JIKA
ingin melihat arca-arca kucing tersergam indah maka silalah mendatangi
Bandaraya Kuching iaitu ibukota bagi Sarawak Bumi Kenyalang. Ini kerana disinilah kucing itu menjadi ikon
bandarayanya yang banyak menghiasi laman-laman terbuka di kawasan tarikan
pelancongan mahupun di pasaraya-pasaraya besar.
Malahan di Kuching, Sarawak inilah terletak satu-satunya muzium kucing
terbesar di Asia Tenggara yang dikenali sebagai Muzium Kucing Sarawak.
Bila
berbicara dari segi asal muasal nama Kuching itu mungkin ramai yang
menyangkakan bahawa Kuching itu merujuk kepada binatang yang menjadi dambaan
ramai kerana kecomelannya iaitu kucing.
Namun hakikatnya jika kita melihat dari segi pertuturan masyarakat
tempatan gelaran kucing itu langsung tidak ada di dalam slanga tempatan. Ini kerana di Sarawak yang terkenal dengan
kepelbagaian kaum dan budaya juga tidak pernah memanggil kucing sebagai kucing
sebaliknya untuk bahasa Melayu Sarawak standard digelar “pusak”, iban pula “mayau”
serta banyak lagi.
Menyelusuri
sejarah nama Kuching sebenarnya dari segi sejarah belum lagi menjumpai satu
jawapan yang tuntas. Sebaliknya sejarah
yang pasti adalah Kuching itu sendiri telah dibuka oleh Pengiran Indera Mahkota
iaitu Gabenor Sarawak yang pertama semasa Sarawak masih lagi menjadi tanah
kuripan kepada Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. Pada masa itu, keluasannya masih kecil dan
Kuching itulah Sarawak pada masa dahulu sebelum mula dikembangkan empayarnya
oleh warga British bernama James Brooke pada tahun 1840.
Dalam
pada itu, penggunaan nama Kuching untuk menggelar nama ibukota Sarawak
sebenarnya dikatakan bermula semasa Dinasti Brooke memerintah. Menurut teori menyatakan bahawa nama Kuching
itu merujuk kepada perkataan “Cochin” iaitu yang bermaksud pelabuhan. Ini kerana suatu waktu dahulu iaitu di ketika
pemerintahan Brooke, Kuching memainkan peranan utama di dalam aktiviti
perdagangan Indo-China serta Asia Pasifik.
Dengan kedudukannya yang terletak di selatan Pulau Borneo maka ianya
adalah satu lokasi yang strategik untuk dijadikan pelabuhan persinggahan
pedagang-pedagang Indo-China.
Selain
itu cerita lisan masyarakat tempatan pula menyatakan bahawa perkataan Kuching
itu mendapat nama dengan mengambil bersempena sebatang sungai kecil yang pernah
mengalir diantara Muzium Cina dan Kuil Tua Pek Kong di Kuching sekarang. Sungai itu pula dikatakan dinamakan sungai
Kuching kerana disitu seringkali dilihat ramai kucing-kucing hutan mendatangi
sungai untuk minum air apabila kehausan.
Tidak
terhenti disitu sahaja cerita mengenai Sungai Kuching kerana dikatakan bahawa
di kawasan ini terdapat satu bukit yang mana ditumbuhi dengan satu buah-buahan
tempatan yang dinamakan buah mata kucing.
Oleh kerana sinonim dengan buah-buahan tersebut malah sehingga sekarang
bukit itu dinamakan Bukit Mata Kuching walaupun buahnya sudah hilang dan
diganti dengan bangunan konkrit.
Bagi
masyarakat di pedalaman Sarawak pula yang mana suatu waktu dahulu seringkali
dikunjungi oleh rajah-rajah Brooke ke rumah panjang mereka mempunyai cerita lisan
yang berbeza tentang asal muasal nama Kuching.
Ini kerana menurut mereka, suatu waktu dahulu pengenalan diri untuk
masyarakat tempatan adalah berdasarkan nama sungai mengikut lokasi mereka
tinggal. Diceritakan oleh kerana Tuan
Rajah Charles Brooke apabila mendatangi rumah-rumah panjang amat sukar untuk
mengenal diri berasal dari mana dan dek kerana itu beliau sering membahasakan
dirinya sebagai Charles Brooke dari Sungai Kuching.
Bandaraya
Kuching dan arca-arca kucing berpisah tiada.
Ianya menjadi ikon pelancongan untuk satu bandaraya yang diiktiraf
sebagai Bandaraya Harmoni oleh dunia pada tahun 2016. Kesiapsiagaan Kuching sudah tidak lagi boleh
terucap dengan kata-kata lebih-lebih lagi Tahun 2019 merupakan Tahun Melawat
Sarawak. Kuching sudah bersedia dan LAN
BERAMBEH (Sila berkunjung) ke Kuching, Sarawak.
-HB-
#KamekSayangSarawakBah!
Rujukan:
- https://kuching.sarawak.gov.my/page-0-14-60-Sejarah-Kuching.html
- Borneo Oracle – Sarawak Bumi Kenyalang Yang
Kita Warisi - Borneo Oracle – From Kuching With Love




No comments yet