Zaman prasejarah penuh dengan pelbagai jenis makhluk bersaiz besar baik di darat mahupun di lautan. Di Australia, wujud seekor itik prasejarah dipanggil Genyornis yang pernah menghuni negara itu kira-kira 50,000 tahun lalu. Tetapi angkara kerakusan manusia mencuri telurnya, itik ini pupus sekitar 30,000 hingga 5,000 tahun lalu.
Genyornis yang turut dikenali sebagai Burung Kilat (Thunderbird) atau Itik Syaitan diberi gelaran sedemikian berikutan ketinggiannya sebanyak dua meter. Di sebalik ketinggiannya yang boleh saja menakutkan sesiapa, ia mempunyai sepasang sayap yang pendek.
Tetapi apa yang mendorong para saintis membuat dapatan sedemikian? Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences, ini diketahui dengan melihat kesan serpihan kulit telur yang ada kesan terbakar yang ditemui dari 200 tapak arkeologi prasejarah di seluruh Australia. Kesan terbakar ini dipercayai dihasilkan menerusi aktiviti memasak telur yang dibuat manusia ketika itu.
Namun begitu, hal ini mengundang perdebatan dalam kalangan pengkaji arkeologi. Ini kerana terdapat satu lagi telur burung prasejarah yang menjadi buruan orang Australia pada masa lampau iaitu Progura. Ini berdasarkan bentuk dan ketebalan kulit telur yang ditemui lebih mirip kepada serpihan telur Progura berbanding Genyornis. Kedua-dua burung ini juga mempunyai berat yang hampir sama dengan ayam belanda iaitu sekitar lima hingga tujuh kilogram.
Contoh fosil telur Genyornis yang berada dalam keadaan hampir sempurna. Sumber: Gifford Miller.
Jadi, bagi menentukan sama ada serpihan-serpihan kulit telur ini milik Genyornis atau Progura, para saintis melihat data biologi yang terkandung dalam serpihan-serpihan kulit telur itu. Data biologi ini termasuk suhu, masa dan ciri kimia semasa ia terbentuk. Dan hasilnya, perbandingan serpihan-serpihan ini dengan sampel telur hidupan yang masih wujud menunjukkan ia lebih menjurus kepada Genyornis.
Dan ia membawa kepada persoalan, bagaimana manusia pada ketika itu menjadi punca kepupusan itik prasejarah berkenaan? Penulis kajian bersama Profesor Gifford Miller dari Universiti Colorado percaya ia terjadi akibat kecurian telur daripada diburu sebagai makanan. Disebabkan saiznya yang besar yang berupaya menakutkan mereka, maka alternatif terbaik ialah mendapatkan telur dari sarang Genyornis.
Penggunaan telur Genyornis mirip penggunaan telur burung unta oleh manusia semasa era Pleistocene di Afrika Utara, Semenanjung Tanah Arab, barat daya dan utara Asia, India dan China. Tambah Prof Miller lagi, kecurian telur yang berlebihan oleh manusia pada ketika itu menyumbang kepada kepupusan itik prasejarah itu.
Selain aktiviti manusia, saintis percaya perubahan iklim turut menyumbang kepada kepupusan Genyornis. Ini berdasarkan penemuan fosil itik itu di Tasik Callabonna. Apabila tasik tersebut mengering akibat perubahan iklim, populasi Genyornis yang wujud di situ kehilangan sumber air diperlukan untuk hidup dan mati. Sesetengah fosil Genyornis turut didapati mengalami radang tulang pada bahagian kaki. Ini selepas sesetengah itik ini terperangkap dalam lumpur semasa ia mengering.
The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!
RUJUKAN
Funnell, R. (2022, 26 Mei). Australia Once Had 6-Foot “Demon Ducks Of Doom” And Early Humans Stole Their Eggs. IFLScience




No comments yet