Pada tahun 1519, seorang conquistador Sepanyol yang bernama Hernan Cortes tiba di pinggir bandar Tenochtitlan, ibu kota Empayar Aztec. Dikatakan bahawa bagi maharaja Aztec, Montezuma II (Moctezuma II), Cortes dan tentera-tenteranya dianggap sebagai dewa. Cortes sendiri disifatkan sebagai dewa Aztec yang pulang, iaitu Quetzalcoatl.
Justeru, para conquistador Sepanyol ini disambut oleh Montezuma dengan gilang-gemilang (ada juga sejarahwan yang membantah pandangan ini). Namun kemudiannya, mereka mengkhianati Montezuma dan seluruh masyarakat Aztec.
Montezuma memberikan emas kepada Cortes dan tentera-tenteranya dengan harapan mereka dapat pergi. Namun, rasuah ini gagal mengusir para conquistador Sepanyol itu. Sebaliknya, ia hanya menyalakan lagi ketamakan pihak Sepanyol terhadap emas.
Sebagai susulan, Cortes memutuskan untuk menjadikan Montezuma sebagai tawanan.
Kemudian dengan bantuan sekutu tempatan dari Tlaxcalan, tentera-tentera Sepanyol ini mendirikan pangkalan di salah sebuah kuil di kota dan mula menjarah Tenochtitlan bagi mendapatkan harta-kekayaannya. Sepanjang pendudukan mereka yang berlangsung selama berbulan-bulan ini, ramai penduduk Tenochtitlan diseksa dan dibunuh oleh tentera-tentera Cortes yang mahu menjarah sebanyak mungkin kekayaan Aztec.
Walaupun masyarakat Aztec tidak menggemari tindakan kejam penjajah Sepanyol ini, mereka tidak melakukan sebarang tindakan. Kekejaman terakhir berlaku pada lewat Mei 1520, apabila para conquistador ini membunuh ramai bangsawan Aztec dalam sebuah festival keagamaan di kuil utama Tenochtitlan.
Keadaan ini mencetuskan reaksi agresif dari masyarakat Aztec yang bangkit memerangi penjajah. Pihak Sepanyol habis dikebung. Sebagai cubaan untuk menyelamatkan diri, mereka menggunakan Montezuma bagi menenteramkan masyarakat Aztec.
Namun, hal ini juga berakhir dengan kegagalan dan Montezuma sendiri terbunuh, sama ada akibat cedera teruk yang disebabkan oleh tentera Sepanyol sendiri ataupun disebabkan batu yang dilontar oleh penduduk Tenochtitlan.
Sepanyol hanya memiliki satu pilihan, iaitu melarikan diri dari kota. Memandangkan pihak Aztec telah menghancurkan kesemua jambatan yang menghubungkan Tenochtitlan dengan tanah besar, tentera-tentera Sepanyol terpaksa membina sebuah jambatan mudah alih.
Pada malam 1 Julai 1520, mereka berjaya meloloskan diri. Namun, pergerakan mereka berjaya dikesan dan masyarakat Aztec menyerang dan membunuh ramai dari mereka. Insiden ini dikenali sebagai La Noche Triste (Malam Duka).
Pada malam berdarah itu, Cortes tidak hanya kehilangan ramai tentera, akan tetapi harta kekayaan yang dikumpulkan sepanjang bulan-bulan sebelumnya turut terpaksa dilepaskan. Semasa mereka melarikan diri, banyak harta yang dibuang bagi meringkan bebanan.
Ada juga sebahagian daripada mereka yang terbunuh kerana berkeras mahu menyimpan harta-harta tersebut. Harta-benda yang banyak ini kemudiannya dikenali sebagai ‘Harta-Karun Montezuma’. Sama seperti kisah-kisah tentang harta karun yang lain, banyak legenda kemudiannya menyelubungi ‘Harta-Karun Montezuma’.
Satu-satunya perkara yang pasti tentang harta karun Montezuma ini adalah ia masih belum ditemukan sehingga ke hari ini. Banyak teori yang dikemukakan berkenaan lokasi harta karun tersebut.
Antaranya, teori yang paling popular berpendapat bahawa ia terletak tepat di tempat ia ditinggalkan, yakni dasar Tasik Texcoco. Namun, ramai pemburu harta karun sudah pun meneroka tasik tersebut namun tiada yang menemukan sebarang harta. Salah seorang bekas presidon Mexico juga pernah mengorek tasik itu. Namun seperti yang dijangka, tiada apa yang dapat ditemukan.
Teori lain mendakwa bahawa harta-karun itu diambil semula oleh pihak Sepanyol semasa mereka kembali ke Tenochtitlan. Namun, kapal yang mengangkutnya pulang ke Sepanyol karam akibat dibadai ribut.
Salah satu teori yang dianggap paling menarik adalah harta karun itu dikatakan telah berpindah ke utara dan kemudiannya tersimpan di Utah. Mungkin, Harta Karun Montezuma ini akan terus tersembunyi atau bahkan hilang, terselamat dari tangan manusia yang rakus.
Pahlawan-pahlawan dan orang awam Aztec meninggalkan kota Tenochtitlan sebaik pihak Sepanyol melancarkan serangan tanpa belas kasihan. Walaupun setelah menyerah kalah, ribuan orang awam dibunuh dan harta-benda mereka habis dijarah.
Menurut Manuskrip Florentine, sebanyak 240 000 orang Aztec mati dalam tempoh 8 hari. Selepas dikepung selama tiga bulan, kota Tenochtitlan tumbang pada tanggal 13 Ogos 1521. Peristiwa ini menandakan tumbangnya Empayar Aztec dan Cortes menjadi pemerintah empayar Mexico yang luas.
TERJEMHAN:
Wu Mingren. (26 Julai 2014). The Stolen Treasure of Montezuma. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-americas/stolen-treasure-montezuma-001909
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih