Artikel ini berkisarkan tentang seorang Samurai Warring States Period (Sengoku Jidai) ataupun Zaman Perang Antara Wilayah bernama Ii Naotaka, sedikit latar belakang puaknya dan kisahnya dengan seekor kucing putih. Ya, anda membacanya dengan betul, hikayat seorang panglima Samurai yang mahir dalam hal ehwal peperangan dengan seekor kucing comel. Juga akan diterangkan mengenai kesan signifikan peristiwa ini kepada budaya masyarakat Jepun yang kekal sehingga ke hari ini.
Ii Naotaka dan Ii Naomasa
Ii Naotaka dilahirkan pada 16 Mac 1590 dan meninggal dunia ketika berumur 69 tahun pada 16 Ogos 1959. Beliau merupakan salah seorang Daimyō (pemerintah wilayah) zaman awal Edo yang bernaung dan berkhidmat dibawah keluarga Shogun Tokugawa. Beliau dikenali sebagai Bennosuke semasa kanak-kanak. Merupakan anak kedua daripada empat orang adik-beradik, beliau tidak dinamakan pewaris kepada puaknya. Puak Ii mendakwa bahawa mereka adalah keturunan keluarga bangsawan puak Fujiwara dari Fujiwara no Yoshikado yang pernah menjadi Daijō daijin (Canselor) kerajaan Jepun pada abad ke-9 Masihi. Ii Naosuke, salah seorang ahli politik paling berpengaruh pada akhir zaman Edo berasal dari puak Ii.
Gambaran Ii Naotaka dalam Nobunaga’s Ambition: Sphere of Influence
Ii Naomasa, bapa Naotaka pula terkenal sebagai salah seorang panglima perang puak Tokugawa yang sangat digeruni musuh kerana kehandalan dan kemahirannya bertempur dalam kempen menyatukan Jepun. Naomasa juga merupakan salah seorang daripada Four Heavenly Kings of Tokugawa, gelaran yang diberikan kepada empat panglima perang termasyhur Tokugawa. Tiga yang lain ialah Sakai Tadatsugu dari puak Sakai, Sakakibara Yasumasa dari puak Sakakibara dan Honda Tadakatsu dari puak Honda.
Mungkin anda pernah mendengar tentang kisah epik seorang samurai bernama Honda Tadakatsu, panglima perang Tokugawa yang didakwa tidak pernah cedera dalam ratusan pertempuran. Honda yang digelar “Pahlawan yang menafikan Kematian itu sendiri” juga pernah dipuji Daimyō Oda Nobunaga sebagai “samurai sejati, luaran dan dalaman” padahal Oda memang dikenali sebagai seorang yang jarang memuji. Shogun Toyotomi Hideyoshi juga pernah memujinya sebagai seorang wira yang tidak akan dapat ditandingi sesiapapun dalam sejarah.
Baiklah, jika Tadakatsu mendapat pujian yang menggunung kerana kehebatannya yang tidak pernah dicederakan pihak lawan, Naomasa pula digambarkan sebagai pahlawan yang selalu tercedera dalam pertempuran, bermandi darah dan berselimut keringat namun tetap hidup juga kerana kegigihannya. Prestij kedua-dua pahlawan ini tidaklah berbeza sedikit pun.
Naomasa pernah dihadiahi satu kawasan di wilayah Omi (hari ini dikenali sebagai Shiga) atas perkhidmatannya. Pada tahun 1584, beliau terus mengharumkan nama puaknya apabila menempah nama dalam pertempuran Komaki-Nagakute di mana Naomasa yang memimpin unit 3000 tentera bersenjatakan istinggar berjaya mengalahkan unit tentera puak Toyotomi dipimpin Ikeda Tsuneoki yang jauh lebih besar. Hasilnya, Toyotomi Hideyoshi sendiri memujinya dan dengan rela menghantar bondanya sebagai tebusan kepada pihak Tokugawa untuk berdamai dan mengikat tali persahabatan antara kedua-dua pihak. Naomasa menjaga bonda Hideyoshi dengan penuh hemah di kediamannya.
Pengepungan Odawara, Pertempuran Sekigahara dan Sistem Koku
Tahun 1590 dalam Pengepungan Odawara, Naomasa berjaya menembusi pertahanan istana agung Odawara dan memaksa puak Hojō untuk menyerah kalah. Odawara ketika itu merupakan salah satu istana yang paling kuat pertahanannya dan hanya puak Hojo sahaja yang masih berkeras kepala tidak mahu tunduk kepada kekuasaan Tokugawa. Kejayaan ini memastikan seluruh Timur Jepun berada di bawah pengaruh pentadbiran Tokugawa. Naomasa dihadiahi istana Minowa di wilayah Gunma berjumlah 120,000 koku.
Koku adalah satu sistem yang digunakan untuk menggambarkan kekayaan seseorang samurai yang berasal dari sukatan hasil beras. Kawasan yang besar dan subur dikira mampu menghasilkan puluhan ribu koku melalui hasil pertanian dan sumber lain. Sebagai contoh, samurai yang mempunyai 50 koku mampu untuk menyara keluarganya dan membeli baju perisai serta senjatanya sendiri jika dipanggil untuk berkhidmat di medan perang. Maknanya, 120,000 koku merupakan satu jumlah yang sangat besar yang melambangkan kekayaan dan pengaruh seseorang Daimyō atau samurai itu. Shogun pula dianggarkan mempunyai kawasan yang mampu menjana 1 juta koku.
Dalam pertempuran Sekigahara pada tahun 1600 pula, pertempuran yang membawa Jepun ke satu persimpangan jalan, reputasi Naomasa sekali lagi gah apabila beliau menjadi orang pertama yang memulakan pertempuran dengan menyerbu ke dalam medan dan membunuh samurai pihak lawan. Namun, selepas 7 jam lamanya beradu tenaga, beliau cedera parah akibat terkena tembakan di bahagian lengan dan bahu. Tokugawa Ieyasu yang belum menjadi Shogun lagi ketika itu, membalut dan menyapu salap ke atas lukanya. Bayangkan, seorang Daimyō secara peribadi merawat panglimanya sendiri. Hal ini menunjukkan betapa tingginya darjat Naomasa di mata Ieyasu. Lebihan ubat yang disapu pula disimpan oleh puak Ii sebagai harta pusaka keluarga. Naomasa juga dilantik sebagai ahli dalam Hyōbu-dayū ataupun Kementerian Perang Jepun yang ditadbir Imperial Court.
Hikone Sebagai Ganjaran dan “Syaitan Merah”
Baju perisai Ii Naomasa di Muzium Istana Hakone
Satu kawasan di Omi dipanggil Hikone dijadikan ganjaran kepada Naomasa dan puaknya atas keberanian yang ditunjukkan sebelum ini. Selepas itu, beliau memerintahkan satu istana dibina di atas bukit Hikone tetapi meninggal dunia sebelum dapat melihatnya siap dipercayai kerana kecederaan lamanya. Satu perkara paling menarik tentang Naomasa ialah sewaktu pertempuran, unitnya adalah satu-satunya unit yang berpakaian perisai serba merah. Teknik ini dikatakan ditirunya untuk menimbulkan rasa takut dan gerun ke atas musuhnya. Oleh itu, unitnya sinonim dengan panggilan “The Red Devil” ataupun Syaitan Merah.
Insiden di Istana Osaka
Tentera Sanada dipimpin Sanada Yukimura di kubu Sanada Maru, Istana Osaka
Selesai kisah bapanya, sekarang kisah anaknya pula yang tidak kurang hebatnya. Ii Naotaka pernah berkhidmat bagi pihak abangnya, Naokatsu yang enggan menyertai kempen perang Tokugawa dalam Pengepungan Osaka 1614. Insiden di Osaka inilah yang melihatkan kemunculan pahlawan terulung Jepun zaman itu iaitu Sanada Yukimura. Naotaka berbakti dengan baik terutamanya dalam pertempuran kecil Sanada-maru dan Tennō-ji. Beliau berjaya memecahkan formasi pihak lawannya dan mematahkan taktikal pihak lawan. Ieyasu yang berpuas hati dengan karakternya melantik Naotaka sebagai ketua baru puak Ii menggantikan abangnya yang dihantar ke wilayah lain untuk membentuk cabang puak Ii yang lain.
Pada tahun 1622, pembinaan istana Hikone akhirnya siap selepas 19 tahun. Hikone kelihatan tersergam indah di sebelah timur Tasik Biwa. Pada masa sekarang, istana Hikone merupakan salah satu istana daripada 12 istana zaman Sengoku Jidai yang masih kekal dipelihara dan dipulihara. Istana Hikone juga dikategorikan sebagai salah satu daripada 5 buah istana yang dijadikan harta negara (national treasure). Kemudiannya, Naotaka dipanggil menghadap oleh Shogun kedua Tokugawa. Shogun Tokugawa Hidetada yang sedang nazak meminta Naotaka untuk berkhidmat untuk putera pewarisnya, Iemitsu sebagaimana Naotaka pernah berkhidmat untuknya. Hanya selepas Naotaka menyimpulkan janjinya, barulah Hidetada mangkat dengan aman.
Kucing Pembawa Tuah
Suatu ketika itu, satu peristiwa telah terjadi. Pada suatu hari, Naotaka dan pegawainya sedang dalam perjalanan sekitar Hikone. Sambil menunggang kuda, beliau tiba-tiba terlihat suatu kelibat yang melintasi jalan di hadapannya. Seekor kucing yang berwarna putih dengan pantas meluru ke depan. Entah mengapa, beliau terasa sungguh tertarik dengan haiwan comel ini dan cuba mengikutinya. Pegawainya yang hairan dengan tindakan Naotaka hanya berdiam diri dan menyusul dari belakang. Setelah seberapa lama, kucing itu kemudiannya memasuki sebuah kawasan kuil.
Apa yang paling ganjil ialah apabila kucing itu berpaling dan seolah-olah melambai dengan tapak tangannya yang gebu ke arah Naotaka seperti mahu memberitahunya agar masuk segera ke dalam kuil itu. Beliau yang terkesima terus turun dari kudanya dan bergegas masuk ke dalam kuil itu. BOOOM! Gegendang telinganya berdesing. Lokasi beliau berdiri seketika sahaja tadi telah dipanah petir yang amat dahsyat. Naotaka tersentak sekali lagi mengenangkan nasibnya jika terkena panahan petir tersebut. Sudah tentu, hanya maut yang menanti. Tidak semena-mena, ribut taufan yang amat ganas membadai kawasan itu. Naotaka hanya mampu bersyukur kerana berjaya berlindung di dalam kuil itu. Setelah ribut reda, Naotaka cuba mencari kucing putih yang telah menyelamatkan nyawanya namun tidak berjaya.
Maneki Neko dan Maskot Hikonyan
Hikonyan turut serta membuat “mochi” ataupun kek beras di Hikone
Kisah legenda inilah yang menjadi inspirasi kepada patung kucing putih melambai yang kadangkala kita lihat di kedai dipanggil Maneki Neko. “Lucky Cat” atau “Beckoning Cat” dipercayai mampu membawa tuah dan membuang sial terutamanya bagi masyarakat Jepun masa ini. Jika di Jepun, Maneki neko boleh dijumpai dalam bermacam-macam material seperti seramik, kayu, plastik, jed dan juga emas. Maneki neko ini banyak juga diletakkan di kuil Shinto, kedai, restoran sebagai perhiasan. Selalunya, maneki neko ini dihiasi oleh pelbagai barangan yang masing-masing membawa makna tersendiri. Jika ia memegang patung ikan koi, ini melambangkan kemurahan rezeki. Jika kipas kertas dan dram pula melambangkan tuah bagi perniagaan. Jika batu permata atau batu marmar, lambang kebijaksanaan. Tetapi yang paling penting, Maneki neko tidak akan lengkap tanpa loceng.
Di samping itu, sebuah maskot yang sangat popular bernama Hikonyan telah dicipta pada tahun 2007 bagi menyambut tarikh ulang tahun ke-400 penubuhan istana Hikone dan reka bentuk maskot itu telah direka berdasarkan peristiwa ini. Seperti yang dapat dilihat di dalam gambar, Hikonyan ialah seekor kucing putih dengan loceng kuning di leher yang memakai helmet samurai berwarna merah. Helmet samurai itu sebenarnya berdasarkan helmet terkenal keluarga Ii yang disimpan menjadi tatapan umum di Muzium Istana Hikone.
Menariknya, maskot Hikonyan ini dipercayai telah meningkatkan jumlah pelancong ke wilayah Hikone sebanyak 200,000 orang setiap tahun. Hal ini bermakna, Hikonyan telah berjaya menjana ekonomi keseluruhan sebanyak 33.8 billion yen ataupun US$425 million ataupun lebih kurang RM 1.78 billion! Satu angka yang mampu melemahkan jantung ini dihasilkan oleh sebuah maskot kucing. Sungguh tidak disangka bukan? Tidak lain dan tidak bukan, kecomelan Hikonyan adalah faktor utama kenapa sungguh ramai yang sanggup turun padang ke Hikone. Insya-Allah, kalau berkesempatan, penulis pun ingin melihat maskot ini di depan mata pada suatu hari nanti.
Rujukan:
Perfect GuideLive Japan. (2018, May 3). Maneki Neko: The Lucky Cats of Japan. Retrieved December 20, 2018, from https://livejapan.com/en/in-tokyo_train_station/article-a0000697/
Fryer, C. (n.d.). Hikone Castle. Retrieved December 20, 2018, from https://www.gojapango.com/places/shiga-prefecture/hikone/castles/hikone-castle/https://www.gojapango.com/places/shiga-prefecture/hikone/castles/hikone-castle/
Honda Tadakatsu. (n.d.). Retrieved December 20, 2018, from https://www.samurai-archives.com/tadakatsu.html
Http://www.detourjapan.com/120612.html. (n.d.). Retrieved December 20, 2018, from http://www.detourjapan.com/120612.html
Https://hikone-hikonyan.jp/profile/. (n.d.). Retrieved December 20, 2018, from https://hikone-hikonyan.jp/profile/
Kato. (2017, November 29). Ii Naomasa. Retrieved December 20, 2018, from https://samurai-world.com/ii-naomasa/
Kato. (2018, May 5). Ii Naotaka. Retrieved December 20, 2018, from https://samurai-world.com/ii-naotaka/
Mainichi Japan. (2017, April 22). Popular Shiga mascot ‘Hikonyan’ celebrates 11th birthday. Retrieved December 20, 2018, from https://mainichi.jp/english/articles/20170422/p2a/00m/0et/007000c
Woods, A. (2018, June 13). IT’S HELLO KITTY AT JAPAN’S HIKONE CASTLE ON LAKE BIWA. Retrieved December 20, 2018, from https://www.escape.com.au/world/japan/its-hello-kitty-at-japans-hikone-castle-on-lake-biwa/news-story/a5a418a148a11f2937bf97f1aef870ec
Artikel disumbangkan oleh Fariz Fadzilah untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih