Manusia yang dicipta oleh Allah s.w.t didedahkan kepada pengalaman-pengalaman kemanusiaan sama ada yang bersifat positif atau negatif. Antara pengalaman kemanusiaan yang penting ialah pengalaman kesakitan atau berpenyakit dan pengalaman ubat-ubatan atau perubatan. Kemuncak pengalaman yang kedua ini iaitu alam perubatan dianggap penting kerana ia merupakan antara elemen utama dan teratas kepada sesebuah tamadun manusia. Justeru, mari kita amati sejarah perkembangan ilmu perubatan sebelum dan selepas kedatangan Islam.
Ilmu perubatan sebelum Islam dan semasa era Rasulullah s.a.w
Ada yang berpandangan ilmu perubatan sebelum kehadiran Islam tidak mengandungi nilai saintifik dan dipenuhi unsur tahyul. Ini kerana sebelum kehadiran Islam, masyarakat Arab banyak merujuk kepada ahli nujum dan ahli sihir dalam merawat penyakit kerana percaya sesetengah penyakit dicetuskan oleh semangat atau roh jahat. Dan biasanya, mereka juga menggunakan jampi serapah dan tangkal bukan saja untuk merawat penyakit tetapi juga sebagai jaminan keselamatan atau dianggap membawa tuah dalam soal perniagaan mereka.
Namun, pandangan sebegini ditolak Dr Ali Abdullah al-Difa yang menyifatkan ilmu perubatan orang Arab sebenarnya sudah lama diketahui oleh tamadun lain ketika itu. Pandangan Dr Ali disokong oleh Dr Amir al-Najjar yang menyifatkan persekitaran Semenanjung Tanah Arab yang dipenuhi tumbuhan yang mengandungi khasiat perubatan membolehkan mereka bukan saja mahir dalam ilmu berkenaan tetapi juga mampu menghasilkan penawar atau kaedah perubatan yang bersesuaian dengan penyakit yang dialami pesakit mereka.
Selain itu, mereka juga didedahkan dengan pekerjaan berbentuk perubatan saintifik seperti pekerjaan mengembala binatang ternakan seperti kambing biri-biri. Tidak ramai tahu, pengembala ini mempunyai maklumat dari pelbagai segi seperti bentuk penjagaan, fungsi anggota tubuh badan dan punca penyakit.
Semasa era Nabi Muhammad s.a.w, sudah wujud individu yang mahir dalam dunia perubatan. Salah seorang daripada mereka ialah seorang tabib bernama Harith bin Kaldah al-Thaqafi. Pada satu ketika, seorang sahabat baginda bernama Saad bin Abi Waqqas r.a jatuh sakit kerana mengalami masalah jantung. Selepas mengetahui perkara tersebut, Nabi s.a.w mengesyorkan sahabatnya itu berjumpa dengan Harith untuk merawat penyakit berkenaan.
Pada zaman ini juga, wujud seorang pakar bedah terkemuka bernama Ibnu Abi Ramthah al-Thamimi. Antara bentuk pembedahan yang diketahui ialah kisah seorang sahabat bernama Afranjah r.a. Selepas mengalami kecederaan hidung dalam satu peperangan sehingga memaksa hidungnya dipotong, beliau diberi hidung palsu yang diperbuat daripada perak.
Malangnya semasa menggunakan hidung palsu itu, ia mengakibatkan tempat luka tersebut mengeluarkan bau busuk. Selepas mengadukan perkara tersebut kepada Nabi s.a.w, baginda mengesyorkan Afranjah menggunakan hidung palsu yang diperbuat daripada emas.
Ilmu perubatan kerajaan Bani Umayyah
Semasa era kerajaan Bani Umayyah, dengan wilayah jajahan semakin berkembang, begitu juga dengan pertambahan maklumat umat Islam termasuk berkenaan tamadun Yunani dan Rom. Antara usaha yang digerakkan untuk mempergiat penyebaran ilmu perubatan ialah menterjemah karya-karya ilmu dari Yunani dan Rom ke Bahasa Arab. Usaha ini dikepalai seorang pembesar Bani Umayyah merangkap cucu Muawiyah bin Abi Sufian r.a, Abu Hasyim Khalid bin Yazid al-Umawi yang mempunyai minat mendalam terhadap dunia perubatan.
Dengan bantuan Yahya al-Nahwi, beliau merupakan orang Islam pertama yang menterjemah kitab-kitab perubatan asing ke Bahasa Arab. Semasa era khalifah al-Walid bin Abdul Malik, baginda merupakan pemerintah Islam pertama yang membina hospital.
Antara tokoh-tokoh perubatan yang terkemuka pada zaman Bani Umayyah ialah:
i. al Hakam bin Abi al Hakam al Dimasyqi. Beliau adalah seorang pengamal perubatan yang amanah sehingga mendapat kepercayaan Mu’awiyah bin Abi Sufyan r.a untuk merawat beliau dan keluarganya.
ii. Isa bin Hakam. Beliau adalah anak kepada al Hakam binAbi al Hakam.
iii. Tayyazuq, seorang pengamal perubatan yang dipercayai oleh al Hajjaj bin Yusuf al Thaqafi untuk merawatnya.
iv. Abd al Malik bin Abjur al Kannani, seorang tabib yang pernah merawat Umar bin Abdul Aziz, salah seorang khalifah Bani Umayyah. Dan dalam satu riwayat, Umar juga bertanggungjawab mengislamkannya.
v. Zainab al Awadiyyah ialah seorang wanita yang mahir mengubati penyakit-penyakit yang berkaitan dengan mata.
Ilmu perubatan kerajaan Bani Abbasiyah
Pada zaman Kerajaan Abbasiyyah, kerajaan bertanggungjawab mengasaskan dua buah pusat pengajian tinggi dalam bidang perubatan di Jundisyapur, Parsi dan di Harran, Syria. Tenaga-tenaga pengajarnya terdiri daripada pakar-pakar perubatan dari Parsi, Yunani dan Syria. Menurut riwayat, banyak tenaga perubatan luar telah dibawa ke Baghdad yang menjadi ibu kota kerajaan Islam pada ketika itu.
Keadaan ini menjadikan ilmu perubatan orang Islam merupakan kesinambungan ilmu-ilmu perubatan dari Parsi, Yunani, India, Mesir, orang-orang Yahudi dan Kristian. Oleh itu, bidang ini merupakan integrasi antara teori-teori perubatan pelbagai bangsa dan tamadun.
Usaha penterjemahan karya-karya ilmu asing dipergiatkan lagi semasa era khalifah al-Ma’mun terutama membabitkan karya-karya Yunani. Baginda dikatakan membelanjakan sejumlah besar wangnya sendiri untuk membiayai program penterjemahan karya-karya falsafah ke Bahasa Arab. Selain usaha penterjemahan, khalifah al-Ma’mun juga bertanggungjawab mengasaskan sebuah perpustakaan agung yang menjadi tumpuan ramai cendekiawan Islam semasa era Keemasan Islam iaitu Perpustakaan Baitul Hikmah.
Walaupun ramai memfokuskan usaha kepada perkara saintifik, ada juga yang berusaha mengaitkan elemen saintifik dengan elemen al-Quran dan as-Sunnah. Muhammad bin Zakaria al-Razi misalnya bila mengulas ayat 84, Surah Yusuf berpandangan seseorang yang banyak menangis akan menyebabkan kelopak matanya diselaputi oleh keruhan-keruhan air mata yang keluar. Ini boleh mengakibatkan seseorang itu menjadi kabur atau hilang penglihatannya.
Kesan perkembangan ilmu perubatan dalam empayar Islam telah menyebabkan wujudnya pusat-pusat pengajian dalam bidang tersebut. Bandar-bandar utama umat Islam seperti Baghdad, Damsyik, Basrah, Samarkand, Kaherah, Tunis, Fez, Cordoba, Toledo, Seville dan Granada telah menyaksikan pertumbuhan yang positif ini sekaligus menjadi antara pusat perkembangan ilmu perubatan penting ketika itu.
Antara karya yang termasyhur yang ditulis oleh tokoh-tokoh perubatan Islam dalam era ialah Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi (865-925 Masihi). Beliau yang berasal dari negeri Parsi telah menulis 184 buah buku, 56 daripadanya menyentuh soal ilmu perubatan. Bukunya yang bertajuk “Kitab al Hawi” mempunyai 24 jilid dan telah disalin beberapa kali serta diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1187M.
Kitab ini juga telah menjadi buku rujukan pertama dan utama dalam pengajian kimia di Eropah hingga abad 14 Masihi. Seorang lagi tokoh perubatan yang telah menghasilkan karya yang sukar ditandingi ilah ‘Ali ibn al ‘Abbas atau juga dikenali dengan nama Haly ‘Abbas. Beliau juga berasal dari Parsi dan telah menghasilkan buku yang berjudul “Liber Regius”.
Buku ini ditulis di dalam bahasa Arab dan diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan diterbitkan di Venice pada tahun 1492 Masihi dan di Lyon pada tahun 1523 Masihi. Karya ini amat menarik sekali kerana mengandungi perbandingan tokoh perubatan Yunani dengan tokoh perubatan Islam.
Sementara dari Andalusia pula, Abu al Qasim al Zahrawi atau Albucasia (936-1013 Masihi) yang berasal dari Cordova, Sepanyol. Beliau telah menulis buku yang bertajuk ‘Kitab al Tasrif’ dan menjadi buku ensiklopedia perubatan yang menjadi bahan rujukan utama kepada pengamal-pengamal perubatan khususnya dalam bidang pembedahan beberapa abad selepasnya.
Melalui buku ini beliau telah memperkenalkan 150 alat pembedahan dan menjadi buku rujukan utama yang diterjemahkan dalam beberapa bahasa seperti Bahasa Latin, Perancis, Sepanyol dan Ibrani pada zaman Renaissance Eropah.
Zaman ini juga menyaksikan kemunculan Ibnu Sina atau Avicenna (980-1036 Masihi). Beliau merupakan seorang ahli fikir Islam dan mahir dalam bidang falsafah, sains, ilmu falak dan kesusasteraan. Dalam bidang perubatan, beliau dianggap sebagai tokoh yang berpengaruh di timur dan di barat sehingga digelar “Putera dalam kalangan Tokoh Perubatan”.
Penulis-penulis sejarah perubatan telah menyifatkan daya ilmuannya khususnya dalam bidang perubatan sebagai satu kesinambungan kepakarannya dalam bidang falsafah membantu menajamkan kemampuan inteleknya dalam jurusan perubatan sehingga membawanya kepada puncak kejayaan dengan menyatukan atau menyusun dalam bentuk sistem semua teori ilmiah serta amalan perubatan yang berasal dari abad-abad terdahulu. Hasilnya, lahirlah karya termasyhur beliau dalam bidang perubatan ialah al Qanun Fi al Tibb yang merupakan “himpunan pembendaharaan ilmu perubatan”.
SUMBER
Omar, Nizaita. (2017). Universiti Sultan Zainal Abidin. Perkembangan Ilmu Perubatan: Sebelum dan Selepas Kedatangan Islam. https://www.researchgate.net/publication/265245113_Perkembangan_Ilmu_Perubatan_Sebelum_dan_Selepas_Kedatangan_Islam
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih