Sebut saja nama Turki dan Armenia, isu pembunuhan beramai-ramai etnik Armenia semasa era Turki Uthmaniyyah sentiasa timbul terutama dalam kalangan diaspora Armenia di luar negara. Tetapi siapa sangka sejak kebelakangan ini, kedua-dua negara sedang berusaha menormalisasikan hubungan luar mereka. Jika ini berjaya direalisasikan, maka ia merupakan sesuatu yang berjaya direalisasikan dalam tempoh 30 tahun.

Tidak ramai tahu pada awalnya, hubungan Turki-Armenia bermula dengan baik. Selepas Armenia keluar dari Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Turki merupakan negara terawal yang mengiktiraf negara baru di Caucasus itu. Tetapi proses tersebut terhenti pada 1993 selepas Yerevan merampas wilayah Azerbaijan, Nagorno-Karabakh. Situasi ini tidak dibantu dengan isu pembunuhan beramai-ramai 1915 dengan Turki enggan mengakui apa yang berlaku pada tahun tersebut.

Tetapi kini, semua itu sudah berubah. Ironinya, hubungan Ankara-Yerevan mula dijalin semula selepas sebahagian besar Nagorno-Karabakh jatuh ke tangan Azerbaijan pada tahun lepas. Usaha mereka disokong oleh teknologi persenjataan yang dibekalkan Turki termasuk dron. Bagi seorang pegawai Turki yang enggan dikenali, ia merupakan satu perkembangan yang mengejutkan.

Begitupun, beliau percaya usaha normalisasi ini didorong oleh mandat kuat yang diperoleh Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan pada Jun lepas dan popularitinya dalam kalangan rakyat. Ini menunjukkan warga Armenia bersikap terbuka terhadap inisiatif ini.

Sebelum ini, Pashinyan beberapa kali pernah menyatakan minat untuk membuka semula pintu sempadan Armenia-Turki dan memulakan proses normalisasi. Pada musim panas lepas, Ankara cuba melaksanakan beberapa inisiatif sebagai menyambut saranan beliau. Bagaimanapun, usaha tersebut gagal dipercayai disabotaj oleh Baku yang merasakan mereka tidak dirujuk berkenaan hal ini.

Enggan membiarkan proses ini disabotaj lagi, Ankara berunding terlebih dahulu dengan Azerbaijan. Akhirnya, pada musim luruh lepas, Presiden Recep Tayyip Erdogan mencadangkan penubuhan platform 3+3 membabitkan Turki, Armenia, Azerbaijan, Iran, Rusia dan Georgia dengan tujuan membina semula hubungan negara rantau Caucasus.

Sebenarnya, hubungan kedua-dua negara cuba dinormalisasikan menerusi siri rundingan dan perbincangan pada tahun 2009. Malah, ia sampai ke satu tahap Armenia dan Turki bersetuju membentuk satu suruhanjaya khas untuk menyiasat tragedi pembunuhan beramai-ramai 1915. Tetapi ia gagal selepas Azerbaijan mengugut menghentikan perjanjian tenaga yang dimeterai dengan Ankara.

Hari ini, usaha normalisasi Turki-Armenia bersifat perlahan dan satu langkah pada satu-satu masa. Buat masa ini, fokus kedua-dua negara ialah mengadakan hubungan diplomatik formal dan membuka semula pintu sempadan. Beberapa minggu lepas, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu mengumumkan kedua-dua negara bersetuju melantik duta khas dan membuka semula penerbangan antara kedua-dua negara.

Bagi beberapa pegawai kerajaan Turki yang enggan dikenali, langkah ini dilihat dapat menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau Caucasus. Selain itu, ia dijangka bakal membuka banyak peluang pekerjaan dan merancakkan aktiviti ekonomi terutama di bandar-bandar sempadan kedua-dua negara. Mereka percaya langkah ini akan turut menguntungkan Iran dan Georgia. Secara tidak langsung, ia dianggap satu kejayaan kepada dasar luar Turki selepas berdepan masalah ekonomi dan politik domestik selama berbulan-bulan lamanya.

Cuma satu-satunya halangan kepada usaha normalisasi ini ialah Azerbaijan. Menurut pengarah Pusat Kajian Wilayah yang berpangkalan di Yerevan, Richard Giragosian, tidak diketahui berapa lama Baku akan bertolak ansur dengan usaha ini. Ini disebabkan oleh ketidaktentuan hubungan antara kedua-dua negara terutama berkenaan Nagorno-Karabakh.

Tetapi Azerbaijan kini harus berwaspada dengan sebarang tindakan mereka. Dengan Turki dan Rusia memantau proses perjanjian damai kedua-dua negara, sebarang langkah terburu-buru akan mengundang padah kepada Baku. Ini kerana proses damai Armenia-Azerbaijan dijangka mempengaruhi proses normalisasi Turki-Armenia.

Kehendak Baku ialah perjanjian damai 2020 yang diatur oleh Rusia dan Turki dipatuhi oleh kedua-dua negara. Ini termasuk pembentukan koridor darat antara Baku dengan Nakhchivan melalui Armenia. Koridor darat ini diharap dapat membuka laluan ke negara-negara Asia Tengah dan republik-republik Turki di sebelah timur. Dengan kelebihan ekonomi dilihat menguntungkan Turki dan Armenia, normalisasi dijangka tidak berdepan masalah berikutan pengalaman mereka daripada usaha 2009.

RUJUKAN

Soylu. R. (2021, 24 Disember). Turkish-Armenian normalisation gathers pace as Ankara expects gradual success. Middle East Eye.

Sumber gambar: AFP


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply