Antara tapak bersejarah yang paling indah daripada sekalian banyaknya monumen warisan di Korea Selatan adalah Istana Donggung dan Kolam Wolji, yang turut mempunyai sejumlah pagoda yang menghiasi sebuah kolam buatan yang memukau. Tapak ini berusia hampir 1500 tahun dan dianggap sebagai khazanah negara masyarakat Korea.

SEJARAH GEMILANG ISTANA DONGGUNG DAN KOLAM WOLJI

Kolam Wolji dan astaka-astaka yang terdapat di sekitarnya pernah menjadi sebahagian daripada kompleks istana yang terletak di ibu kota Kerajaan Silla, kerajaan yang pernah memerintah bahagian tenggara Semenanjung Korea selama hampir satu milenium (57SM-935M).

Raja Munmu, salah seorang monarki teragung Korea, menyatukan kerajaan-kerajaan Korea dan kompleks istana ini dibina atas perintahnya pada tahun 674M. Beliau bertanggungjawab mengusir kekuatan Tang-China dari semenanjung Korea. Namun, walaupun kerajaannya berkonflik dengan China, Silla tanpa dapat dinafikan dipengaruhi oleh budaya Tang dengan begitu kuat, terutama pada aspek keagamaan seperti Taoisme.

Buddhisme juga diperkenalkan ke Silla menerusi hubungan yang dijalinkan dengan China. Pengaruh ini menonjol secara khusus pada pagoda-pagoda di sekitar Kolam Wolji, di mana bangunan-bangunan tersebut dicirikan dengan seni bina klasik Tang. Reka letak kolam tersebut juga didasari oleh model daripada China dan diinspirasikan daripada prinsip-prinsip estetika Taoisme dan Buddhisme. Istana Donggung dan Kolam Wolji tidak hanya direka dengan nilai estetika yang unggul, malahan ia turut berupaya menghadirkan suasana tenang pada diri seseorang untuk membolehkannya merenung atau mengintrospeksi diri.

Pengaruh seni bina Tang yang tampak pada perincian bumbung astaka


Pada kurun ke-10, pemberontakan kelas aristokrat dan rakyat jelata membawa kepada kejatuhan Silla. Pengganti kerajaan tersebut, iaitu Koryo, meninggalkan tapak tersebut justeru membiarkannya usang dan seterusnya dilupakan.
Istana Donggung merupakan istana kedua (sampingan) bagi para pemerintah Kerajaan Silla. Namun, ia adalah kediaman utama bagi putera mahkota yang mempunyai balairungnya yang tersendiri di situ. Selama beberapa abad, istana ini turut berfungsi sebagai tempat berlangsungnya jamuan dan majlis resepsi diplomatik.

Pada tahun 1970an dan 1980an, kerajaan Korea mengarahkan agar kolam dan pagoda-pagoda di sekitarnya dibina semula secara sepenuhnya. Semasa kerja-kerja pembaikpulihan ini dijalankan, ribuan artifak bersejarah dari zaman Silla ditemukan. Antara lain adalah tembikar yang mendedahkan nama asal kolam berkenaan. Walaupun selama berkurun-kurun ia dikenali sebagai Anapji, pihak berkuasa Korea kemudian menamakan semula tapak bersejarah itu sesuai dengan nama asalnya. Nama Wolji boleh diterjemahkan sebagai ‘air yang memantulkan bulan’ dan kolam tersebut kini menjadi salah sebuah destinasi pelancongan yang paling masyhur di Korea Selatan.

PEMANDANGAN DI ISTANA DONGGUNG DAN KOLAM WOLJI

Tapak warisan bersejarah ini terletak di Taman Negara Gyeongju, di pusat bandar Gyeongju, Korea Selatan. Lokasinya tidaklah terlalu jauh daripada tapak istama utama Silla di Banwolseong.

Bumbung miring dan tiang-tiang penyokong astaka Donggung

Kolam yang berbentuk bujur itu memiliki ukuran kira-kira 600 kaki (200m) panjang dari timur ke barat dan 60 kaki (20m) dari utara ke selatan. Kolam Wolji juga mempunyai tiga buah pulau kecil. Laluan-laluan pejalan kaki dan taman-taman bunga yang terdapat di sekeliling kolam ini dapat diteroka bersama dengan taman batu Buddhisme yang turut direka khusus bagi memancarkan ketenangan dan seterusnya menerbitkan suasana introspeksi. Tiga buah astaka yang terdapat di sana pada asalnya dibina untuk kemanfaatan para pengunjung dan menyediakan tempat berteduh untuk mereka.

Astaka-astaka ini dibina di atas dermaga, atapnya digayakan dengan gaya tradisional China dan bangunannya disokong oleh sejumlah tiang. Struktur astaka-astaka ini dibina dan diperbaiki semula mengikut bentuk sebenarnya. Para pengunjung boleh berjalan melalui astaka-astaka ini untuk mendapatkan pemandangan Kolam Wolji yang sama seperti dilihat oleh para raja dan putera di zaman dahulu.

Pulau-pulau kecil di Kolam Wolji

Para pelancong yang mengunjungi tapak ini boleh mengupah penterjemah dan pemandu pelancong semasa melawat tapak Istana Donggung dan Kolam Wolji. Muzium yang berada berhampiran pula menyimpan artifak-artifak yang ditemukan di kolam tersebut. Antara artifak yang terdapat di muzium itu adalah patung-patung Buddha, jubin-jubin berhias dan barangan harian dari zaman Silla.Istana yang dahulunya menjadi kediaman putera mahkota kini tidak lagi wujud.

Semasa menjalankan penyelidikan arkeologi di tapak itu pada tahun 1980an, ahli-ahli arkeologi mendapati bahawa pada asalnya terdapat lebih banyak bangunan di tepi Kolam Wolji. Malahan, ia dikelilingi oleh tembok batu. Dipercayai bahawa terdapat juga sejumlah terusan yang menghubungkan kolam ini dengan kawasan-kawasan berhampiran. Kompleks yang telah dibaik-pulih ini setidak-tidaknya dapat memberikan kita gambaran tentang bagaimana pemandangan Istana Donggung dan Kolam Wolji di zaman Silla.

TERJEMAHAN:

Ed Whelan. (18 Januari 2020). Donggung Palace and Wolji Pond: Waters that Reflects the History of South Korea. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/donggung-palace-0013164


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.