Bayangkan sebuah tembok batu yang menjalar sepanjang ribuan kilometer, merentasi gunung, padang pasir dan lembah. Ini bukan lagi tembok biasa-biasa. Tembok ini adalah simbol sebuah kuasa besar yang cuba menentang gelombang ancaman dari utara!
Tetapi persoalannya, adakah Tembok Besar China benar-benar berjaya atau ia sekadar projek mega yang membazirkan nyawa, tenaga dan harta rakyat?
Sejarah Tembok Besar bermula sejak zaman negeri-negeri berperang (Warring States) sekitar abad ke-7 SM, apabila kerajaan-kerajaan kecil China mula membina tembok pertahanan masing-masing.
Namun, penyatuan tembok menjadi projek besar bermula di bawah Dinasti Qin (221 SM) oleh Maharaja Qin Shi Huang. Baginda masyhur sebagai pemerintah yang menyatukan China dan terkenal dengan makam tentera Terracotta. Apapun, tujuan baginda jelas: menahan serangan kaum nomad Xiongnu yang sering melancarkan serbuan ke tanah subur Cina.
Namun, realiti tidak semudah itu. Meskipun tembok ini panjang dan mengagumkan, ia tidak pernah benar-benar menutup semua sempadan. Tentera nomad yang lincah masih mampu mencari laluan lain, merasuah pengawal,atau sekadar menunggu kelemahan kerajaan untuk menyerang.
Malah, rekod sejarah menunjukkan beberapa kali tembok ini ditembusi, termasuk ketika Dinasti Ming yang melabur besar dalam memperkukuhkan struktur tersebut.
Kos pembinaan Tembok Besar amat dahsyat. Jutaan buruh dikerah, terdiri daripada petani, askar dan tahanan. Ramai mati akibat kelaparan, kepenatan dan cuaca ekstrem. Ada yang menyebut mayat mereka terus ditanam di dalam binaan tembok. Meskipun dakwaan ini bersifat mitos, ia tetap mencerminkan harga yang perlu dibayar untuk membina tembok ini.
Dari segi ekonomi, kerajaan mengalihkan sumber tenaga manusia daripada pertanian ke pembinaan, lantas menyebabkan beban rakyat semakin berat.
Pun begitu, dengan mengatakan ia “projek buang duit” mungkin terlalu simplistik. Tembok Besar adalah simbol kuasa, penyatuan dan keteguhan kerajaan pusat.
Tembok ini memberi mesej psikologi kepada rakyat Cina bahawa mereka dilindungi, dan kepada musuh bahawa empayar ini tidak mudah digugat.
Malah hari ini, ribuan tahun selepas tembok ini dibina, Tembok Besar menjadi ikon tamadun Cina, tarikan pelancongan dan sumber kebanggaan nasional. Jadi, apakah ia berjaya? Dari segi ketenteraan, keberkesanannya boleh dipersoalkan. Tetapi dari sudut politik dan identiti bangsa, kejayaanya tidak ternilai.
Akhir kata, apa yang dulu mungkin dianggap membazir, kini menjadi antara warisan paling berharga dunia.
Tembok Besar China membuktikan bahawa ada projek yang nilainya melangkaui tujuan asalnya. Hari ini, tembok ini menjadi warisan yang terus menjadi simbol kebesaran tamadun Cina.




No comments yet