Honjo Masamune merupakan sebilah pedang yang dihasilkan oleh seorang penempa pedang Jepun yang masyhur, Goro Nyudo Masamune. Pedang samurai ini diperakui sebagai antara pedang termasyhur dalam sejarah Jepun dan pada suatu ketika, ia bahkan menjadi salah sebuah khazanah utama negara. Namun selepas tamatnya P3r4ng Dunia Kedua, Honjo Masamune hilang dan sehingga ke hari ini, keberadaannya tidak lagi diketahui.
HIKAYAT MASAMUNE DAN MURAMASA
Walaupun tidak diketahui secara pasti bilakah tahun kelahiran dan tahun kematian Masamune, kebanyakan pedang samurai yang dihasilkan oleh beliau dipercayai berusia dari lewat kurun ke-13 Masehi atau awal kurun berikutnya. Keperibadian Masamune diperihalkan secara tuntas dalam hikayat Masamune dan Muramasa yang mengisahkan pertarungan antara dua orang penempa pedang masyhur itu.
Hikayat ini hadir dalam banyak versi, namun kesemuanya menyimpulkan satu perkara; iaitu keluhuran peribadi Masamune dan pedang tempaannya. Dalam kisah ini, diceritakan betapa pedang yang dihasilkan oleh Masamune dan Muramasa masing-masing digantung di sebatang sungai sebagai cara untuk menguji kualitinya.
Pedang Muramasa didapati mampu membelah segala benda yang bersentuhan dengan bilahnya. Keadaan yang berbeza berlaku pada pedang Masamune yang hanya berupaya memotong dedaunan yang hanyut dibawa arus sungai. Ikan atau apapun jua hidupan laut sama sekali terselamat dari menjadi mangsa pedang beliau.
Tatkala menyaksikan hal ini, Muramasa meyakini pedangnya jauh lebih berkualiti berbanding pedang Masamune. Namun, seorang sami yang kebetulan melalui kawasan tersebut menyatakan bahawa pedang Masamune jauh lebih baik berbanding pedang Muramasa.
Katanya, pedang Muramasa bersifat dahagakan darah sehingga memotong segala perkara yang disentuhnya manakala pedang Masamune yang tidak membvnvh tanpa keperluan pula membuktikan keluhuran sifatnya. Justeru, pedang Masamune jauh lebih unggul.
ASAL-USUL PEDANG HONJO MASAMUNE
Nama Honjo Masamune diambil bersempena seorang panglima yang bernama Honjo Shigenaga. Shigenaga hidup pada kurun ke-16 dan ke-17 Masehi sebagai panglima klan Uesugi. Pedang tersebut jatuh ke pemilikan Shigenaga semasa berlakunya Pertempuran Kawanakajima Keempat pada tahun 1561.
Pada mulanya, pedang tersebut dimiliki oleh seorang panglima musuh yang mencabar Shigenaga untuk bertarung. Dalam pertarungan tersebut, lawan Shigenaga berjaya membelah dua topi pelindung beliau. Pun begitu, pertarungan itu dimenangi oleh Shigenaga dan pedang lawannya diambil sebagai trofi kemenangan.
Shigenaga menyimpan pedang samurai tersebut selama beberapa tahun sebelum menjualnya kepada anggota klan Toyotomi sekitar penghujung kurun ke-16. Selepas kejatuhan klan Toyotomi, pedang Honjo Masamune bertukar tangan ke Tokugawa Ieyasu dan dijadikan sebagai darjah kebesaran klan Tokugawa. Dengan demikian, pedang ini diwariskan dari satu generasi ke satu generasi. Bahkan sesudah jatuhnya Keshogunan Tokugawa pada tahun 1868, Honjo Masamune masuk berada dalam pemilikan keluarga itu.
HILANGNYA KHAZANAH BANGSA
Pada penghujung era P3r4ng Dunia Kedua, Honjo Masamune berada dalam simpanan Tokugawa Iemasa. Setelah Jepun menyerah kalah, Pihak Perikatan menuntut agar kerabat diraja Jepun menyerahkan kesemua koleksi mereka sebagai rampasan p3r4ng. Tuntutan ini tentunya menaikkan berang golongan diraja Jepun.
Namun, Iemasa yang merupakan Presiden Wangsa Bangsawan ketika itu mengambil keputusan untuk akur dan menyerahkan koleksi katana milik keluarga kepada seorang pegawai bernama Sarjan Coldy Bimore. Antara pedang yang diserahkan termasuklah Honjo Masamune. Semenjak itu, keberadaan Honjo Masamune tidak lagi diketahui.
Pada tahun 2013, terdapat sebilah yang dibawa ke Muzium Kebangsaan Kyoto untuk dilakukan penelitian dan penilaian. Tahun berikutnya, pedang itu disahkan sebagai salah satu pedang tempaan Masamune yang dinamakan sebagai Shimazu Masamune. Rekod terakhir perihal pedang tersebut adalah pada tahun 1862, tahun di mana ia diserahkan oleh Tokugawa Ishige kepada keluarga diraja sebagai hantaran perkahwinannya dengan Puteri Kazunomiya.
Walaupun ia bukanlah pedang Honjo Masamune, setidak-tidaknya Shimazu Masamune meraih signifikasi tersendiri sebagai pedang tempaan Masamune pertama yang berjaya dikenal pasti semula kewujudannya setelah hilang selama 150 tahun.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (30 Julai 2020). Searching for the Honjo Masamune, Lost Samurai Sword of Power. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/searching-honjo-masamune-lost-samurai-sword-power-005807
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih