Sebut saja Dracula, ramai sudah membayangkan watak pontianak rekaan Bram Stoker itu yang menjadi igauan ngeri pembaca kisah seram. Tetapi tidak ramai tahu, sebuah istana di Transylvania menjadi inspirasi kediamannya kini menjadi antara pusat vaksinasi Covid-19 di Romania.
Istana Bran yang wujud sejak abad ke-14 dipilih oleh Bucharest sebagai pusat vaksinasi Pfizer bagi menggalakkan ramai warganya mengambil vaksin Covid-19. Bagaimanapun, ini bukan sesuatu yang mudah jika menurut kaji selidik Globesec. Berdasarkan keputusan kajian, separuh daripada warga Romania merasa ragu-ragu untuk mengambil vaksin Covid-19 – antara kadar yang tertinggi di benua Eropah.
Ketika ini, Romania merekodkan lebih sejuta kes sejak tahun lepas dengan 29,000 kes kema.ti.an dilaporkan. Istana Bran berharap menerusi inisiatif unik yang diperkenalkannya, ia dapat meningkatkan bilangan individu yang mendapat vaksin.
Untuk sepanjang empat hujung minggu pada bulan Mei, pengunjung boleh muncul tanpa perlu mendapatkan temu janji untuk mendapatkan vaksin. Selepas mereka selesai mengambil vaksin, pengunjung akan dibawa melihat 52 peralatan se.ks.aan Zaman Pertengahan. Menurut pengarah pemasaran istana Alexandru Priscu, ia dibuat bagi menunjukkan apa yang dilalui mereka tidaklah seteruk apa yang dialami manusia pada Zaman Pertengahan.
Istana Bran terletak di atas kaki bukit Pergunungan Carpathia, 170 km di utara Bucharest. Istana ini dikatakan pernah didiami Vlad the Imp.al.er atau Vlad Tepes yang menjadi inspirasi Stoker untuk watak Count Dracula.
RUJUKAN:
BBC News. (2021). Covid: Dracula’s castle in Romania offers tourists vaccine




No comments yet