Cerita ni bermula dengan satu persoalan, betul ke Hang Tuah pernah tulis surat rasmi untuk Raja Ryukyu di Jepun?

Tapi persoalannya sekarang, ada ke bukti kukuh yang memang sahih surat itu ditulis oleh Hang Tuah?
Jawapan pendeknya, surat itu memang wujud, tapi nama Hang Tuah tak disebut langsung. Yang disebut hanya “Laksamana”.

Dalam dokumen diplomatik kerajaan Ryukyu yang dikenali sebagai Rekidai Hōan, ada tiga surat yang berasal dari Melaka sekitar tahun 1480 dan 1481.

Surat-surat ni ditulis bagi pihak Sultan Melaka yang ketika itu masih kanak-kanak iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah.

Dan yang menulisnya ialah seorang pegawai bergelar Laksamana, atau dalam ejaan Cina, Lo-hsi-ma-na. Surat ini jelas menyebut bahawa ia dihantar oleh “Laksamana dari Melaka”, tetapi tiada satu pun menyebut nama individu tersebut sebagai Hang Tuah.

Jadi, penting untuk kita jelaskan yang surat itu membuktikan wujudnya seorang Laksamana aktif menjalankan misi diplomatik ke Ryukyu pada akhir abad ke-15, tapi ia bukan bukti muktamad bahawa Laksamana itu ialah Hang Tuah.

Namun begitu, Prof. Hashim Musa dari Universiti Putra Malaysia dalam kajiannya berpegang kepada hujah bahawa Lo-hsi-ma-na itu memang merujuk kepada Hang Tuah.

Kenapa? Sebab berdasarkan rekod sejarah termasuk Sulalatus Salatin dan catatan Portugis oleh Afonso de Albuquerque, hanya seorang yang memegang jawatan Laksamana Melaka sepanjang zaman Sultan Alauddin iaitu Hang Tuah.

Dalam catatan Albuquerque yang datang menakluki Melaka pada 1511, Laksamana Melaka digambarkan sebagai “a man of eighty years of age, a good soldier and of good repute and great knowledge.”

Kalau ini benar, maka ketika surat ke Ryukyu dihantar pada 1480–1481, umur Laksamana itu adalah sekitar 49–50 tahun selari dengan jangka hayat Hang Tuah dalam kebanyakan sumber Melayu klasik.

Tapi kena ingat, ini semua hanyalah inferens. Kita hanya boleh buat andaian berdasarkan padanan tarikh, gelaran dan konteks.

Dalam dunia sejarah, kalau tiada nama sebenar ditulis dalam dokumen, kita tak boleh dakwa itu orangnya tanpa menyatakan keraguan yang wajar. Dan itulah kelemahan utama dalam dakwaan yang kata Hang Tuah sendiri yang tulis surat tu.

Isi surat-surat ni sangat menarik dari sudut bahasa diplomasi. Dalam surat pertama, wakil Melaka mengucapkan penghargaan kepada Raja Ryukyu atas hadiah dan persahabatan sambil membalas dengan bingkisan balasan.

Bahasa yang digunakan sangat sopan, penuh pujian terhadap kebijaksanaan Raja Ryukyu dan permintaan agar hubungan diplomatik ini diteruskan sehingga ke anak cucu.

Surat kedua yang lebih spesifik ditandatangani oleh “Laksamana” menceritakan tentang kejadian sebuah kapal Ryukyu yang terdampar di wilayah Annan (Vietnam sekarang) dan tindakan Laksamana Melaka menghantar bantuan dan menyelamatkan wakil-wakil Ryukyu.

Di akhir surat itu, Laksamana juga menyatakan hasrat untuk menerima balasan berupa pedang, alat memanah dan pelana kuda, satu permintaan yang dianggap sopan dalam adat diplomasi zaman itu.

Surat ketiga pula adalah surat balasan penuh puji-pujian yang ditutup dengan senarai hadiah seperti kain-kain halus dan barangan mewah.

Apa yang lebih menarik, pada tahun 2002, satu penemuan dibuat di kuil Enkaku-ji di Okinawa dimana sebuah keris berlok sembilan, tanpa hulu dan sarung ditemui berhampiran kawasan istana lama Ryukyu.

Panjang bilah keris itu lebih kurang 22 cm, dan dipercayai ia sebahagian daripada hadiah yang dihantar oleh kerajaan Melaka kepada Ryukyu.

Sejarawan Jepun, Kurayoshi Takara menyatakan bahawa beliau percaya keris itu berasal dari Melaka berdasarkan hubungan dagang yang wujud antara kedua-dua kerajaan pada abad ke-15.

Jika benar, maka ini memberi nilai simbolik besar dimana keris itu mungkin datang bersama surat-surat tadi dan dihantar oleh orang yang menandatangani surat sebagai Lo-hsi-ma-na.

Namun begitu, kita tidak boleh menulis seolah-olah perkara ini sudah pasti kerana dari segi bukti dokumentari, nama “Hang Tuah” langsung tidak disebut dalam mana-mana surat tersebut.

Jadi, ya. Hang Tuah mungkin pernah tulis surat ke Okinawa. Tapi yang pasti, surat itu datang dari seorang

Laksamana Melaka. Dan siapa pun dia, dia telah membawa nama Melaka ke perairan Laut China Timur jauh sebelum era kita kenal apa itu hubungan antarabangsa.

Dan itu sendiri pun dah cukup membanggakan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.