Nama Yakuza sering dikaitkan dengan tatu penuh badan, sut mahal dan urusan dunia bawah tanah. Namun pada Februari 2024, dunia dikejutkan dengan berita seorang ketua Yakuza didakwa terlibat dalam perdagangan bahan nuklear. Kes ini membongkar sisi gelap yang melangkaui sempadan jenayah konvensional.
Takeshi Ebisawa, pemimpin kanan sindiket Yakuza, ditahan selepas penyiasat antarabangsa mendakwa beliau cuba menjual uranium dan plutonium kepada pembeli yang dipercayai mewakili Iran. Operasi ini berlangsung melalui penyamaran ejen DEA Amerika Syarikat yang berpura-pura sebagai pembeli. Penangkapan ini bukan sahaja mengejutkan Jepun tetapi juga menimbulkan persoalan tentang bagaimana bahan nuklear boleh sampai ke tangan mafia.
Berdasarkan dokumen mahkamah, bahan yang dibawa Ebisawa bukan sekadar sisa industri. Sampel yang diuji mengandungi isotop yang boleh digunakan untuk membina senjata nuklear. Ini bermaksud Yakuza tidak lagi terhad kepada penyeludupan dadah, perjudian atau perlindungan haram tetapi sudah terlibat dalam urusan yang berisiko mencetuskan krisis antarabangsa.
Perdagangan bahan nuklear adalah antara jenayah yang paling diawasi di dunia. Ia memerlukan akses kepada pasaran gelap yang sangat tertutup, hubungan dengan pengedar senjata dan saluran penyeludupan yang berlapis. Amat menakjubkan, Yakuza mampu berada di tengah-tengah jaringan dan ini membuktikan bahawa mereka memiliki capaian global yang kompleks.
Ebisawa pernah dikaitkan dengan perdagangan heroin dari Segitiga Emas dan pengedaran senjata ke kawasan konflik. Hubungannya dengan rangkaian jenayah antarabangsa menjadikan beliau tokoh penting dalam pasaran gelap Asia.
Keterlibatan Yakuza dalam perdagangan nuklear menimbulkan satu persoalan lebih besar. Adakah ini hanya kes terpencil atau petanda bahawa kumpulan ini sedang mengembangkan sayap ke dalam urusan strategik yang pernah dimonopoli oleh negara dan ejen perisikan? Sejarah menunjukkan Yakuza sentiasa menyesuaikan diri dalam setiap era dan situasi.
Semasa era Perang Dingin, Yakuza pernah digunakan oleh pihak berkuasa dan kuasa asing untuk mengekang gerakan kiri. Mereka diberi ruang untuk mengawal kawasan tertentu, mematahkan mogok dan menghalang kemaraan ideologi yang dianggap ancaman. Keupayaan mereka beroperasi di sempadan undang-undang menjadikan mereka aset yang sukar diganti.
Kini, keupayaan yang sama mungkin sedang digunakan untuk mengakses pasaran gelap nuklear. Kawalan ke atas bahan seperti uranium bukan sahaja memberi keuntungan besar tetapi juga kuasa tawar-menawar di peringkat geopolitik. Dalam dunia di mana senjata nuklear menjadi penentu kuasa, setiap gram uranium sangatlah bernilai bergantung kepada jenisnya.
Kes Ebisawa membuktikan bahawa Yakuza mampu bergerak melampaui batas negara. Mereka tidak hanya mengawal lorong gelap di Tokyo atau Osaka tetapi juga mampu menembusi jaringan jenayah di Timur Tengah dan Asia Tenggara. Keadaan ini menjadikan mereka ancaman strategik dan bukan lagi sekadar masalah domestik Jepun.
Kepakaran Yakuza dalam mengatur logistik, menyembunyikan jejak kewangan dan memanipulasi hubungan menjadikan mereka pemain berbahaya dalam pasaran senjata dan bahan larangan. Keupayaan ini lahir daripada puluhan tahun pengalaman mengurus urusan haram tanpa menarik perhatian umum.
Pihak berkuasa Jepun kini berada dalam dilema. Menghancurkan rangkaian seperti ini memerlukan kerjasama antarabangsa yang intensif. Namun sejarah Jepun sendiri menunjukkan hubungan yang rumit antara politik, ekonomi dan Yakuza.
Kisah ini mengingatkan kita bahawa kumpulan jenayah terancang bukan sahaja ancaman kepada undang-undang tetapi juga kepada keselamatan global. Apabila organisasi seperti Yakuza memegang bahan nuklear, risiko yang wujud tidak lagi terhad kepada satu bandar atau negara. Ia mampu mencetuskan bencana berskala dunia.
Dunia ini menyimpan banyak kisah tersembunyi yang tidak terpampang di muka depan akhbar setiap hari. Disebalik imej negara maju, ada jaringan kuasa gelap yang sanggup mengorbankan keselamatan dunia demi keuntungan. Memahami realiti ini membuka mata kita tentang hakikat geopolitik yang sebenar.




No comments yet