Iceland kini menempatkan loji penyingkiran karbon terbesar di dunia yang diberi nama Mammoth. Ia dibina oleh syarikat Switzerland, Climeworks dan mula beroperasi pada Mac 2025. Projek ini menjadi langkah penting dalam usaha dunia mengurangkan karbon di atmosfera untuk mengekang perubahan iklim global.
Mammoth berfungsi melalui teknologi yang dinamakan direct air capture (DAC), iaitu sistem yang menarik masuk udara, menapis karbon dioksida (CO₂) daripadanya dan kemudian menyimpannya secara kekal di bawah tanah. Loji ini mampu menyingkirkan sehingga 36,000 tan karbon setahun, bersamaan pelepasan tahunan sekitar 7,800 kereta. Walaupun jumlah itu masih kecil berbanding pelepasan global tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi lonjakan besar dalam bidang penyingkiran karbon.
Loji ini dibina di Hellisheiði, kawasan yang kaya dengan tenaga geoterma. Tenaga haba bumi yang menggerakkan turbin di situ membekalkan tenaga bersih kepada operasi Mammoth. Ini menjadikannya hampir sifar pelepasan tambahan, sesuatu yang jarang berlaku dalam industri penapisan udara berskala besar.
Di dalam loji tersebut, udara disedut masuk melalui kipas gergasi dan dialirkan ke dalam penapis khas yang boleh memerangkap molekul karbon dioksida. Setelah penapis dipanaskan, karbon yang terperangkap dilepaskan dalam bentuk gas tulen dan dicampur dengan air. Campuran ini kemudiannya disuntik jauh ke dalam batuan basalt di bawah permukaan bumi oleh syarikat rakan kongsi Climeworks, iaitu Carbfix.
Di dalam batuan basalt itu, karbon dioksida bertindak balas dengan mineral semula jadi seperti kalsium, magnesium dan besi, lalu membentuk batu karbonat. Dalam tempoh sekitar dua tahun, gas karbon itu akan menjadi batu kekal. Proses semula jadi ini menjadikan teknologi Mammoth sangat unik kerana ia mengubah gas berbahaya menjadi batu mineral yang tidak boleh kembali ke atmosfera.
Projek ini lahir daripada kejayaan loji pertama Climeworks yang dinamakan Orca, juga terletak di Iceland. Orca hanya mampu menapis sekitar 4,000 tan karbon setahun. Kejayaan awal itu membuka jalan kepada Mammoth yang sepuluh kali ganda lebih besar dan jauh lebih efisien.
Menurut pengasas Climeworks, sasaran mereka ialah mencapai kapasiti “megaton” menjelang tahun 2030 dan “gigaton” menjelang 2050. Maknanya, mereka mahu mencapai tahap di mana teknologi ini mampu menyingkirkan berjuta hingga berbilion tan karbon setiap tahun. Sasaran ini selaras dengan cadangan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang menegaskan keperluan teknologi penyingkiran karbon untuk mengekang suhu global daripada meningkat lebih 1.5°C.
Cabaran utama teknologi DAC ialah kos yang tinggi. Menurut laporan Bloomberg, kos menapis satu tan karbon dioksida menggunakan sistem seperti ini boleh mencecah antara USD600 hingga USD1,000 per tan. Climeworks berhasrat menurunkan kos itu ke paras USD100 satu tan menjelang 2030 melalui peningkatan skala dan inovasi kejuruteraan.
Pakar iklim menegaskan bahawa teknologi seperti Mammoth tidak boleh menggantikan usaha pengurangan pelepasan karbon daripada industri dan kenderaan. Sebaliknya, ia dilihat sebagai “penebus dosa” bagi karbon yang sudah terlepas ke udara selama lebih seratus tahun sejak Revolusi Industri. Ibarat menampal kebocoran lama sambil menutup paip baru daripada terus bocor.
Walaupun kecil, skala loji seperti ini memberi nilai besar dari sudut pembangunan teknologi. Ia menunjukkan manusia kini semakin serius mencari penyelesaian saintifik terhadap masalah pemanasan global dan bukan sekadar mengadakan sidang kemuncak saban tahun demi sesuap bihun goreng dan seteguk teh tarik. Loji ini menjadi model kepada negara lain yang memiliki sumber tenaga boleh baharu seperti geoterma, hidro dan solar.
Iceland menjadi lokasi ideal kerana mempunyai sumber tenaga bersih yang stabil serta lapisan batuan basalt yang luas. Basalt bukan sahaja kukuh tetapi sangat reaktif dengan karbon dioksida dan ini menjadikannya tempat penyimpanan semula jadi yang terbaik. Keadaan ini membuatkan karbon yang disimpan hampir mustahil untuk kembali ke atmosfera.
Menariknya, teknologi penyimpanan bawah tanah seperti ini diinspirasikan daripada proses semula jadi bumi sendiri. Batuan di dasar laut dan gunung berapi telah lama menyerap karbon dari udara dalam tempoh berjuta tahun. Saintis meniru semua proses itu melalui pendekatan sains moden yang membantu memendekkan proses geologi beribu tahun kepada hanya beberapa tahun.
Dengan kejayaan Mammoth, Climeworks kini bekerjasama dengan beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Arab Saudi untuk membina loji berskala lebih besar. Amerika melalui program DOE Carbon Negative Shot menyasarkan kos rendah bagi teknologi yang sama, manakala Arab Saudi merancang pusat penyingkiran karbon di NEOM dengan kapasiti lebih sejuta tan setahun.
Projek ini juga mencipta peluang pekerjaan baru dalam bidang sains bahan, kejuruteraan tenaga dan geologi. Pembangunan tenaga bersih seperti ini bukan sekadar menyelamatkan bumi, tetapi turut membuka ruang ekonomi baharu yang mampan. Negara yang menguasai teknologi penyimpanan karbon akan menjadi pemimpin tenaga masa depan.
Pihak Climeworks turut mendapat pelaburan daripada syarikat besar seperti Microsoft, Swiss Re dan Audi. Mereka menggunakan kredit karbon yang dijana oleh Climeworks untuk menyeimbangkan pelepasan gas rumah hijau dalam operasi mereka. Model perniagaan ini membuktikan penyingkiran karbon boleh menjadi industri bernilai tinggi apabila skala dan teknologi semakin matang.
Saintis masih menilai kesan jangka panjang penyimpanan karbon bawah tanah, tetapi ujian awal menunjukkan tahap keselamatan yang tinggi. Tiada kebocoran gas yang dikesan dan bahan karbonat yang terbentuk kekal stabil dalam batuan. Ini menjadikan Iceland bukan sahaja pelopor, tetapi juga medan ujian saintifik paling realistik dalam bidang ini.
Teknologi seperti ini mengingatkan kita betapa luasnya ilmu Allah yang mengurniakan manusia keupayaan mencipta penyelesaian melalui akal yang diilhamkan oleh-Nya. Alam dijadikan seimbang dan tanggungjawab manusia ialah menjaga keseimbangan itu dengan ilmu serta hikmah, bukan dengan kerakusan. Allah mengajar bahawa setiap kerosakan di bumi mesti diperbaiki, dan sains menjadi alat untuk menebus kesilapan yang pernah dilakukan terhadap alam.
Bayangkan daripada kajian sebegini, entah berapa banyak lagi teknologi baharu akan lahir hasil keinginan manusia untuk memahami dunia ini. Semakin jauh mereka menyelidik, semakin luas pintu ilmu yang terbuka dan semakin hebat daya cipta yang terhasil. Di sinilah letaknya perbezaan antara bangsa yang meneroka dengan bangsa yang hanya menunggu, kerana sesiapa yang menuntut ilmu akan sentiasa menjadi pelopor, bukan sekadar pengguna.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




