Sejak minggu lepas, kita dikejutkan dengan pendedahan sebuah firma perunding politik bernama Cambridge Analytica yang mengakses 50 juta data pengguna Facebook di Amerika Syarikat tanpa keizinan mereka. Bukan itu saja, kita juga dikejutkan dengan pendedahan Facebook mengakses data teks dan log panggilan pengguna telefon pintar yang mengakses laman itu dari platform Android. Berikutan pendedahan tersebut, pengasas Facebook, Mark Zuckerberg terpaksa memohon maaf dan kini diasak penggubal undang-undang untuk memberi keterangan di Parlimen Britain dan Kongres Amerika Syarikat. Pendedahan sebegini turut membuka satu soalan, apakah privasi kita benar-benar terjamin atau sudah wujud pengawasan seperti yang digambarkan George Orwell dalam novelnya, Nineteen Eighty-Four?

Siapa takkan suka kalau kerajaan mengawasi semua data dalam talian kita tetapi itulah yang didedahkan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), Edward Snowden pada tahun 2013. Pengumpulan data ini dibuat tanpa mengira siapa walaupun mereka tidak tertakluk di bawah siasatan pihak berkuasa. Antara syarikat terlibat di mana datanya dikumpul oleh Washington ialah Facebook dan Google. Dua tahun sebelumnya, Amerika Syarikat turut menambah keupayaannya mengawasi semua data dalam talian menerusi Akta Patriot, satu akta yang hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang dimansuhkan oleh kerajaan Malaysia. Namun ramai sudah bimbang dan menganggap ia hanyalah alasan bagi Uncle Sam mengintip pergerakan warganya.

Jika ada yang mendakwa benda ini merupakan perkara baru, jawapannya salah. Sebenarnya ia sudah bermula semasa pengenalan telegraf lagi pada abad ke-19. Pada ketika itu, sebuah syarikat yang memonopoli industri telekomunikasi iaitu Western Union Telegraph. Telegraf dipilih berbanding kaedah surat kerana ia jauh lebih pantas untuk menghantar mesej dan ia satu teknologi inovatif pada ketika itu. Semasa Perang Saudara Amerika tercetus, jeneral-jeneral dari pihak Kesatuan dan Konfederasi menggunakan telegraf untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Tetapi ia tidak berhenti di situ saja. Mereka turut memintas mesej pihak musuh dan kadangkala menghantar mesej palsu dengan tujuan mengelirukan pihak musuh. Bagi orang awam pula, sudah ada individu yang mencari jalan untuk melakukannya. Pada tahun 1864, seorang broker saham bernama D.C Williams ditahan dan didakwa oleh pihak berkuasa atas tuduhan mencuri informasi dengan memintas mesej entiti-entiti korporat dan menjual maklumat tersebut kepada broker-broker saham lain.

Western Union sebenarnya menyediakan cara lebih mudah untuk memantau semua mesej yang dihantar. Syarikat tersebut mempunyai dua salinan telegraf yang dihantar, satu untuk penerima dan satu untuk simpanan syarikat. Jika ada yang mahu mengakses maklumat, tak payah fikir macam mana nak pecah masuk. Pastikan anda ada orang dalam sebagai mata dan telinga untuk melihat semua info yang dinyatakan itu. Dengan pendedahan sebegini, ia sebenarnya mendedahkan syarikat kepada salah guna kuasa dan pencabulan maklumat. Dan inilah yang berlaku semasa pilihan raya presiden tahun 1876.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan wakil Demokrat, Samuel Tilden dan wakil Republican, Rutherford B. Hayes. Keputusan awal menunjukkan Tilden mendahului dan Hayes nampaknya tidak akan berpeluang menjadi presiden. Untuk mengelak Hayes dari menyerah kalah, penyokong-penyokong Hayes termasuk Western Union mendedahkan satu telegram kem Demokrat kepada akhbar New York Times. Dalam telegram tersebut, kem Demokrat mendedahkan mereka masih belum yakin memenangi pilihan raya ini. Pendedahan ini mendorong pihak Republican terus berusaha menyokong Hayes hinggalah beliau bergelar presiden pada tahun 1877. Walau bagaimanapun, kemenangan Hayes mencetuskan krisis politik antara kedua-dua parti. Sebagai kompromi, Demokrat sedia mengiktiraf Hayes tetapi dengan syarat beliau menarik balik kehadiran tentera di sebelah Selatan. Krisis ini turut menyebabkan Western Union disepina oleh pihak Kongres untuk memberi keterangan apa yang berlaku sehingga membawa kepada pertikaian Demokrat-Republican.

Selepas penciptaan telefon oleh Alexander Graham Bell, ia menjadi medium komunikasi terbaru untuk kaedah curi dengar. Dan ini menjadi alat pihak berkuasa untuk mengesan pesalah-pesalah yang melanggar larangan menjual minuman alkohol semasa era yang dipanggil Prohibition (Larangan). Dan ironinya, ia digerakkan oleh Syarikat Telefon Bell. Mereka juga kadangkala menyewa talian telefon kepada pihak berkuasa untuk memantau mana-mana talian telefon yang mahu diawasi. Dan ini mencetuskan kes perundangan Olmstead vs Amerika Syarikat berkenaan keupayaan kerajaan mencuri dengar talian telefon tanpa memerlukan waran. Olmstead merupakan bekas leftenan dalam pasukan polis dan digelar raja seludup arak Puget Sound. Selepas ditahan dan didakwa di mahkamah, dia didapati bersalah tetapi dibantah sekeras-kerasnya. Ini kerana Olmstead mendakwa semua bukti yang digunakan untuk menyabitkannya diambil melalui kaedah curi dengar dan membawa kes tersebut ke Mahkamah Agung. Bagaimanapun, Mahkamah Agung mengekalkan keputusan mahkamah sebelumnya dengan keputusan undi 5-4 dengan menegaskan kaedah tersebut tidak melanggar Pindaan Keempat, Perlembagaan Amerika Syarikat.

Taktik curi dengar tanpa waran ini berterusan sehinggalah era 60-an. Kali ini, pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mencuri dengar pemimpin-pemimpin hak asasi sivil seperti Martin Luther King dan kumpulan-kumpulan yang dikatakan pro-komunis. Arahan tersebut dikeluarkan oleh Peguam Negara merangkap adik John F. Kennedy, Robert. Tetapi arahan tersebut tidak bertahan lama berikutan penghakiman yang dikeluarkan pada 1967 dan 1972. Ini kerana pada dua tahun tersebut, Mahkamah Agung menyifatkan aktiviti curi dengar tanpa waran dianggap menyalahi undang-undang. Namun jika itu bermakna ia sudah berakhir, anda salah lagi. Ini kerana menerusi pengenalan teknologi baru seperti internet, storan awan dan telefon pintar, agak sukar menentukan mana yang dibenarkan dan sebaliknya.

Dahulu kita hanya bimbang diintai atau diawasi oleh orang perseorangan sahaja. Ini kerana dalam sesetengah kes, orang-orang yang diupah ini dihantar untuk mendapatkan bukti berkenaan salah laku syarikat atau bukti pasangan berlaku curang. Hari ini, kita bimbang diawasi bukan saja oleh agensi perisikan dan penguatkuasaan tetapi juga oleh syarikat-syarikat besar. Jika tidak, bagaimana sebuah syarikat seperti Cambridge Analytica boleh beroperasi dan menyalahgunakan data yang diakses mengikut kesesuaian klien mereka. Dan bagaimana syarikat seperti Facebook dan Google memanipulasi kandungan yang disiarkan mereka bagi memenuhi keperluan orang seperti kita.

Sebut pasal ini, ada satu kisah menarik berkenaan tuan presiden kami dengan rakannya. Mereka berdua saja berbual-bual berkenaan soal tukaran wang asing (FOREX) secara luar talian. Tapi tanpa disangka-sangka, Facebook menyiarkan kandungan yang berkait dengan FOREX itu sendiri pada akaun rakannya itu. Jadi ini menimbulkan persoalan yang saya rasa anda patut fikir, mengapa mereka sanggup bertindak sedemikian? Ini menunjukkan kecanggihan gergasi-gergasi teknologi mengintai, memanipulasi dan menyediakan kandungan sesuai dengan kita dengan cara yang sungguh menakutkan. Dan ini juga menunjukkan kesediaan entiti tak bernegara (stateless state) melanggar semua jenis batas termasuk privasi dan pengawasan atas nama kuasa. Tetapi seperti yang ditunjukkan dalam kes Zuckerberg dan Cambridge Analytica, tindakan sombong lagi semberono ini akhirnya memakan diri dan merosakkan integriti mereka untuk jangka masa panjang.

SUMBER

Little, Becky. (2018). History.com. Communication companies have been spying on you since the 19th century. https://www.history.com/news/communications-companies-have-been-spying-on-you-since-the-19th-century


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.