Banyak benda sudah terbalik zaman sekarang. Ambil kira 100 tahun lalu, orang miskin menunggang kuda manakala orang kaya menaiki kereta. Tetapi sekarang, hanya orang kaya mampu memiliki kuda – sementara orang miskin pula mengharungi sesak setiap hari mengeluh bawah bumbung kereta. Inilah contoh arus revolusi yang mengubah habis gaya hidup semasa. Dan arus revolusi ini masih berterusan, mengubah bahan bakar kereta pula yang semua jemu dengar pasal kenderaan elektrik.

Jemu sebab asyik ulang di dada akhbar. Tetapi ramai tidak sedar peralihan bahan bakar (minyak ke elektrik) sangat menarik untuk diperhalusi. Kerana suatu masa dahulu, teknologi bahan bakar beralih daripada “wap ke minyak”. Maka kalau berbicara pasal asal-usul kereta, ramai akan petik nama Karl Benz, Gottlieb Daimler dan Wilhelm Maybach – umumnya tiga nama diabadikan dalam syarikat Mercedes Benz.

Wajah-wajah penting dalam dunia permotoran.

Ikut gambar di atas, Benz (bawah kiri) mencipta Benz Patent Motorwagen. Pada tahun 1890, Daimler (atas kiri) dan Maybach (atas kanan) berganding bahu mengasaskan sebuah perusahaan iaitu Daimler-Motoren-Gessellschaft (DMG). Pihak DMG menghasilkan kenderaan yang dinamakan sempena Mercedes Jellinek (kanan bawah), anak perempuan kesayangan Emil Jellinek (bawah tengah). Pada tahun 1926, Benz Motorwagen dan DMG bergabung menjadi syarikat Mercedes Benz.

Tidak lupa juga Henry Ford yang memarhaenkan pemilikan kereta. Di sini semua nampak asal-usul kereta sudah kelihatan samar, serupa orang single yang tidak nampak jodoh. Atau ahli politik yang lupa diri dulu pernah miskin teruk.

Denai Teknologi Yang Membikin Kereta

Antara nama paling awal membentuk sebuah kenderaan adalah Ferdinand Verbiest, yang sedang mengembara di China pada tahun 1672 sambil berdakwah ajaran Jesuit. Beliau dibawa untuk berjumpa dengan Maharaja Kangxi, antara pemerintah China paling lama di takhta kuasa. Verbiest memberikan Kangxi hadiah kereta mainan, yang berfungsi dengan teknologi wap (Setright, 2004).

Hadiah Verbiest.

Pada dasarnya, teknologi wap sudah mula menjadi sebutan ketika itu sampai saintis Nicolas-Joseph Cugnot membuat rekacipta (design) yang pemain industri Perancis anggap tidak praktikal.

Pemain industri British pula berbeza pendapat. Dan pada tahun 1801, hasil fikiran Cugnot menjadi realiti apabila sebuah ‘pengangkut’ wap dapat bergerak di atas jalan raya.

Replika ‘pengangkut’ yang diberi nama Puffing Devil (Chris McKenna/CC BY-SA 4.0.)

Sesuatu yang bergerak perlu ada kawalan dan mekanisme untuk memberhenti. Jadi inovasi sepanjang abad ke-19 berusaha untuk melengkapkan brek tangan, gear berbilang laju (multispeed) dan stereng penghubung tayar. Banyak akta baharu diperlukan sebagai penjamin keselamatan. Walau bagaimanapun, bukan kereta yang datang dahulu. Rekabentuk ‘pengangkut’ dikembangkan menjadi bas untuk membawa ramai orang (Loadman & James, 2010), memandangkan zaman tersebut kereta individu terlalu mahal.

Contoh kenderaan mirip bas.

Namun minat untuk kereta individu sudah muncul. Pada tahun 1838 misalnya, Walter Hancock berjaya membina sebuah kereta tanpa bumbung yang mampu membawa dua orang… juga menggunakan teknologi wap enjin berdwi-silinder. Rekabentuk ini dikaji pereka-pereka Amerika Syarikat… yang pada tahun 1871, Dr. J.W. Carhart pula berjaya mencipta sebuah kereta mampu guna jalan raya kereta kuda (cobblestoned road) yang berselirat di bandar-bandar besar Amerika (Moore, 2018). Namun kenderaan ini masih belum memuaskan, kerana kerajaan negeri Wisconsin membuka tawaran dana AS$10,000 (nilai sekarang: AS$246,758) untuk sesiapa yang mampu mencipta ‘pengganti kuda’.

Tujuh pereka membawa nama bandar masing-masing, mencipta teknologi yang mampu memenuhi syarat: boleh bawa secara konsisten sejauh 320 kilometer dengan purata kelajuan 8 km/j. Pereka daripada Green Bay terbukti mencipta kereta paling laju. Tetapi keretanya rosak sebelum berjaya sampai ke garisan penamat… memberi laluan kepada pereka daripada Oshkosh manakala lima lagi tidak dapat bergerak langsung.

Dari sini semua boleh nampak – asal usul kereta sebenarnya sangat meluas, tidak terhad pada saintis-saintis Jerman sahaja. Kenderaan berenjin minyak sekalipun bermula dengan ujian Nicolaus Otto dan Eugen Langen, diperluas Siegfried Marcus daripada Austro-Hungary. Gottlieb Daimler dan Wilhem Maybach menempa nama dalam sejarah kerana akal mereka memang betul-betul 100 peratus kenderaan… bukannya “kereta kuda berenjin”. Itu pun model Daimler-Maybach lebih berbentuk motosikal, berbanding kereta moden hari ini.

RUJUKAN:

Loadman, J., & James, F. (2010). The Hancocks of Malborough: Rubber, Art and the Industrial Revolution – A Family of Inventive Genius. OUP Oxford. Halaman 73.

Moore, S. (2018). J.I. Case Co. Keeps Fast Company – Equipment. Farm Collector.

Setright, L. (2004). Drive On!: A Social History of the Motor Car. Granta Books.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply