Jugra ni sekarang femes sebab orang main paragliding. Tapi tau tak dulu ada apa di Jugra ni?
Ya, dia pernah jadi Bandar Diraja dan Ibu Negeri Selangor.
Apa cerita disebalik Jugra ni?
Jugra terletak dalam daerah Kuala Langat. Haritu pun saya dah cerita mana datangnya nama Langat.
Kajian antropologi mendapati nama Jugra ni datang dari gelaran pembesar Senoi iaitu Jukrah atau Jurukrah yang bermaksud orang yang mengerahkan kerja-kerja bagi kelompok-kelompok.
Dalam bahasa Mah Meri, Jugra disebut sebagai Jugra dan ada kalanya disebut sebagai Sugĕrĕ.
Langat dipercayai dibuka oleh orang-orang Bugis yang datang dari Johor pada abad ke-18 untuk menjalankan perdagangan dengan Melaka.
Jugra dikatakan sangat terkenal pada zaman Keagungan Kesultanan Melaka.
Kawasan Langat juga dipercayai telah wujud lama sebelum berkembangnya Kesultanan Melaka iaitu dengan terjumpanya sejarah yang berusia kira-kira 2,000 – 2,500 tahun di Kampung Sungai Lang Tengah pada tahun 1964.
Pada pertengahan abad ke-18, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor adalah terletak di Kuala Selangor.
Perpindahan dari Kuala Selangor ke Jugra berlaku pada tahun 1859 iaitu di zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad.
Sejak itu, Bandar Temasya (Jugra) dikenali sebagai Bandar Diraja dan memainkan peranan penting dari segi politik, sosial dan pembangunan ekonomi di Selangor.
Tapi kenapa Sultan Abdul Samad nak pindah dari Kuala Selangor ke Jugra?
Lokasi Jugra yang strategik dari aspek logistik, ekonomi dan keselamatan.
Jika dilihat peta negeri Selangor dan jajahan takluknya meliputi lembah Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Klang, Sungai Langat dan Lukut.
Kesemua daerah ni kecuali daerah Bernam merupakan hab atau pengkalan-pengkalan utama ekonomi Selangor.
Pada masa tu, bijih timah jadi eksport terpenting Selangor telah diusahakan sejak abad ke-16 lagi.
Kedudukan Langat (Jugra) ditengah-tengah kawasan lubuk ’emas’ ni amat penting, memandangkan sebahagian besar bijih timah dieksport ke Melaka.
Keadaan ni banyak dibantu oleh kerana kedudukan daerah ini yang berhampiran dengan pantai dan muara sungai, yang mana amat sesuai dengan sistem pemerintahan yang berasaskan pengangkutan sungai dan laut.
Bentuk muka bumi Jugra pun amat strategik. Terletak kira-kira 4 batu dari muara sungai, bererti akses segera ke laut untuk sebarang urusan rasmi negeri memandangkan jalan laut di Selat Melaka merupakan jalan utama perhubungan persisir pantai dan antarabangsa.
Dengan kedudukan kawasan yang terletak di muara Sungai Langat serta berhampiran dengan Pulau Carey, kawasan ni dianggap selamat dan dimudiki hingga ke kawasan hulu bagi tujuan perniagaan, perdagangan dan petempatan.
Ini juga menarik perhatian penduduk-penduduk kawasan berhampiran seperti pedagang-pedagang dari Sumatera dan Bugis.
Bukit Jugra ni sememangnya merupakan mercu tanda kepada pelayar dan pedagang sejak dahulu lagi.
Kedudukan bukit ni menyamai bukit di mana kota Melaka dibina dan istana sultan Melaka terletak.
Bukit Jugra jadi kubu dan istana diraja kerajaan Sultan Selangor ketika itu.
Dari atas bukit inilah tentera baginda dapat mengawasi perairan negeri dan kawasan pedalaman sejauh Klang.
Pada tahun 1875, penduduk Jugra bertambah seramai 700 orang termasuk di beberapa buah kampung di sepanjang sungai Langat.
Terdapat sederet kedai kepunyaan orang Cina di Jugra. Di Telok Panglima Garang dikatakan penduduknya telah bertambah daripada 30 orang menjadi 200 orang dalam masa beberapa bulan sahaja.
Dalam tempoh 2 tahun sahaja (1880-1882), penduduk pesisir pantainya mencecah 1200 orang daripada 600 sebelumnya.
Hanya setahun sahaja Frank Swettenham tinggal di Jugra untuk menasihati sultan dalam hal-hal pentadbiran negeri.
Setelah itu, British ubah pentadbiran negeri ke Klang pada tahun 1875, kerana mengikut perkiraan diorang, pentadbiran negeri sepatutnya berada di tengah-tengah hab ekonomi negeri, iaitu di Klang.
Jugra mula merundum. Daripada sebuah ibu negeri kini Jugra hanyalah menjadi pusat pentadbiran daerah Kuala Langat sehinggalah berpindah ke Telok Datoh pada tahun 1921.
Pada tahun 1936, Sultan Alaudin mula bersemayam di istana baru baginda di Klang.
Klang kini menjadi Bandar Diraja menggantikan bandar Temasya di Jugra.
Sejak itu, Jugra, Bandar dan Langat kian dilupakan dalam kemajuan pesat negeri Selangor.
Jugra hanyalah perkampungan desa yang pernah dijadikan ‘permaisuri’ oleh golongan istana suatu masa dahulu.
Oleh: Azizul Farhan
___
Mana datang nama Indera Kayangan? Jawapannya ada di dalam KISAH KLASIK TAMADUN MELAYU. Boleh dapatkan di https://bit.ly/KKTMFB12




No comments yet