Sanggupkah kita menyakiti hati Nabi?

Seorang lelaki pernah menuduh ibu bapa Nabi masuk neraka. Apabila diajukan kepada Al-Qadhi Abu Bakar al-‘Arabi al-Maliki, dia menjawab yang lelaki itu dilaknat. Katanya, “Sesungguhnya mereka yang mencaci Allah dan Rasul-Nya, mereka dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat serta disediakan bagi mereka azab yang hina.

Dan tiadalah perkara yang lebih menyakitkan Rasulullah selain menyatakan ayah baginda diazab di dalam neraka.”

Apakah alasan ibu bapa Nabi dinerakakan? Oh, adakah disebabkan kedua-dua mereka tidak menyahut seruan dakwah? Pelik benar logik begini. Bukankah Nabi masih dalam kandungan. Lagipun, antara kerasulan Rasulullah dengan Nabi Isa, selama 500 tahun tidak ada Nabi yang diutuskan. Merekalah yang dipanggil generasi ahli fatrah, tidak sampai seruan dakwah. Mereka tidak boleh dipersalahkan.

Allah berfirman,

“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapa pun sebelum kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (QS: Al-Isra’, 15)

Imam Baijuri berkata, “Apabila kamu mengetahui bahawa ahli fatrah adalah golongan yang terselamat (di akhirat) menurut pendapat yang terpilih, maka kamu juga akan mengetahui bahawa kedua-dua ayahanda dan bonda Rasulullah juga terselamat, disebabkan mereka juga tergolong dalam kalangan ahli fatrah. Bahkan semua nenek moyang Rasulullah terselamat dan dihukumkan sebagai generasi yang beriman dan tiada seorang pun di antara mereka yang (terjebak di dalam kancah) kekufuran, kekotoran serta perkara-perkara yang mengaibkan (menjatuhkan maruah) yang dilakukan oleh kaum Arab Jahiliyyah.”

Keturunan Rasulullah bukannya kaleng-kaleng.

Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menjadikan makhluk, lalu Dia menjadikan aku dari sebaik-baik makhluk, dari sebaik-baik kurun. Kemudian Allah memilih qabilah-qabilah, maka Dia memilih aku dari sebaik-baik qabilah. Kemudian Dia memilih keluarga, maka Dia menjadikan aku dari sebaik-baik keluarga. Maka aku adalah yang terbaik daripada kalangan mereka pada diri dan juga keluarga.” (HR Ahmad)

Rasulullah bersabda, “Aku telah keluar daripada hasil nikah dan bukan daripada keturunan yang rosak, sedang aku adalah daripada keturunan Adam sehingga telah dilahirkan akan aku oleh Ibu dan Ayahku sedang aku tidak pernah ditimpa sebarang perbuatan jahat orang jahiliah.” (HR Abu Nuaim, al-Thabariy dan Ibn ‘Asakir)

Rasulullah bersabda, “Allah senantiasa memindahkan aku dari sulbi yang baik ke dalam rahim yang suci, suci dan memberi petunjuk. Tidaklah tumbuh dua cabang kecuali aku yang terbaik.” (HR Ibnu Asakir dan Ibnu Abbas)

Nasab baginda suci daripada syirik.

Jalur keturunan baginda sampai kepada Nabi Ibrahim. Kesemuanya mengamalkan agama Hanif yang menyembah Allah. Bukan sahaja tidak dinodai zina, bahkan dalam kalangan orang yang sujud. Keimanan nasab ini bukti makbulnya doa Nabi Ibrahim yang bermunajat, “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail): orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 128).

Allah berfirman,

“Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud.” (QS: Syu’ara’, 218- 219)

Ibnu Abbas mentafsirkan firman Allah ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang Nabi ke sulbi Nabi seterusnya ke dalam sulbi dari kalangan para Sajidiin (yang sujud dan beriman kepada Allah).

Kadangkala, berlaku salah faham terhadap hadis berikut:

أَنّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُولَ اللّهِ، أَيْنَ أَبِي؟ قَالَ: فِي النّارِ. فَلَمّا قَفّى دَعَاهُ فَقَالَ: إِنّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النّارِ

Daripada Anas r.a. bahawa ada seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulallah, ayahku berada di mana?” Nabi s.a.w. menjawab: “Di dalam neraka.” Apabila lelaki itu berpaling pergi, Baginda s.a.w., memanggilnya lalu bersabda: “Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka.” (HR Muslim)

Jawapan:

  • ‘Ayah’ dalam hadis bermaksud ‘ayah saudara’ Nabi. Adat bangsa arab, kalimat ‘Abi’ yang bermakna ‘ayah’ di situ membawa makna umum, tidak semestinya makna bapa kandung, boleh jadi bapa saudara. Kalimat yang paling tepat untuk ayah kandung ialah ‘Walid’.
  • Kata-kata Nabi ini bertujuan agar lembut hati lelaki tersebut, tidak kembali murtad dan tidak mengeluarkan kata-kata sumpahan dan caci-maki terhadap Rasulullah kerana lelaki ‘Arabi terkenal dengan sikap degil dan keras hati. Ia juga suatu strategi untuk menarik lebih ramai kaum kerabatnya memeluk Islam.
  • Al-Quran merekodkan, yang Nabi Ibrahim pernah berdoa supaya ‘Abi’nya diampunkan, tetapi dilarang Allah. Namun, pada ayat lain, Nabi Ibrahim berdoa supaya ‘Walid’nya diampunkan, hal ini dibenarkan Allah. Perbezaan dua keadaan ini menunjukkan ada beza antara makna ‘Abi’ untuk ayah saudara dengan ayah kandung.

Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, Saidatina Aminah sendiri pernah berwasiat kepada Nabi Muhammad yang ketika itu berusia 5 tahun. Rasulullah sewaktu itu menemani ibunya yang sedang sakit tenat. Bondanya berkata,

“Semoga Allah memberkatimu dari kecil, wahai anak dari ayahandanya (Abdullah) yang ditaqdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum Jahiliyyah.”

Fikirkanlah, jikalau makam yang menempatkan jasad Rasulullah itu sendiri sungguh mulia di atas muka bumi. Mana mungkin tidak mulia empunya rahim yang mengandungkan jasad Rasulullah?

RUJUKAN:


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.