppuku.
Ketika era Edo (1600 –
1867 Masihi), Seppuku dilakukan dengan diiringi dengan ritual yang saya kira
agak indah. Ia biasanya melibatkan Seppuku yang telah dirancang awal bukannya
yang terjadi ketika di tengah-tengah medan pertempuran. Samurai yang terlibat
dalam Seppuku ini akan mandi dan dipakaikan dalam jubah putih serta akan
dihidangkan dengan makanan kegemarannya sebagai hidangan terakhir.
Samurai tersebut juga
akan membaca puisi yang berkaitan dengan kematian sebelum membuka kimono
putihnya, lalu mengambil senjata yang akan digunakan dalam melakukan Seppuku.
Selepas membelah perutnya dari kiri ke kanan, kaishakunin akan memancung
kepalanya, meninggalkan beberapa cebisan daging bagi mengelakkan kepalanya
terus tercabut dari tubuh.
Terdapat juga sejenis
Seppuku yang dijalankan ketika zaman feudal Jepun dulu yang dikenali sebagai
kanshi di mana melibatkan seorang samurai yang tidak puas hati dengan tindakan
tuannya ketika itu lalu merasakan hanya dengan kematian sahaja mampu
menunjukkan rasa protesnya.
Si pengamal akan
membelah perutnya sebelum membalut luka itu. Lalu, dia akan muncul di hadapan
tuannya serta membuka balutan lukanya dan menunjukkan kesan belahan tadi
hadapan para tuannya sebelum dia meluahkan rasa tidak puas hatinya dalam sebuah
ucapan.
Kaum perempuan juga
mempunyai ritual yang agak serupa seperti Seppuku yang dipanggil sebagai Jigai
di mana melibatkan isteri kepada samurai yang melakukan ritual ini kerana suami
mereka melakukan Seppuku atau telah melakukan perkara yang memalukan. Ia juga
dilakukan untuk mengelak daripada ditangkap oleh tentera musuh lalu menjadi
mangsa rogol.
Berbeza dengan Seppuku, Jigai melibatkan tindakan membelah tekak sendiri menggunakan tanto. Setiap wanita Jepun diajarkan cara melakukan Jigai pada usia kecil lagi. Sebelum melakukan jigai, seorang wanita Jepun akan mengikat kedua-dua kakinya rapat-rapat seperti dalam gambar di bawah. Ini bagi memastikan mereka mati dalam keadaan yang paling bermaruah sekali.
RUJUKAN:
Rankin, Andrew (2011). Seppuku: A History of Samurai Suicide. Kodansha International.
Seward, Jack (1968). Hara-Kiri: Japanese Ritual Suicide. Charles E. Tuttle




No comments yet